Rate

Chapter 155

Romance Completed 26118

Bab 155

* * * *

Nashriq kembali ke pejabat dengan langkah longlai. Dia sempat memandang tempat duduk Duha Maisara yang masih kosong. Fikirannya benar-benar bercelaru. Dia sudah habis ikhtiar mahu menemui gadis itu. Entah apa yang tidak kena dengan Duha Maisara? Jika tidak sihat sekalipun, takkan tidak pandai-pandai menelefon ke pejabat memberitahu, rungut Nashriq separuh geram.

Melihat kelibat Erman yang sedang menyelesaikan kerja, Nashriq tidak jadi melangkah ke biliknya. Sebaliknya langkahnya diatur menuju ke ruangan bilik sederhana besar di hujung sayap kanan. Matanya asyik ke arah Erman sehingga tidak sedar kelibat seorang lelaki yang sedang melangkah dari arah hadapan. Bahu berlaga bahu. Nashriq mengaduh apabila terasa hentakan keras mengenai tulang bahunya. Lelaki itu juga terperanjat besar.

“Eh! Maaf Encik Nashriq, saya tak sengaja tadi. Benar-benar tak sengaja.” Ujar lelaki itu tergagap-gagap. Bunyi bising itu menarik perhatian Erman yang terus keluar melihat.

“Kenapa ni Naz?” Tanya Erman.

“Tak, tak ada apa-apa.” Jawab Nashriq menggelengkan kepalanya. Dia memandang lelaki itu sambil tersenyum. “You okey?”

“O..okey Encik Nashriq.” Balas lelaki itu. Mata lelaki itu beralih dari wajahnya ke bawah. Nashriq turut tunduk ke bawah. Dia melihat lelaki itu mengutip sesuatu di lantai. Melihat benda di tangan lelaki itu, entah kenapa hati Nashriq bergetar tiba-tiba.

“Tak apalah Encik Nashriq, saya pergi dulu,” ujar lelaki itu mula melangkah. Namun sepantas kilat, jari jemari Nashriq melekat kuat di pergelangan tangannya. Lelaki itu terpegun. Erman yang melihat juga terasa hairan.

“Apa kat tangan you tu?” Tanya Nashriq dengan dada berombak-ombak.

Lelaki itu memandang seutas rantai di genggamannya. Dia tersenyum. “Oh ini, saya jumpa rantai ni tadi di bilik rehat. Tak tahu siapa yang punya, sebab tu saya bawa ke kaunter, kalau-kalau tuannya datang menuntutnya.” Beritahu lelaki itu.

“Di mana you jumpa rantai ni tadi?’ Soal Nashriq terburu-buru.

“Di bilik rehat tingkat ni.” Jelas lelaki itu sambil mengerutkan dahinya. Gerak geri Nashriq mula menimbulkan tanda tanyanya. Erman memandang Nashriq yang nampak resah.

“Naz, kenapa ni?” Tanya Erman hairan. Nashriq memandang lelaki itu dengan wajah resah. Dadanya berombak kencang. Dia hampir terjatuh jika sahaja tidak berpaut pada bucu meja di situ. Oh tuhan!

“Naz, are you okay?’ Wajah Erman mulai bimbang. Kenapa dengan dia?

Nashriq memejamkan matanya. Dia cuba bertenang, meskipun gelodak rasa di hatinya membuak-buak. Dia berpaling ke arah Erman. “Abang, she’s here. She’s really here.” Bisik Nashriq bertalu-talu.

Erman terpaku. Siapa? Siapa yang dimaksudkan oleh anak muda itu?

“Rantai tu..rantai tu milik dia.” Ucap Nashriq lagi.

“Naz, abang tak faham. Siapa yang kau maksudkan?”

“Hana...Hana bang. Rantai ni milik Raihana.” Ujar Nashriq membuatkan Erman tersentak. Raihana? Dia memandang utas rantai berbatu ‘sapphire’ di tapak tangan Asrul, pekerja am di situ. Memang betul. Rantai itu sama dengan rantai yang dimiliki oleh Nashriq. Dia juga tahu tentang Zainal Ikram yang menyediakan dua utas kalung itu untuk dua anak kesayangannya selama ini.

Melihat Nashriq yang bagaikan hilang arah, Erman segera bertindak menghubungi Wan Rohayu di Jabatan Personel.

“Hello Kak Wan? Ini Erman cakap. Hmm saya nak minta tolong Kak Wan semakkan nama pekerja-pekerja kita. Saya nak cari pekerja yang bernama Raihana Munif. Kalau boleh kak Wan mulakan dari pekerja di Jabatan Pentadbiran dahulu.” Suruh Erman sambil menjeling Nashriq yang kelihatan resah.

* * * *

“Apa kata Kak Wan?” Tanya Nashriq apabila Erman selesai berbual dengan wanita itu. Lelaki itu tidak terus menjawab. Wajahnya memandang serba-salah ke arah Nashriq yang kelihatan benar-benar mengharap.

“Kak Wan kata tak ada pekerja Mega Timur yang bernama Raihana samaada di jabatan kita ni atau pun jabatan-jabatan lain. Apa kau pasti, kalung ni bukan milik kau Naz? Mungkin kau sendiri pernah tercicirkan kalung ni di mana-mana di kawasan pejabat ni?”

Nashriq menggeleng. “Tak mungkin. Saya tak pernah bawa kalung ni ke pejabat. Saya masih simpan kalung ni di apartment kita.”

“Atau barangkali, ia milik salah seorang pekerja kita yang kebetulan kalungnya sama dengan yang dimiliki oleh kau dan Raihana.” Duga Erman.

“Tak mungkin bang. Kata ayah dulu batu sapphire yang dimiliki oleh saya dan Raihana dibelinya terus dari lombong batu permata di Ceylon, Sri Langka semasa ayah ke sana dulu. Ia dinamakan "padparadsha" ataupun bunga teratai sebab hanya ini satu-satunya batu permata ‘sapphire’ yang berwarna oren merah jambu dan mempunyai ‘asterism’ di dalamnya.” Terang Nashriq.

“Asterism?” Erman tidak faham.

“Asterism tu kilauan bintang dalam batu sapphire ini yang biasanya dipanggil fenomena optikal. Fenomena ni biasanya jarang berlaku dan kalau ada pun biasanya tak banyak.”

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah sangkaan Nashriq itu benar? Adakah Nashriq yakin Duha adalah Raihana?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience