Rate

Chapter 63

Romance Completed 26118

Bab 63

“Pergilah jenguk dia, ini alamat apartment dia.” Usul Engku Latifah itu tadi, membuatkan hatinya lebih merasa bahagia. Tanpa berfikir panjang, dia terus bergegas ke apartment lelaki itu dari Big Bunny. Tujuannya hanya satu. Bertemu dan melepas rindu pada lelaki itu. Juga ingin dikhabarkan perasaan hatinya yang kian hari semakin menyukai Nashriq. Malah dia juga ingin mengucapkan terima kasih kerana lelaki itu masih sanggup membawanya ke hospital ketika itu.

Sebaik kakinya melewati pintu apartment itu, dadanya tiba-tiba sebal. Langkah kakinya tiba-tiba jadi kaku. Dia mula terfikir, mungkin kedatangannya sebenarnya tidak tepat. Entah apa fikiran Nashriq jika melihatnya tiba-tiba terpacul di situ. Dia berpaling ingin pergi. Serentak itu juga pintu lift di belakangnya tiba-tiba terbuka.

Suraya berpaling. Dia tergaman melihat Nashriq melangkah keluar dari pintu lift dengan wajah kusam. Melihat Suraya yang tercegat memandangnya, langkah lelaki itu terhenti. Dia memandang anak gadis itu. Suraya melemparkan kuntum senyuman.

“Baru balik?” Tegur gadis itu.

Nashriq tidak menjawab. Dia melangkah selamba di hadapan Suraya. Kad kuncinya dikeluarkan dari saku seluar, lalu dimasukkan dalam lubang kunci. Sesaat kemudian, pintu di hadapannya terbuka. Dia memandang ke arah Suraya sebentar.

“Masuklah,” ujar Nashriq perlahan.

Suraya tersenyum. Tadi disangkanya, lelaki itu tidak sudi menjemputnya masuk. Dia pantas membawa masuk bakul roti, mengekori langkah Nashriq.

Erman yang sedang santai menonton televisyen turut terkejut dengan kehadiran Suraya. Pantas dia bangun.

“Cik Suraya?” Tegur Erman tersengih.

“Abang Erman apa khabar?” Sapa Suraya pula membahasakan ‘abang’ pada lelaki itu. Lagipun dia sering mendengar Nashriq memanggil Erman dengan panggilan abang.

“Baik. Duduklah,” ucap Erman mempelawa. Dia mengerling Nashriq yang turut memandangnya. Seakan mengerti sesuatu, Erman tiba-tiba sahaja meminta diri masuk ke biliknya. Malah lelaki itu sempat mengenyitkan mata ke arah Nashriq.

“You nak minum apa-apa?” Tanya Nashriq.

“Hmm, apa-apa saja. I tak kisah.” Jawab Suraya. “Oh ya, I ada belikan you dengan abang Erman roti di Big Bunny tadi. Hope you will like it.” Tiba-tiba sahaja Suraya teringat bakul roti yang dibawanya tadi. Dia pantas membawa bakul roti itu lalu diletakkan di atas meja makan. Nashriq sekadar melirik ke arah bakul roti itu tapi tidak berkata apa-apa.

“You rancang nak tinggal di apartment ni sampai bila?” Tanya Suraya sambil meneliti ruang sekitar apartment lelaki itu yang nampak simple.

“Entahlah, tapi I suka tinggal di sini. Waktu mula-mula sampai, I tinggal di hotel. Seminggu selepas itu baru kami pindah ke mari. Apartment ni milik ayah I. Kebanyakan dekorasi dalam apartment ni, dia yang pilihkan.” Jelas Nashriq sambil membawa dua gelas jus oren ke ruang tamu. Segelas jus dihulurkan ke arah Suraya.

Gadis itu menghirup sedikit minumannya, sebelum meletakkannya kembali ke atas meja. Dia memandang Nashriq yang kelihatan tenang. Wajah itu sama macam dulu. Tidak banyak reaksi. Tapi kerana sifat lelaki itu begitulah, maka hatinya tertarik. Suraya tahu, mungkin sukar untuk dia mencairkan sekeping hati yang beku itu, tapi demi Nashriq dia rela bersabar.

“Naz, I nak minta maaf pada you.” Ucap Suraya perlahan.

Nashriq terpana. Pantas matanya dilarikan ke wajah Suraya. Kata-kata gadis itu membuatkan fikirannya bercambah.

“I nak minta maaf sebab kerana I, you susah hati. I tak bermaksud nak buat hati you bimbang.”

“You tak ada salah apa-apa pun. I yang sepatutnya minta maaf sebab terlalu banyak sakitkan hati you. Tapi ini perangai I yang memang I tak boleh ubah. Kalau ada cakap-cakap I yang menyakitkan hati you, I nak you lupakan saja.”

“Jadi you tak bencikan I?” Hati Suraya bersorak gembira.

“Benci you? Kenapa I nak bencikan you pula?” Giliran Nashriq bertanya sambil tergelak kecil.

“Yalah, tempohari kan you kata I suka permainkan lelaki. Gadis nakal. Tapi sebenarnya, itu bukan sikap sebenar I. I buat semua tu sebab…” Kata-kata Suraya terhenti. Dia menggigit bibir. Berat hatinya mahu meluahkan segalanya.

Nashriq tersenyum tenang. Dia tahu apa yang mahu diucapkan oleh gadis itu. Malah dia sudah mengerti sebabnya sejak awal-awal lagi.

“You tak perlu jelaskan apa-apa Sue. I faham semuanya. Tapi lepas ni I harap, you kena berhenti buat semua ini. Bukan semua lelaki itu sanggup terima permainan you tu. Lambat laun, you yang akan terkena.” Nasihat Nashriq. Suraya hanya mengangguk. Lega rasanya dapat berbual dengan lelaki itu. Nashriq ternyata tidak seperti apa yang digambarkan dalam kotak fikirannya. Diam-diam dia akui lelaki itu memang baik hati. Zahirnya sahaja yang nampak sombong.

“So, kita berkawan mulai sekarang?” Suraya menghulurkan tangannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience