Rate

Chapter 172

Romance Completed 26118

Bab 172

Dia tersenyum kecil melihat gadis itu berhenti seketika dan berbual-bual dengan beberapa pekerja di situ.

Erman yang terhenti di sisi lelaki itu turut menoleh. Dia akhirnya tersenyum. Dia faham gelodak rasa anak muda itu. Malah sejak akhir-akhir ini dia banyak memikirkan tentang apa yang pernah diucapkannya pada Duha Maisara beberapa ketika dahulu. Memang tidak patut dia menilai gadis itu dari luarannya, sehingga dia mengabaikan semua keistimewaan gadis itu yang lain. Hanya apabila melihat Nashriq seolah bersungguh-sungguh memepertahankan Duha Maisara, dia mula sedar bahawa tidak ada satu pun manusia yang sempurna di dunia ini termasuklah dirinya.

Erman menoleh mahu berkata sesuatu pada Nashriq, tapi sudahnya dia melopong sendirian. Entah sejak bila lelaki itu sudah lesap dari sisinya. Dia menoleh pula ke arah Duha Maisara yang sudah berjalan ke suatu arah. Dari jauh Erman terpandang kelibat Nashriq mengekori Duha Maisara. Dia tergelak kecil. Naz…Naz, kau memang tak buang masa!

Duha Maisara melangkah mengejar pintu lift di hadapannya. Namun belum sempat dia mahu menekan butang lift, kelibat seseorang melangkah di hadapannya. Dia mengelak memberi ruang sebelum menekan butang ke tingkat atas. Orang yang baru masuk diam sahaja tanpa bersuara. Ah! Mungkin dia nak ke tingkat yang sama, fikir Duha Maisara.

Namun menyedari bahunya bersentuh dengan sesuatu, dia berpaling. Alangkah terkejutnya Duha Maisara apabila menyedari kelibat Nashriq selamba sahaja berdiri di sampingnya di dalam lift. Dia terlopong memandang anak muda itu, sedangkan mata Nashriq pula mencerun ke arahnya.

“Kau datang nak hantar surat letak jawatankah?” Tanya lelaki itu serius.

“Tak, saya dah buat keputusan nak bekerja di sini.” Jawab Duha Maisara sambil melarikan anak matanya. Dia tidak betah menatap lelaki itu lama-lama.

“Oo jadi kau nak terus bekerja di sini? Atas dasar apa?” Soal Nashriq lagi.

Duha Maisara menoleh. Dia tidak mengerti maksud ayat terakhir yang keluar dari bibir Nashriq.

“Kau nak bekerja di sini sebab kau memang memerlukan pekerjaan atau kau dah mula menyedari sesuatu?”

“Menyedari tentang apa?”

“Yalah manalah tahu kalau kau dah mula sedar yang diri kau sebenarnya diam-diam sudah jatuh cinta dengan aku.” Wajah Nashriq serius dan selamba saat menuturkan perkataan itu.

Duha Maisara mengetapkan bibirnya. Entah kenapa dia merasakan Nashriq seolah-olah sengaja mahu mempermainkannya. Dadanya seolah berbahang hangat apabila mendengar ungkapan lelaki itu. Wajahnya juga bertukar merah padam, tatkala mendengar gelak ketawa lelaki itu dari tepi telinganya.

Melihat Nashriq beriringan keluar dari pintu lift bersama Duha Maisara, Engku Iskandar mengerutkan dahinya. Dia hairan melihat kemunculan gadis itu di situ. Apa mahunya di sini? Bukankah dia sudah dihalau keluar dari Mega Timur? Berbagai pertanyaan menerpa ke benaknya, namun tidak ada satupun terjawab.

* * * *

“Pak Mat sangkakan yang Duha dah tak mahu datang lagi ke mari,” ujar lelaki itu. Duha Maisara hanya tersenyum.

“Mulanya Duha pun fikir macam tu Pak Mat, tapi Duha fikir Duha tak perlu takut pada Puan Engku. Duha tak buat salah apa-apa pun, kenapa pula Duha yang kena berhenti kerja?” Keluh Duha Maisara.

“Baguslah begitu. Tapi Duha kena ucapkan terima ksaih pada Encik Nashriq.”

“Terima kasih pada dia? Untuk apa?” Duha Maisara tercengang.

“Dia yang pertahankan Duha depan ibunya. Bila dia dengar tentang perbuatan Tuan Engku, dia benar-benar marah. Teruk juga Tuan Engku tu ditumbuk dek Encik Nashriq tu. Kecoh satu bangunan ni di buatnya,”cerita Pak Mat.

“Nashriq tumbuk Engku Iskandar?” Duha Maisara terlopong. Sukar dia mahu percaya.

“Betul. Semuanya sebab Duha. Pak Mat rasa Encik Nashriq tu benar-benar sukakan Duha. Kalau tidak, takkan sampai macam tu sekali dia marah.” Lelaki itu tersenyum simpul.

“Ish mana ada Pak Mat. Dia tu cuma orang atasan Duha. Lagipun dia buat macam tu sebab Duha ni bekerja dengan dia. Kalau orang lain pun, tentu dia buat perkara yang sama.” Ucap Duha Maisara dengan wajah merah padam menahan malu. Pak Mat tergelak besar. Dia tahu gadis itu sengaja membuat alasan. Satu bangunan ni heboh bercerita tentang Duha Maisara dan Nashriq, sampaikan dia yang hanya penjaga bangunan itu pun tahu. Kalau tiada angin masakan pokok bergoyang.

Dari jauh, gerak geri Duha Maisara diintip sepasang mata. Engku Latifah mengetapkan bibirnya. Dia benar-benar geram. Tidak silap rupanya khabar angin yang singgah ke telinganya tentang Duha Maisara yang kembali semula bekerja di situ. Asalnya dia sangkakan itu semua satu kesilapan, tapi kini dia melihat sendiri gadis itu dengan mata kepalanya.

* * * *

Kedatangan lelaki itu bersama dua lelaki yang mengiringinya, benar-benar membuatkan wajahnya pucat lesi.

...bersambung

Bab akan datang:

Apa yang membuatkan Engku Latifah benar-benar geram dengan Duha?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience