Rate

Chapter 201

Romance Completed 26118

Bab 201

Mata Nashriq menikam tepat ke wajah Duha Maisara yang mula gelisah, sambil dia menutup pintu bilik itu perlahan-lahan.

“Naz, apa ni?” Duha Maisara bertanya terketar-ketar. Entah kenapa tindak tanduk lelaki itu dirasakan agak aneh.

Melihat lelaki itu mendekatinya perlahan-lahan, nafas Duha Maisara terasa hendak putus. “Awak…awak nak buat apa ni?” Dia cuba mengelak. Namun tubuh lelaki itu semakin menghampirinya.

“Kenapa? Kau takut?” Nashriq tertawa sinis.

“Naz, tolong jangan main-main macam ni. Saya…saya tak suka.” Suara Duha Maisara seperti hendak menangis.

“Tak suka apa yang aku buat, atau tak suka aku berada di samping kau?” Pertanyaan lelaki itu membuatkan anak mata Duha Maisara membenam di wajah itu. Mata Nashriq masih merenung tajam wajah gadis di hadapannya. Perlahan-lahan, jari-jemari lelaki itu singgah di pipinya, membuatkan tubuh Duha Maisara semakin gementar.

“Tolong jangan buat saya macam ni. Apa yang awak mahukan sebenarnya?” Rintih Duha Maisara dengan airmata berguguran di pipinya.

“Apa aku mahu? Aku cuma mahu kau puaskan aku sebagaimana kau puaskan Zafran, boleh?” Ucap Nashriq dengan mata bersinar marah.

Mendengar kata-kata Nashriq, Duha Maisara tersentak. Nama Zafran tiba-tiba meniti dari bibir lelaki itu, membuatkan Duha Maisara diterpa rasa hairan. Selebihnya dia tidak mengerti apa maksud kata-kata Nashriq itu. Apa kaitan Zafran dengan apa yang terjadi?

“Apa maksud awak Naz?”

Nashriq ketawa kecil. “Susah sangatkah nak faham kata-kata aku atau kau berlagak tak faham? Apa yang seorang lelaki macam aku mahukan pada seorang gadis macam kau, takkan kau tak boleh faham?” Bisik lelaki itu sinis seraya mendekatinya.

Mata Duha Maisara merah memandang lelaki itu. Entah kenapa hatinya terasa sakit dengan kata-kata Nashriq ketika itu. Dia tidak sangka lelaki yang selama ini diagungkan dalam hatinya boleh bertindak seperti ini.

“Kalau awak tak perlukan saya lagi, awak boleh halau saya pergi. Tapi jangan sesekali hina saya macam ni.” Dia menolak tubuh Nashriq sekuat hati. Nashriq terkejut namun dengan cepat memaut tangannya kembali. Tubuh gadis itu dihenyak kasar mengadap ke arah dinding bilik. Duha Maisara tersentak.

“Pernah selama ini kau cintakan aku?” Soalnya sambil memandang Duha Maisara yang bagaikan kaku.

“Pernah?” Ulang Nashriq dengan nada keras.

Duha Maisara terdiam. Entah kenapa tiada satu pun kata-kata lelaki itu dia faham meskipun bahasa pertuturan lelaki itu sama dengannya. Oh tuhan, kenapa dengan dia?

“Atau kau cintakan Zafran lebih dari kau mencintai aku?”

Mendengar nama Zafran singgah sekali lagi, Duha Maisara terkejut.

“Kenapa kau berbohong pada aku Duha? Kenapa kau rahsiakan siapa Doktor Zafran dalam hidup kau? Dia bukan abang kau bukan? Jadi kenapa kau berbohong?” Tengking Nashriq berang. Kesabarannya semakin berkocak dengan sikap Duha Maisara yang hanya membisu.

“Beritahu aku sesuatu. Apa selama ini kau tinggal serumah dengan dia? Apa selama ini kau juga tidur sekatil dengan lelaki itu?” Jerit Nashriq hilang sabar. Duha Maisara tersentak mendengar kata-kata Nashriq. Tanpa sedar, tangannya naik ke pipi Nashriq menyebabkan giliran Nashriq tergaman. Dia memegang pipinya yang terasa perit, sambil merenung Duha Maisara yang kaku dan pucat.

“Baru saya faham kenapa awak bersikap macam ni pada saya, Naz. Rupa-rupanya awak cemburukan Zafran. Tapi yang paling memeritkan saya, dalam hati awak saya tetap perempuan murahan yang awak kutip di kelab malam tu. Kalau harga diri saya serendah itu, kenapa awak berikan harapan pada saya? Kenapa awak biarkan saya mencintai awak?” Mata Duha Maisara mula basah dengan airmata. Nashriq seakan kaku memandang wajah itu.

“Awak tuduh saya tidur dengan Zafran, sedangkan dia adalah lelaki yang paling saya hormati dalam hidup saya. Kalau awak percaya saya perempuan semurah itu, buatlah apa sahaja yang awak suka dengan saya. Tapi selepas ini, cinta saya pada awak akan selama-lamanya terkubur. Dan saya takkan bertemu awak lagi buat selama-lamanya,” bisik Duha Maisara sebak.

Nashriq tersentak. Wajah Duha Maisara yang kesedihan diraut dengan sepasang matanya yang mula gelisah. Entah kenapa kata-kata yang keluar dari mulut gadis itu membuatkan hatinya bertambah sakit. Gadis itu menyebut tentang cinta padanya. Sedang cinta itulah yang sedang cuba dirosakkannya, demi kerana rasa cemburu yang bercambah dalam hatinya saat itu.

Demi tuhan, dia sayang pada gadis itu. Dia takkan sesekali sanggup mengapa-apakan Duha Maisara sehingga gadis itu sah menjadi hak miliknya. Namun dia hanya manusia biasa. Lelaki yang tidak lepas dari perasaan cemburu. Cemburu bila gadis yang disayanginya didakap lelaki lain, dicintai lelaki lain. Dan kerana cemburu juga, dia hilang pertimbangan. Entah kenapa saat itu, dia mula membenci dirinya sendiri.

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah Nashriq memohon maaf kepada Duha dengan tuduhan melulunya itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience