Rate

Chapter 19

Romance Completed 26118

BAB 19

“Kenapa umi tak suka dengan Hana. Apa yang Hana dah buat pada umi sampai umi marah macam ni?” Soalan itu pernah diajukan padanya suatu ketika dahulu. Dia terkejut bila Nashriq tiba-tiba muncul di hadapannya dengan wajah merah padam. Anak muda itu masih lengkap berpakaian uniform sekolah.

“Kenapa tiba-tiba sebut nama budak tu?” Dia memandang Nashriq.

“Hana umi. Nama budak yang umi maksudkan itu Hana. Raihana Munif.”

“Cukup Naz! Kenapa kurang ajar sangat dengan umi ni? Apa yang budak tu bagi Naz makan sampai Naz berani lawan cakap umi?” Marah sungguh dia bila Nashriq berani meninggikan suara di hadapannya.

“Naz takkan kurang ajar macam ni, kalau umi tak malukan Hana malam semalam. Patutlah bila Naz datang semula, Hana dah tak ada kat situ. Rupa-rupanya umi yang suruh dia pulang bukan.” Tuduh Nashriq. Panas benar hatinya dengan sikap uminya.

“Umi tak suruh dia pulang. Dia pulang sebab dia sedar kedudukan dia dalam rumah kita. Dan umi rasa Naz juga patut sedar siapa dia. Dia cuma anak orang gaji Naz, umi tak mahu Naz terlalu beri muka pada budak tu. Naz tak malu ke dengan kawan-kawan Naz semalam?”

“Apa umi cakap ni? Sejak bila Hana jadi anak orang gaji, sedangkan ayah juga sayangkan Hana?”

Dia terdiam. Kata-kata Nashriq semakin membuatkan hatinya panas. Dia tahu suaminya memberi sepenuh kebebasan pada Raihana untuk keluar masuk dalam rumah itu. Layanan suaminya pada Raihana tak ubah seperti anak sendiri. Itulah yang membuatkan hatinya tidak senang selama ini.

“Awak tak boleh layan Hana macam tu. Dia tu budak-budak lagi. Apa salahnya dia berkawan dengan Nashriq?”

Dia yang sedang menyapu losyen di tangannya, mengerling suaminya yang sedang membaca. Kata-kata suaminya membuatkan dia sangsi. Bukan sekali dua dia mendengar kata-kata orang tentang kecurangan suaminya di luar rumah. Malah sudah acapkali. Namun dia hanya memekakkan telinga, membutakan hatinya. Setiap kali suaminya dekat dengan keluarga Raihana, entah mengapa timbul rasa cemburu dalam dirinya. Apatah lagi suaminya selalu mengunjungi keluarga itu, kadangkala menghantar barangan keperluan rumah. Apa yang paling dirisaukannya selama ini adalah renungan mata suaminya yang menatap ibu Raihana dengan pandangan mesra. Itulah yang membuatkan hati perempuannya bergetar selama ini.

“You kena hati-hati sikit Latifah, lelaki ni kalau dah terpandang yang cantik jelita di hadapan mata, isteri orang ke, tunang orang ke, dia bukan kira. Lagi-lagi kalau dia berkemampuan untuk cari yang lain, macam suami you tu.” Engku Zarina, kakak iparnya sering mencucuknya, sehingga mata hatinya kian samar hari demi hari. Fikirannya pula dipenuhi dengan rasa sangsi dan sakit hati.

Bunyi ketukan yang singgah pada daun pintu, mengejutkan Engku Latifah seketika. Hilang sudah semua kenangan lama yang terimbas satu-persatu dalam kotak fikirannya. Dia menoleh ke arah pintu. Abangnya Engku Iskandar sedang tercegat memandang ke arahnya.

“Abang ganggu kamu?” Tanya Engku Iskandar.

“Eh taklah, masuklah bang. Apahal abang cari saya?”

Engku Iskandar tidak terus menjawab. Sebaliknya dia mendekati wanita itu lalu duduk di sofa berhadapan dengan Engku Latifah.

“Abang nak bincang dengan kamu fasal tugas pertama Nashriq.”

Engku Latifah mengerutkan dahinya. Dia tidak faham sebenarnya, apa maksud lelaki itu. Namun dia sabar menunggu sehingga Engku Iskandar membuka mulut.

“Begini Latifah. Macam kamu sedia maklum, selepas Tahir meninggal dua tahun lalu, abang mengambilalih tugas memangku jawatan pengurus besar. Tapi kini bila jawatan itu dah diambil alih oleh Nashriq, tentu ada sedikit perubahan dari segi pengurusan klien-klien lama kita.”

“Ya saya dengar ni…”

“Kamu pun tahu kan Latifah, klien-klien kita ada pelbagai seribu kerenah yang hendak dilayan. Abang takut Nashriq tak mampu menguruskannya nanti.”

“Soal itu abang jangan bimbang. Saya benar-benar yakin dengan kebolehan Nashriq. Lagipun Farouk boleh bantu Naz.” Balas Engku Latifah. Engku Iskandar terdiam.

“Kalau begitu kata kamu, abang terpaksa akur. Kalau begitu, klien kita dari US tu, abang serahkan sepenuhnya pada Nashriq. Malam esok, dia kena berbincang dengan klien-klien itu semua fasal projek pembinaan loji peralatan mekanikal di Putrajaya.” Ujar Engku Iskandar tenang. Namun jauh di sudut hati, dia seperti hendak ketawa. Kita tengok nanti Nashriq, siapa yang paling berkebolehan antara kita berdua. Aku benar-benar nak tengok, apakah kau mampu menghadapi klien itu semua.

******

Suraya berjalan mundar mandir serba tak kena. Sekejap sekejap dia akan kelihatan berulangalik di hadapan pintu bilik itu. Sejak beberapa hari yang lalu, begitulah rutin hariannya. Entah kenapa sejak kehadiran Nashriq di bilik yang sudah lama kosong itu, hatinya teramat ingin menemui Nashriq semula. Namun apakan dayanya, hajatnya sentiasa tak kesampaian.

...bersambung

Bab akan datang:

Mengapa Suraya ingin benar menemui Nashriq?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience