Rate

Chapter 216

Romance Completed 26118

Bab 216

Estella tergaman. Panggilan pertama Nashriq buatnya benar-benar membuatkan dia terharu. Kelopak matanya terasa hangat. Dia benar-benar gembira kini.

******

Wajah Asri kian resah. Dia tidak senang duduk ketika berhadapan dengan Engku Latifah dan beberapa ahli lembaga pengarah yang turut serta dalam mesyuarat pagi itu. Wajah Engku Latifah kelihatan sembab pagi itu. Diam-diam mata Asri jatuh pada wajah itu. Dia faham perasaan wanita itu. Tentu sukar wanita seperti Engku Latifah hendakvberdepan dengan kenyataan bahawa selama ini dia berkongsi suami dengan sebuah nama yang hanya tinggal jasad yang telah reput.

“Suhana adalah isteri sah Zainal Ikram yang dikahwini beliau hampir 25 tahun yang lalu. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak perempuan. Malangnya Suhana meninggal dunia semasa melahirkan anak itu di Kampung Telaga Pandak. Sebagai orang terdekat kepada arwah dan saksi kepada perkahwinan ini, saya diamanahkan oleh Zainal untuk melindungi satu-satunya anak perempuan beliau.” Asri menarik nafas panjang. Wajah-wajah di hadapannya direnung satu-persatu.

“Bayi perempuan itu dinamakan Raihana dan diserahkan dalam jagaan iparnya Munif dan Maisara. Namun kewujudan Raihana, saya percaya telah diketahui oleh beberapa orang yang akhirnya cuba memanipulasikan keadaan ini. Wasiat arwah Zainal yang telah dibacakan 12 tahun lalu merupakan suatu wasiat yang tidak sah menurut undang-undang kerana telah dipalsukan oleh peguam syarikat CK Tan dan sekutunya Molin Rahman. Dan tindakan ini saya percayai didalangi oleh Engku Iskandar dan Albert Wong. Mereka juga telah bersubahat membunuh adik saya Zainal Ikram dan merancang perangkap untuk Munif.” Sambung Asri lagi.

Seisi bilik mesyuarat itu kedengaran riuh rendah dengan suara-suara ramai. Dato’ Mustadza sendiri terkejut dengan kata-kata Asri. Dia melirik Engku Latifah yang kelihatan lemah. Wanita itu diam sahaja sedari tadi.

Erman yang turut serta dalam mesyuarat itu turut tergaman. Dia hampir tidak percaya dengan apa yang didengarnya. Matanya tak habis-habis melirik jam di tangan. Sudah satu jam mesyuarat bermula, namun batang hidung Nashriq tidak jua muncul. Jika tidak, anak muda itu pasti terperanjat bila mengetahui hakikat bahawa Raihana yang dicarinya itu adalah anak kandung kepada Zainal Ikram.

“Oleh itu sebentar lagi, peguam yang baru dilantik akan mengumumkan kandungan sebenar wasiat Zainal Ikram yang sepatutnya dibacakan dua belas tahun lalu. Kandungan asal wasiat ini kami perolehi dari tangan seorang wanita yang mengaku dirinya adalah isteri kepada bekas rakan kongsi CK Tan iaitu Molin Rahman.”

“Apa semua ini Puan Engku? Betulkah apa yang Encik Asri ni cakap?” Dato’ Mustadza bertanya.

Engku Latifah mengangkat mukanya. Pandangannya jatuh lesu ke setiap wajah yang hadir hari itu. Pelupuk matanya bergenang. Sukar untuknya melafazkan kata kala hati dirundung kesedihan.

“Semua ini benar. Suami saya Zainal telah berkahwin dengan wanita bernama Suhana. Dan Raihana yang dimaksudkan oleh Encik Asri tadi adalah anak kepada arwah suami saya dan dia berhak mendapat sebahagian daripada hak-haknya di Mega Timur seperti yang Zainal inginkan.”

“Tapi ke mana dia selama ini? Kenapa dia tidak pernah diperkenalkan kepada kami semua?” Sampuk salah seorang ahli lembaga pengarah. Engku Latifah terdiam. Matanya dialihkan ke arah Asri yang turut diam.

Erman yang berada berhampiran pintu, diam-diam keluar dari situ. Dia segera mengeluarkan telefon bimbitnya untuk menghubungi Nashriq. Beberapa kali nombor telefon lelaki itu didail namun tiada jawapan di hujung talian. Erman mula resah. Apakah Nashriq sebenarnya sudah tahu tentang perkara ini? Berbagai sangkaan bermain di kepala Erman.

Namun lamunannya terhenti mendadak sebaik dia terlihat kelibat seorang lelaki berjambang dan berpakaian selekeh berjalan pantas menuju ke bilik mesyuarat di hadapannya. Dahi Erman berkerut. Engku Iskandar! Jantungnya bagai hendak berhenti berdegup sebaik terpandang muncung pistol yang terselit di jaket kulit lelaki itu. Oh tuhan! Beberapa ketika bunyi riuh-rendah kedengaran dari dalam bilik mesyuarat.

Erman segera menarik Katrina yang sedang lalu di hadapannya.

“Kat, telefon polis sekarang juga,”suruh Erman sambil cuba bertenang.

“Kenapa Encik Erman?” Gadis itu tercengang. Namun belum sempat Erman mahu menjelaskan, bunyi letupan kuat kedengaran dari dalam bilik mesyuarat, berselangseli dengan bunyi teriakan. Katrina terpaku. Lantai yang dipijaknya bagaikan melekat di tapak kasutnya. Erman sudah meluru masuk ke arah bilik mesyuarat.

“Kat, call police,’ Jerit Erman sebelum menghilang ke dalam.

******

Dia memandang di sekitar jeti itu. Suasana sepi menyelubungi tempat itu disahut oleh bunyi unggas-unggas hutan berdekatan. Sesekali singgah jua bunyi kocakan air yang menderu di tepi telinganya. Albert mengawasi tempat itu dengan ketat. Beberapa orang-orangnya yang masih tinggal tetap setia mengiringinya.

Dari jauh, sebuah tongkang besar datang dari arah timur. Dia mendongak.

...bersambung

Bab akan datang:

Apakah yang ada di dalam tongkang itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience