Rate

Chapter 104

Romance Completed 26118

Bab 104

Semuanya ada dalam fail ni.” Ujar Duha Maisara seraya menyerahkan fail itu ke tangan Nashriq.

“Itu saja?” Mata lelaki itu terpaku di wajah Duha Maisara yang seperti ingin mengatakan sesuatu. Erman turut memandangnya, membuatkan Duha Maisara serba salah. Akhirnya dia menggelengkan kepala seraya berlalu pergi.

Erman memandang kelibat Duha Maisara yang menghilang dari muka pintu. Lantas kepalanya ditoleh ke arah Nashriq yang sedang menyemak fail dokumen berwarna biru di hadapannya.

“Kau dengan budak perempuan tu betul tak ada apa-apa Naz?” Soal Erman tiba-tiba. Entah kenapa renungan mata Nashriq terhadap Duha Maisara bagaikan menyembunyikan sesuatu. Begitu juga dengan lirikan mata gadis itu terhadap Nashriq. Erman benar-benar risau dengan adegan di hadapan matanya.

Mata Nashriq beralih arah dari fail di tangannya ke wajah Erman. Dia mengerutkan dahinya. Kata-kata Erman membuatkan dia kurang senang.

“Kalau ada apa-apa pun, kenapa? Tak boleh?”

Mata Erman membulat. Dia masih ingat anak muda itu berkeras menafikan hubungannya dengan gadis itu. Kini, Nashriq seolah-olah melanggar janji sendiri.

“Kau serius ni?”

“Abang, apa salahnya kalau dia bekas penyanyi kelab malam? Yang penting saya tahu siapa dia, saya kenal dia. Bukankah itu sudah cukup?”

“Kau tak tahu apa yang kau cakapkan ni Naz.”

“Abang, saya dah dewasa. Cukup dewasa untuk membuat keputusan sendiri. Siapa sahaja yang saya suka, adalah hak saya sendiri.” Tegas Nashriq.

“Tapi gadis itu boleh menjatuhkan reputasi kau Naz. Malah jika orang tahu siapa dia, terutama musuh-musuh kau, mereka akan gunakan dia untuk menentang kau. Itu yang kau mahu?” Soal Erman.

Nashriq terdiam. Dia tahu Erman bercakap begitu kerana mengambil berat tentangnya. Tapi dia tak boleh membohongi dirinya lagi. Dia memang menyukai Duha Maisara, malah mungkin jua mencintainya. Jika kerana kedudukan dia terpaksa melepaskan gadis itu, maka dia lebih rela hilang segala-galanya.

Selepas Erman keluar dari biliknya, Nashriq termenung panjang. Dia asyik memikirkan kata-kata Erman sebentar tadi. Betulkah aku sanggup melepaskan segala-galanya demi Duha Maisara? Nashriq beredar ke jendela bilik. Dia menarik tirai jendela di hadapannya. Wajah Duha Maisara dicari di celah-celah pekerja-pekerja yang sedang rancak menjalankan tugas.

Apabila matanya dialihkan ke suatu arah, dia terpandang Duha Maisara sedang duduk di mejanya sambil membaca sesuatu. Wajah gadis itu serius. Tanpa sedar, Nashriq tersenyum sendiri. Entah dia sendiri tidak tahu sejak bila dia mula menyimpan perasaan suka dan sayang pada gadis itu.

Kalau diingat-ingatkan dulu, memang dia rasa menyesal melayan Duha Maisara dengan buruk. Waktu itu dia memang tidak pandai menjaga hati perempuan. Namun kesabaran dan kejujuran Duha Maisara membuatkan hatinya terusik.

Tiba-tiba Nashriq teringatkan sesuatu. Dia segera bergegas ke mejanya. Laci kedua sebelah kiri mejanya ditarik. Tersenyum dia melihat kotak kecil berbalut biru itu masih ada di dalam. Hadiah itu sengaja dibelikan untuk gadis itu di Jakarta. Malah dia merancang untuk menyerahkannya pada Duha Maisara semasa makan malam semalam. Namun kemunculan Bustaman membuatkan hasrat hatinya terbantut terus. Apatah lagi dengan wajah Duha Maisara yang masam mencuka merenungnya semalam.

Mengenangkan peristiwa semalam, dia tidak dapat menahan tawa. Rasa lucu dan kasihan datang serentak terhadap gadis itu. Lebih-lebih lagi apabila melihat wajah itu merah padam apabila diusik. Nashriq rasa bahagia. Sudah lama dia tidak merasakan perasaan seperti itu. Perasaan menyayangi seseorang dan mengambil berat. Semuanya membuatkan dia mampu tersenyum tenang. Semuanya kerana Duha Maisara. Gadis itu adalah sinar dalam hidupnya kini.

* * * *

Duha Maisara hendak melintas jalan ke seberang, apabila sebuah kereta Toyota RAV4 berwarna silver metalik berhenti mengejut di sebelahnya. Duha Maisara tergamam. Dia cam kereta itu. Tak keluar makankah dia, tiba-tiba saja muncul di sini, rungutnya tidak senang hati. Pintu kereta di sebelahnya dibuka. Kepala Nashriq menjenguk keluar memandangnya.

“Masuk!” Suruh Nashriq lagak mengarah.

“Saya nak ke kedai hujung sana. Dah tak jauh, dekat saja.” Balas Duha Maisara memberi alasan.

“Aku kata masuk, masuklah,” Suara anak muda itu mula meninggi. Duha Maisara serba salah jadinya. Melihat wajah Nashriq serius, mahu tak mahu dia segera masuk ke dalam kereta.

Nashriq memandu laju di tengah-tengah kesibukan kota raya. Malah anak muda itu memandu jauh dari kawasan pejabat mereka. Duha Maisara ingin membuka mulut bertanya, namun tidak jadi apabila memandang wajah Nashriq yang bagaikan singa lapar.

Lima belas minit perjalanan, masing-masing membisu seribu bahasa. Duha Maisara mula kebosanan. Dia memang tidak sukakan keadaan begini.

“Kita nak ke mana sebenarnya?” Tanya Duha Maisara memberanikan diri. Wajah lelaki itu dipandang sekilas.

...bersambung

Bab akan datang:

Kemanakah Nashriq ingin membawa Duha? Apa yang ingin ditunjukkan kepadanya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience