Rate

Chapter 108

Romance Completed 26118

Bab 108

Namun untuk meneka hati lelaki itu, dia tidak berani. Bimbang dirinya dikecewakan. Apatah lagi dia sedar, dia bukan lagi Raihana yang menjadi kesayangan lelaki itu, bukan jua kanak-kanak kecil yang sering dimanjakan lelaki itu dulu. Kini dia adalah Duha Maisara. Seorang gadis malang yang terpaksa berperang dengan takdir di sepanjang hidupnya. Lagipun dia tidak layak bersama Nashriq. Lelaki itu mempunyai segala-galanya dalam hidup, sedangkan dia? Dia hanya seorang penyanyi kelab malam yang menumpang kasih orang. Berkelana dalam sepi.

Duha Maisara memeluk bantal kecil di pangkuannya. Matanya dipejamkan. Cuba menghalau wajah Nashriq yang kian kerap muncul di matanya. Hana tak layak untuk abang lagi. Lebih baik abang terus tidak tahu siapa Duha Maisara sebenarnya. Hana tidak berani mengharapkan bahagia seperti yang kita ucapkan dulu.

“Rumah ini milik seseorang yang aku sayang.” Bisik Nashriq petang tadi melintas di fikirannya. Dia berpaling. Wajah lelaki itu memandang lurus ke suatu arah. Tenang.

“Dia siapa?” Tanyanya. Sengaja dia mahu tahu jawapan Nashriq.

Lelaki itu memandangnya sambil tersenyum. Seketika, matanya dilarikan lagi. “Seorang yang terlalu bererti dalam hidup aku. Adik yang teramat aku sayang.” Ujar Nashriq. Dia tersentak. Meskipun dia tahu siapa yang dimaksudkan oleh lelaki itu, namun panggilan ‘adik’ yang disebut oleh lelaki itu membuatkan dia terharu. Sejak dulu, Nashriq sentiasa menganggapnya sebagai adik.

“Hana akan terus jadi adik abang buat selama-lamanya. Abang sayangkan Hana. Cepat sembuh ya,” Bisikan Nashriq sewaktu dia demam panas masih terdengar-dengar di telinganya. Sewaktu itu dia berusia 10 tahun dan Nashriq pula 13 tahun. Mana mungkin dia lupa pada ucapan itu. Mana mungkin dia lupakan saat-saat Nashriq menemaninya di rumah sakit. Sepanjang malam Nashriq mengelap dahinya dengan tuala lembab, semata-mata mahu memastikan suhu badannya turun.

“Tengok tu, sayang benar dia pada adiknya.” Ayahnya Munif tertawa besar apabila melihat Nashriq tertidur di tepi katilnya. Zainal Ikram turut ketawa. Ibunya Maisara pula hanya tersenyum simpul.

“Biarlah budak-budak ni Munif.” Komen Zainal Ikram sambil tersenyum. Tangan lelaki itu cepat sampai ke dahinya.

“Dah kurang panasnya dahi Hana ni. Nasib baik kita sempat ke klinik. Kalau tidak bahaya kalau dibiarkan.” Ujar Zainal Ikram Tangan lelaki itu di dahinya berganti dengan tangan ayahnya. Dia sedar, hanya pura-pura masih tidur. Entah kenapa, usia sekecilnya sudah tahu malu apabila ayah, ibu dan babanya melihat tangannya dirangkul erat dalam genggaman Nashriq.

Lamunan Duha Maisara terganggu apabila telefon di dalam poket begnya berbunyi nyaring. Dia memandang jam di dinding ruang tamu itu. Hampir pukul 12.30 malam, siapa pula yang menelefonnya tengah-tengah malam begini. Dia segera mencapai telefon bimbitnya. Skrin telefonnya ditatap sepintas lalu. Namun nama yang terpapar di situ membuatkan dia tercengang. Nashriq? Apa mahunya dia malam-malam begini?

“Hello.” Sapa Duha Maisara memulakan bicara.

Namun kata-katanya tidak bersambut. Yang terdengar di telinganya hanyalah irama muzik Inggeris di corong telefon. Duha Maisara turut terdiam. Dia mahu mendengar lelaki itu memulakan bicara, namun suasana terus sunyi sepi. Duha Maisara mula gelisah.

“Hello, awak ke tu? Awak nak apa?” Soal Duha Maisara perlahan. Namun orang yang menelefonnya terus membisu. Duha Maisara tersenyum. Dia tahu lelaki itu sengaja mahu mencabar kesabarannya.

“Kalau awak tak nak bercakap, saya letak telefon ya. Bye.” Ujar Duha Maisara.

“Belum tidur?” Soal suatu suara, tiba-tiba singgah di pendengarannya. Dia terus tersenyum. Umpannya mengena. Tahu juga dia takut kalau aku memutuskan panggilannya, bisik Duha Maisara hampir tertawa.

“Kenapa tak tidur lagi?” Soalan itu singgah semula.

“Awak? Kenapa tak tidur?” Giliran Duha Maisara pula bertanya.

Lelaki itu melepaskan tawa. “Aku tak dapat tidur, tak boleh tidur.” Akuinya.

“Kenapa?”

“Entahlah. Mungkin sebab aku teringatkan kau.” Ucap Nashriq berani. Duha Maisara terdiam. Mukanya merah padam, meskipun hanya mendengar kata-kata itu terucap dari bibir Nashriq.

“Kau tak tidur sebab ingatkan aku juga ke?” Duga Nashriq.

Duha Maisara tergaman. Lurusnya soalan itu, bagaimana dia harus menjawab.

“Kau sukakan aku kan?” Kata-kata lelaki itu membuatkan dia tambah malu.

“Tak apalah kalau kau tak mahu mengaku, tapi aku tahu kau sukakan aku. Oh ya, kau dah buka hadiah tu?” Tanya Nashriq.

Duha Maisara melirik kotak kecil di sampingnya yang masih belum terusik.

“Belum.” Jawabnya jujur.

Terdengar keluhan kecil keluar dari mulut Nashriq. “Kenapa belum buka? Tak suka dengan hadiah sekecil itu?” Soal Nashriq bagaikan merajuk dengannya.

“Bukan, saya tak sempat nak buka. Saya baru lepas mandi.” Ujar Duha Maisara berbohong. Padahal, pakaian yang dipakainya tadi masih belum berganti.

...bersambung

Bab akan datang:

Apa hadiah yang diberikan Nashriq kepada Duha?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience