Rate

Chapter 195

Romance Completed 26118

Bab 195

“Aku nak pergi makan dengan Suraya. Kau nak ikut?” Pelawa Nashriq perlahan. Duha Maisara tidak menjawab. Dia bingkas bangun sambil berjalan ke muka pintu. Wajah Nashriq langsung tidak mahu dipandang. Nashriq hanya mampu memerhatikan anak gadis itu melangkah keluar dengan perasaan sesal.

******

Suraya memandang pergelangan tangannya. Jarum jam di tangannya hampir pukul 12.50 minit tengahari. Mana Nashriq ni? Kata tadi nak pergi makan, tapi batang hidung lelaki itu langsung tidak kelihatan. Kalau dia tahu begini, lebih baik berjanji berjumpa di lobi pejabat sahaja. Tidaklah dia tercongak seorang diri menanti lelaki itu. Suraya merungut sendiri.

Nada deringan telefon bimbitnya kedengaran dari dalam beg tangan. Pasti Nashriq yang menelefon. Dia cepat-cepat membuka beg tangannya. Tapi melihat nama Sachary terpapar pada skrin telefon, Suraya tersenyum. Hmm hendak apa agaknya abangnya itu? Barangkali bosan makan tengahari sendirian agaknya, duga Suraya nakal.

Namun belum sempat dia menjawab panggilan itu, tiba-tiba mulutnya ditekup dari belakang. Suraya terkejut. Telefon yang berada di tangannya tercampak jatuh. Dia cuba meronta-ronta, tapi pegangan dua lelaki itu lebih kuat. Dia tidak dapat melihat lelaki-lelaki yang menangkapnya kerana semuanya memakai penutup muka. Salah seorang lagi lelaki itu menyepak telefonnya jauh ke bawah keretanya. Suraya mulai takut. Tubuhnya gementar. Oh tuhan, siapa mereka ni?

Sebuah van berwarna hitam, singgah tiba-tiba di situ. Kedua lelaki itu terus menolak tubuhnya ke arah van. Dia cuba menjerit sekuat hati, namun suaranya tidak keluar. Apabila van itu beredar dari arah kawasan parking, mata Suraya terlihat kelibat Nashriq baru keluar dari lift. Naz, tolong I, rintih Suraya ketakutan. Namun suaranya tidak keluar.

******

Zafran memandang ke arah Maisara yang duduk diam sambil menekup mukanya di suatu sudut. Sesekali wanita itu akan bercakap seorang diri mengadap ke arah dinding. Selama hampir satu jam dia di situ, hanya itu sahajalah yang dibuat oleh wanita itu.

“Tujuan awak datang hari ni nak bertanyakan saya tentang ibu Duha bukan?” Doktor Habibah seolah boleh menduga punca kehadiran lelaki itu di situ. Zafran tidak terus memberi sebarang reaksi. Wajah wanita itu dipandang sekilas sebelum matanya dilarikan ke suatu arah.

“Saya perlu tahu semua perkara tentang Duha, doktor.”

“Bukankah saya sudah minta awak bertanya pada dia sendiri?”

“Saya sudah bertanya, tapi tak banyak yang mahu diceritakannya pada saya. Dia hanya memberitahu siapa dia dan siapa ibunya. Sedangkan saya mahu tahu tentang hidupnya sebelum dia muncul dalam hidup saya. Tolonglah doktor,” rayu Zafran.

“Dan bagaimana awak pasti saya tahu semua perkara tentang dia?”

“Sebab sejak akhir-akhir ini, doktor yang paling rapat dengan dia. Duha tidak ramai kawan, sejak kecil dia suka bersendirian. Saya tahu jika dia ingin meluahkan perasaan, dia pasti akan mencari doktor.”

Doktor Habibah mengeluh panjang. Namun melihat wajah Zafran yang begitu beria-ria, dia jadi tidak sampai hati. Dia sendiri kurang faham kenapa gadis itu mahu berahsia dengan Zafran sedangkan hubungan mereka agak baik dan mesra. Pasti Duha Maisara ada sebabnya.

“Tak banyak juga yang saya tahu fasal Duha, Zafran. Saya cuma tahu nama sebenarnya Raihana Munif. Dia anak seorang lelaki yang pernah dituduh membunuh majikannya dua belas tahun dulu. Ayahnya meninggal di penjara hampir dua belas tahun dahulu, tiga bulan selepas disabitkan kesalahan. Selepas itu dia dan ibunya dihalau oleh keluarga majikannya dari rumah dan tanah tempat mereka berlindung. Kerana terlalu sedih dengan apa yang menimpa keluarganya, ibunya jatuh sakit dan koma di hospital. Ketika itu juga dia diculik dari rumah sakit oleh beberapa lelaki untuk dijual ke seberang.”

“Diculik?” Zafran tergaman.

“Ya diculik. Tapi dia berjaya melepaskan diri, sebelum mengalami kemalangan jalan raya. Disebabkan kemalangan itu, dia tinggal bersama awak dan ayah awak Zafran. Itulah yang diceritakan kepada saya.” Jelas Doktor Habibah.

“Tapi kenapa dia berpura-pura hilang ingatan? Kenapa dia tak balik bertemu dengan ibunya semula?”

“Sewaktu dalam tawanan, dia diberitahu ibunya sudah mati dibunuh. Selepas sembuh, dia pernah ke hospital beberapa kali untuk mencari ibunya tapi tak bertemu. Dia akhirnya yakin ibunya sudah meninggal dunia. Sebab itu dia berpura-pura hilang ingatan. Dia juga takut jika dia dedahkan nama sebenarnya, mungkin penjahat-penjahat itu akan mencarinya semula. Dia terpaksa buat begitu Zafran, demi keselamatannya.”

Zafran termenung panjang. Dia tidak menyangka nasib Duha Maisara begitu. Selama ini dia menyangka hidup gadis itu sebelum hilang ingatan dan sebelum tinggal bersamanya, pastinya bahagia. Sedikit pun dia tidak menduga cerita Duha Maisara akan berakhir begini.

“Doktor tahu siapa nama majikan ayah Duha tu?”

Doktor Habibah tidak terus menjawab. Dia termenung panjang, seolah-olah cuba mengingati sesuatu.

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah Dr Habibah dapat mengingatinya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience