Rate

Chapter 217

Romance Completed 26118

Bab 217

Hatinya lega kerana tongkang itu datang tepat pada masanya.

“Ah Ming, Reyna dah sampai?” Dia menjeling salah seorang anak buahnya.

“Belum bos. Dari tadi saya tak nampak dia.” Balas Ah Ming.

Albert termenung panjang. Ke mana wanita itu menghilang pula. Padahal mereka telah merancang untuk melarikan diri ke Singapura buat seketika setelah semuanya reda, dia mahu meneruskan perhitungannya dengan Estella semula. Wanita itu harus dihapuskan dari muka bumi ini, bentak Albert geram. Dia tidak kira walaupun darah yang mengalir di badan mereka sama. Estella sering menganggu rancangannya, merosakkan semua rancangannya yang diatur sejak bertahun-tahun lamanya.

“Bos, kita berangkat sekarang. Lagi lama kita tunggu lagi bahaya,” ujar Ah Ming. Albert mengangguk. Dia segera melangkah menuju ke arah tongkang yang sudah pun berlabuh di tepi sungai. Ah Ming dan konco-konconya yang lain mengekori dari arah belakang. Namun pancaran cahaya yang menyuluh di belakang Albert membuatkan lelaki itu terpempan. Dia berpaling. Serentak bunyi derap langkah sepatu memijak tanah bersilih ganti muncul. Dari arah belakang, dia melihat beberapa lelaki berjaket biru tua sedang meluru ke arahnya.

“Bos, polis!” Jerit Ah Ming lalu mengeluarkan senjatanya. Namun belum sempat lelaki itu mengacukan pistol, satu das tembakan cukup membuatkan dada Ah Ming ditembusi peluru entah dari mana. Lelaki itu terkulai layu di hadapan Albert. Albert tidak berganjak. Kakinya seolah terantai di tanah. Satu persatu orang-orangnya gugur di hadapan matanya. Dia mengguman resah bercampur bingung.

******

Nashriq memandang Vila Kecil yang tersergam megah di hadapan matanya. Meskipun terdapat banyak lumut di sekeliling rumah itu, namun sedikitpun ia tidak mencacatkan nilai vila itu di dalam hatinya. Dia benar-benar bersyukur kerana akhirnya dia dapat mengambil semula rumah itu dari tangan Reyna. Itupun atas ehsan Estella yang sudi menolongnya.

Dia menoleh ke arah air tasik yang kelihatan membiru tenang. Alangkah baiknya kalau hatinya juga setenang air tasik itu. Meski berkocak tapi perlahan dan mapan. Nashriq mengeluarkan telefon bimbitnya. Hajat hatinya ingin bertanya khabar Duha Maisara yang suka menyepi diri sejak akhir-akhir ini. Malah kadangkala dirasakan gadis itu seperti sengaja menjarakkan dirinya. Tidakkah dia tahu bahawa aku terlalu rindu padanya! Keluh Nashriq di dalam hati. Malah jika diizinkan, ingin rasanya dia mengadu semua perihal yang meresahkan jiwa dan fikirannya. Tapi setiap kali ingin berbuat demikian, Duha Maisara akan berlari selangkah di hadapannya.

Melihat skrin telefon bimbitnya yang dioffkan, Nashriq baru teringat yang dia sengaja menutup telefon semalam apabila nama ibunya kerap terpapar pada monitor telefon. Sebaik telefonnya dihidupkan semula, mata Nashriq terkedu melihat puluhan missed call yang tertera pada telefonnya. Semuanya nama Erman. Apa hendaknya lelaki itu agaknya?

Nashriq segera mendail nombor telefon Erman. Beberapa ketika kemudian, panggilannya berjaya dihubungkan apabila suara Erman kedengaran.

“Naz, mana kamu pergi ni, puas abang call tapi tak dapat,” rungut Erman dengan suara bergetar.

“Kenapa abang telefon?”

“Naz, Engku Iskandar…..” Erman tidak meneruskan kata-katanya.

Nashriq mengerutkan dahinya. Kenapa lelaki itu tiba-tiba menyebut tentang Engku Iskandar. Apa yang tidak kena?

“Naz, Engku Iskandar dah meninggal.” Ujar Erman lambat-lambat. Nashriq terpegun seketika. Kata-kata Erman lambat dicerna di dalam kepalanya. Dia seperti tidak percaya dengan apa yang didengarnya.

“Abang rasa baik kau balik ke pejabat sekarang. Ada banyak perkara abang nak beritahu kau Naz. We need to talk.” Sahut Erman akhirnya.

“Macamana dia boleh meninggal?” Nashriq ingin tahu.

“Dia..dia merempuh masuk dalam mesyuarat ALP pagi tadi. Dia nak halang pembacaan wasiat tu. Dia cuba ugut ahli lembaga pengarah dengan pistol tapi kena tembak dengan pengawal keselamatan.”

“Apa? Umi macamana?” Entah mengapa wajah wanita itu hadir dalam ingatannya. Dia benar-benar risau, bimbang wanita itu tercedera.

“Puan Engku tak apa-apa. Mujur ada Tuan Asri. Engku Iskandar marah dengan isi kandungan wasiat yang dibacakan oleh peguam Zaman.”

“Wasiat?” Dahi Nashriq berkerut.

“Naz, kau dah lupa yang hari ni wasiat asal arwah Tuan Zainal akan dibacakan? Semalam abang dah ingatkan kau bukan.”

Nashriq terdiam. Memang dia lupa sebenarnya. Lagipun dia sudah malas mahu mengambil tahu tentang wasiat itu. Apa gunanya dia kisah pada harta yang bukan miliknya. Zainal Ikram bukan ayahnya. Ini bermakna dia langsung tidak berhak untuk mewarisi kekayaan lelaki itu.

“Naz, ada sesuatu kau kena tahu tentang wasiat ayah kau.”

“Abang, kita lupakan saja soal wasiat tu. Saya tidak berminat untuk tahu.”

“Tapi hal ni ada kena mengena dengan Raihana.” Pintas Erman pantas.

Nashriq tersentak. Dadanya bergolak semula. Nama Raihana memberi reaksi baru pada Nashriq. “Kenapa dengan Hana?”

...bersambung

Bab akan datang:

Berjayakah polis menangkap Albert dan kuncu-kuncunya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience