Rate

Chapter 10

Romance Completed 26118

BAB 10

Dari jauh dia melihat gadis itu dikelilingi oleh teman-temannya. Wajah Suraya nampak takut. Syahrul ketawa terbahak-bahak. Rasakan!

“You nak apa ni? Please jangan ganggu I, boleh tak?” Suraya meraba-raba tas tangannya. Namun entah apa malangnya, kunci kereta yang dicari gagal ditemui.

“Kami bukan nak ganggu cik adik, kami cuma nak ajak cik adik ni temankan kami malam ni. Tentu boleh kan?” Fendi tersengih.

“You all jangan nak cari fasal. I jerit nanti.” Ugut Suraya.

“Oh nak jerit. Ha tunggu apa lagi, jeritlah.” Fendi membakar emosi gadis itu. Samad di sebelahnya perlahan-lahan merapati gadis itu. Suraya semakin gementar.

“Hmm cantik juga perempuan ni Fendi. Patutlah member kita tu terbakar sangat.” Samad ketawa kecil. Tangannya naik ke wajah Suraya. Gadis itu menepis.

“Jangan kurang ajar!”

“Hui melawan nampaknya,” Samad semakin galak ketawa. Suraya menggigit bibir. Terasa geram sekaligus marah. Dia terus mencari kunci kereta, namun yang ditemuinya hanyalah botol ‘pepper stray’ yang sentiasa tersimpan di dalam tas tangannya. Dia menggenggam botol itu di belakangnya. Kalau lelaki itu cuba berbuat sesuatu yang tidak senonoh terhadapnya, dia akan menggunakan ‘pepper stray’ itu.

“Abang nak cium sikit boleh tak sayang?” Samad menyakat. Mulutnya dimuncungkan ke arah Suraya.

“Kalau abang tu dapat, abang yang ini pun nak.” Pintas Fendi pula galak. Dia melangkah menghampiri gadis itu. Suraya mengundur selangkah dua. Dia menarik nafas panjang. Namun belum sempat dia bertindak, tubuh Fendi seolah tertarik ke belakang. Pemuda itu jatuh terhempas. Suraya tercengang.

Samad yang juga tergaman segera menoleh. Seorang lelaki tinggi lampai berwajah serius, menatap tajam ke arahnya. Samad mengetapkan bibirnya. Geram. Dia memandang Fendi yang terkiai-kiai cuba bangun.

“Bedebah! Kau ni siapa pulak?” Bentak Samad.

Pemuda itu tidak menjawab. Suraya tersenyum senang. Dia segera mengundur ke tepi. Entah kenapa dia betul-betul bertuah malam ini. Dia diselamatkan oleh lelaki itu, umpama puteri raja dalam cerita dongeng yang pernah dibacanya sedari zaman kecil.

******

Dia baru selesai menyanyikan sebuah lagu diiringi petikan gitar sekumpulan pemuzik. Habis bernyanyi, dia menerima tepukan gemuruh dari pelanggan-pelanggan Blue Ocean. Tak kurang juga siulan-siulan nakal dilemparkan padanya. Dia tunduk sedikit, sebelum melangkah keluar dari pentas. Langkahnya segera dihela pantas ke bilik pakaian. Beberapa orang gadis kelihatan sedang berbual-bual di suatu sudut.

Dia tidak berniat mahu menegur gadis-gadis itu. Dibiarkan sahaja mereka riuh rendah menjaja pelbagai cerita. Anting-anting yang dipakai segera ditanggalkan. Matanya menjunam ke arah cermin besar di hadapannya. Wajahnya yang bermekap tebal itu dipandang agak lama. Sampai bila dia mahu terus begini? Ini bukanlah dirinya yang sebenar. Semua solekan, pakaian bergemerlapan dan gaya rambut itu bukanlah menunjukkan dirinya yang sebenar, tapi orang lain.

Duha Maisara segera menyapu mekap di wajahnya. Dia benci bermekap tebal. Dia benci berpakaian singkat seperti ini. Tapi apa dayanya, dia terpaksa tanpa rela. Hendak dikarang dukanya pada siapa, jika tiada siapa yang mahu mendengar. Mahu berkeluh kesah dengan Zafran, lelaki itu tentunya sedang sibuk dengan tugas barunya. Lagipun sampai sekarang Zafran masih belum tahu yang dia bekerja di tempat seperti itu. Dia sendiri tidak berniat mahu Zafran tahu. Jika lelaki itu tahu, pasti Zafran mengamuk sakan.

“Kamu nak kerja apa? Siapa yang akan ambil kamu kerja dengan setakat sijil STPM kamu tu? Kerja kilang? Shiftnya saja bukan main panjang. Lebih baik kamu ikut kata aku, kerja di tempat Mami Jun tu. Kerjanya senang, gajinya pun banyak.” Bicara ayahnya hampir setahun yang lalu, membuatkan airmatanya berlinangan tanpa sedar.

Ayah! Duha tahu ayah bencikan Duha. Duha tahu yang Duha tidak ada tempat yang istimewa di hati ayah seperti Zafran. Sebab itu ayah tak pernah mahu memandang wajah Duha lama-lama. Benci benar ayah pada Duha. Selama ini hanya Duha seorang sahaja yang menyimpan perasaan kasih dan hormat pada ayah. Sedangkan ayah?

“Duha, pergi cuci pinggan lepas tu masak nasi. Jangan ganggu Zafran nak belajar.” Jerit lelaki itu tatkala dia menjenguk Zafran yang sedang belajar.

“Biarlah ayah, Duha pun nak belajar juga. Biarlah dia temankan Yan kat sini.” Pintas Zafran pula.

“Jangan nak melawan cakap aku. Tugas kamu belajar Zafran, bukannya melayan dia. Lagipun kalau dia ada di situ, apa yang dia boleh buat?”

“Itulah dari dulu lagi Yan dah suruh ayah sekolahkan Duha, tapi ayah tak nak. Ayah suruh dia buat macam-macam kerja macamlah dia pembantu rumah kita.” Zafran mencebik. Sinis.

Ayahnya tergaman. Bulat mata lelaki itu memandang Zafran yang selamba sahaja menuturkan ayat berbisa.

...bersambung

Bab akan datang:

Mungkinkah Zafran menyukai Duha?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience