Rate

Chapter 180

Romance Completed 26118

Bab 180

Semenjak akhir-akhir ini dia selalu memikirkan gadis itu. Dia selalu bertanya apa yang tidak kena dengan dirinya sehingga Duha Maisara tidak dapat mencintainya. Tapi sebenarnya jawapan itu sudah ada di hatinya sejak awal-awal lagi. Dia tahu bahawa cinta tak boleh dipaksa. Dia juga tahu bahawa selama ini gadis itu menderita dengan sikapnya yang tidak mahu mengerti. Memang dia sengaja pura-pura tidak mengerti. Semuanya kerana mahu mengubat sekeping hati yang tidak mahu kehilangan gadis itu.

Tapi kedinginan hubungan antara mereka membuatkan dia mula sedar sesuatu. Selama ini, sikapnya yang kian berubah membuatkan kenangan manis yang pernah mereka lalui dulu kabur sedikit demi sedikit. Sedangkan kenangan itulah yang menguatkan lagi kasih sayang antara mereka. Kenangan itu jugalah petanda bahawa betapa selama ini Duha Maisara terlalu hormat dan sayang padanya. Sepatutnya dia juga begitu. Demi kenangan yang mereka pernah lalui dulu, dia tidak seharusnya memaksa Duha Maisara ke jalan buntu. Dia sepatutnya menghormati keputusan gadis itu, demi cintanya yang tak pernah berbelah bagi.

******

Entah apa malangnya hari itu, dia terlambat bangun sedangkan jam tangannya sudah dikunci lebih awal. Apabila melihat ke arah katil, kelibat Zafran sudah menghilang. Entah ke mana lelaki itu pergi awal-awal pagi begini. Namun mengenangkan dia akan terlambat ke tempat kerjanya, Duha Maisara segera bergegas meninggalkan kawasan hospital. Sebuah teksi yang kebetulan singgah menghantar penumpang di pintu masuk hospital itu, segera ditahan. Dia masuk ke dalam perut teksi.

Sebaik tiba berhampiran kawasan apartmentnya, Duha Maisara segera melangkah pantas ke arah blok bangunan di mana dia tinggal. Namun sebelum sempat dia mahu melewati pintu pagar, bunyi hon kenderaan jelas terdengar di belakangnya. Dia berpaling pantas.

Nashriq keluar dari kereta sambil memandangnya. Melihat lelaki itu di situ pada awal-awal pagi, hati Duha Maisara berdegup kencang. Aduh! Kenapa pula dia ada di sini pada waktu ini? Entah mengapa kakinya tiba-tiba jadi kaku. Dia semakin resah apabila lelaki itu melangkah menghampirinya, semakin dekat.

Mata Nashriq tidak henti-henti merenung Duha Maisara dari atas ke bawah. Entah kenapa dia hairan dengan kemunculan Duha Maisara pada awal pagi itu. Malah pakaian gadis itu masih belum bertukar ganti sejak dari semalam. Dia mula teringat bagaimana gadis itu tergesa-gesa keluar semula dengan menaiki teksi malam semalam. Ke mana dia pergi sebenarnya?

“Awak buat apa di sini?” Tanya Duha Maisara sedikit gugup.

“Aku nak jemput kau ke pejabat sama-sama. Kau dari mana ni?” Tanya Nashriq ingin tahu. Entah mengapa sikap Duha Maisara terlihat aneh di matanya.

“Err saya ke rumah kawan semalam. Khusyuk sangat berbual, saya tak sedar masa dah lewat. Sebab tu saya tidur di sana saja.” Duha Maisara memberi alasan.

“Siapa? Syafa?” Soal Nashriq lagi dengan wajah serius.

“Bukan. Awak tak kenal.” Dia menggeleng. Masak dia kalau Nashriq bertanya perkara ini pada Syafa. Dia benar-benar tidak mahu Nashriq tahu yang dia bermalam di hospital kerana menemani Zafran.

“Habis, kawan dari Blue Ocean barangkali.” Sebut Nashriq selamba.

Duha Maisara terdiam. Matanya menatap Nashriq yang turut memandangnya. Dia tahu lelaki itu sengaja menyebut Blue Ocean di hadapannya. Nashriq seolah sengaja mahu menyakitkan hatinya, padahal lelaki itu tahu yang dia tidak suka diungkitkan perihal Blue Ocean. Seboleh-bolehnya dia mahu melupakan terus tempat itu dari lipatan sejarah hidupnya.

“Maaf, saya nak naik ke atas dulu. Nanti kalau lambat, tentu Tuan Pengurus Besar juga yang marah.” Jawab Duha Maisara seraya berpaling meninggalkan lelaki itu. Entah kenapa hatinya panas tiba-tiba.

Nashriq memerhatikan kelibat Duha Maisara yang berlalu pergi, namun dia tidak berganjak dari situ. Dia mahu menunggu gadis itu bersiap dan pergi bersama-sama. Tapi hatinya tidak dapat lari dari memikirkan tentang Duha Maisara. Dia tahu ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh gadis itu dari pengetahuannya.

Selepas mandi dan bersiap seadanya, Duha Maisara segera turun semula ke jalan besar. Dia mahu menunggu teksi untuk ke pejabat agar tidak terus terlewat. Tapi sebaik sampai di hujung pintu pagar, kelibat Nashriq sudah menanti di hadapannya. Duha Maisara mengetapkan bibirnya. Ingatkan dah pergi tadi, rupa-rupanya masih bertapak di sini, rungut Duha Maisara sedikit tidak senang. Anginnya datang balik setiap kali teringatkan sindiran lelaki itu tadi.

“Duha, masuk dalam kereta.” Suruh Nashriq sebaik terlihat anak gadis itu muncul. Pintu di hadapan tempat duduk penumpang sudah dibuka luas-luas untuk gadis itu.

“Tak apalah, saya tunggu teksi saja kat depan tu.” Duha Maisara menolak. Dia segera melangkah ke hadapan kereta Nashriq sambil mengintai teksi yang mungkin lalu.

...bersambung

Bab akan datang:

Mengapa Nashriq suka berkasar dengan Duha bila Duha tidak mengendahkannya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience