Rate

Chapter 151

Romance Completed 26118

Bab 151

Duha Maisara memandang gadis itu. Dia tahu hati gadis itu luhur sebenarnya. Katrina tidak seperti pekerja-pekerja lain yang sering memandang serong terhadapnya. Sebaliknya gadis hitam manis dari Seremban itu melayannya sama seperti pekerja-pekerja lain.

“Kenapa mereka mengata saya macam ni Cik Katrina, saya tak faham.”

“Betul awak tak tahu?” Katrina mengerutkan dahinya. Dia mengangguk.

“Pertunangan antara Nashriq dan Suraya sepatutnya diadakan tiga malam lepas, tapi tak jadi. Awak dikatakan menjadi puncanya Duha.” Jelas Katrina selamba.

Duha Maisara tersentak. Dia bagaikan tidak percaya dengan apa yang didengarinya. Betulkah begitu? Tapi kenapa Nashriq tidak pernah memberitahunya apa-apa tentang Suraya? Entah mengapa perasaannya tiba-tiba bercelaru. Dia rasa sedih bila mengetahui tentang soal pertunangan itu.

* * * *

“Betul awak tak nak balik lagi Duha? Dah lewat ni, lagipun saya tak rasa Encik Nashriq akan pulang ke pejabat hari ini. Sejak pagi tadi saya tak dapat hubungi dia.” Beritahu Anis, sambil memandang gadis itu yang masih sibuk di pejabatnya.

“Tak apalah Anis, saya tunggu dia sekejap lagi. Lagipun saya ada hal nak berbincang dengan Encik Nashriq.”

Anis terdiam. Tapi dia tidak berniat mahu menyambung pujukannya.

Selepas Anis pulang, ruang itu jadi kosong. Hanya sesekali beberapa pegawai keluar masuk di ruangan itu untuk menyambung kerja-kerja yang terbengkalai. Duha Maisara masih di mejanya, menaip beberapa dokumen yang perlu disiapkannya segera. Sambil itu dia masih sabar menanti kehadiran Nashriq.

Sudah beberapa hari dia tidak bertemu lelaki itu. Sedikit sebanyak hatinya jatuh rindu, namun saat itu yang lebih penting baginya adalah mendengar penjelasan Nashriq tentang soal pertunangan lelaki itu dengan Suraya. Duha Maisara mengeluh kecil. Sudah hampir dua bulan dia di situ, bagaimana dia begitu bodoh tidak tahu siapa sebenarnya Suraya yang dikatakan teman wanita Nashriq. Hatinya pedih mendengar kenyataan itu tapi dia tidak mahu cepat membuat kesimpulan. Dia harus mendengarnya sendiri dari mulut lelaki itu.

Matanya memandang jarum jam yang hampir menunjukkan pukul 6.00 petang. Ramai yang sudah pulang. Jangan-jangan Nashriq terus pulang ke rumah selepas ke Sri Sutra Corporation, fikir Duha Maisara. Dia mendengus tiba-tiba. Jika telefon bimbitnya tidak hilang, pasti dia boleh menghubungi lelaki itu bertanyakan dia di mana. Tidaklah masanya terbuang begitu sahaja menanti. Tak apalah, aku tunggu sampai 6.30. Jika dia tidak sampai juga, terpaksalah aku pulang saja, bisik hati kecil Duha Maisara.

Dia segera mengemas fail-fail di mejanya lalu memasukkannya ke dalam kabinet fail yang memang sentiasa berkunci. Selepas itu dia kembali ke mejanya. Tapi perutnya tiba-tiba berkeroncong pula. Duha Maisara tersenyum sendiri. Sejak pagi tadi dia belum menyentuh apa-apa makanan pun. Melihat ke arah ruang bilik rehat yang kosong, dia melangkah perlahan-lahan ke arah bilik tersebut. Barangkali masih ada sedikit biskut dalam kabinet bilik rehat itu!

Dia segera memeriksa rak-rak kabinet. Bibirnya tersenyum tatkala menemui sebungkus mee segera dan beberapa bungkusan biskut coklat yang masih banyak isinya. Duha Maisara segera mengambil segelas mug lalu menuang air panas dari dalam termos serta seuncang teh Boh. Minuman itu dikacau dengan beberapa paket kecil krimer dan gula yang ditemuinya dalam balang kecil di tepi peti ais. Hatinya puas. Cukuplah untuk mengalas perutnya buat seketika.

Dia segera membawa mug dan biskut coklat ingin kembali ke mejanya. Namun sebaik dia berpaling, wajah Engku Iskandar tiba-tiba terpacul di muka pintu bilik rehat. Duha Maisara terperanjat besar. Nyaris-nyaris dia tertumpahkan air dari cawan yang dipegangnya.

“ Tuan.” Duha Maisara mengurut dadanya yang masih berdebar-debar.

“Kenapa? Terkejut tengok saya di sini?” Lelaki itu ketawa.

Duha Maisara menggeleng. Dia ingin keluar dari ruangan itu, tapi tubuh Engku Iskndar seperti sengaja menghalang. Dia memandang lelaki itu. Entah kenapa hatinya tidak sedap. Mata lelaki itu bagaikan meratah tubuhnya dari atas ke bawah. Dia tidak suka dipandang begitu.

“Tuan, maafkan saya. Saya nak keluar.” Pinta Duha Maisara separuh cemas.

“Nak keluar? Keluar ke mana? Bukankah lebih baik kita berdua berada di sini sahaja. Tak ada gangguan sesiapa.” Ujar lelaki itu dengan mata galak. Duha Maisara mula merasa takut. Lelaki itu tiba-tiba mendekatinya, menyebabkan dia terpaksa berundur selangkah demi selangkah.

“Tuan, apa ni? Tolong...jangan buat saya macam ni.” Rayu Duha Maisara ketakutan. Engku Iskandar hanya tertawa. Dia mahu tahu sejauh mana kebenaran kata-kata temannya tentang gadis itu.

“Kenapa you nak malu-malu Duha, bukannya you tak biasa dengan kerja-kerja macam ni. Berapa you mahu, nanti saya bayar.” Pujuk Engku Iskandar.

Berdesing telinga Duha Maisara mendengar kata-kata lelaki itu. Hatinya pedih dan panas.

...bersambung

Bab akan datang:

Apa yang Engku Iskandar mahukan daripada Duha? Adakah ini sebahagian daripada taktiknya untuk menjerat Duha?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience