Rate

Chapter 110

Romance Completed 26118

Bab 110

Dia memandang Duha Maisara sekilas sebelum menumpukan perhatian kepada ayahnya yang sudah berbulan tidak ditemui. Kerusi di samping Duha Maisara ditarik perlahan sebelum melabuhkan punggung.

“Hmm ayah gembira sebab semua ada malam ni. Malam ni, ayah nak belanja Yan dan Duha makan besar.” Bustaman tersenyum. Wajah lelaki itu nampak ceria dan kemas. Jambang yang tidak terurus di wajahnya dulu sudah dicukur bersih. Zafran tertanya-tanya dengan perubahan lelaki itu.

Selesai memesan 3 set makan malam, Bustaman memandang Zafran dan Duha Maisara silih berganti. Entah kenapa, malam itu gerak geri kedua-duanya berlainan dari biasa. Apa sebenarnya sudah berlaku? Setahunya jikalau Zafran dan Duha Maisara bertemu, ada saja yang hendak dibualkan. Tapi malam itu, suasana agak sepi.

Mata Zafran merenung lelaki di hadapannya. Dia jadi sangsi dengan tujuan ayahnya mengajaknya keluar malam itu. Apatah lagi untuk membelanjanya makan. Selalunya lelaki itu sering merungut tidak ada duit. Namun malam itu, dia diajak ke sebuah restoran yang agak mahal, malah pakaian ayahnya sudah kemas. Tidak seperti dulu di mana dia kerap mengenakan kemeja lusuh dan bertompok-tompok.

“Ayah sebenarnya ke mana?” Tanya Zafran tiba-tiba. Dia benar-benar ingin tahu ke mana lelaki itu menghilang selama ini.

“Ayah dah dapat kerja di Pulau Pinang, Yan. Gajinya boleh tahan besar.” Jawab Bustaman. Matanya mengerling ke arah Duha Maisara yang tunduk diam.

“Kenapa ayah tak beritahu kami sebelum pergi? Kenapa tiba-tiba sahaja ayah hilangkan diri? Ayah tahu tak Duha susah bila ayah tak ada. Dia sendirian di rumah itu. Bagaimana kalau apa-apa terjadi pada Duha, pernah tak ayah fikirkan semua ni?” Soal Zafran bertubi-tubi.

Bustaman tunduk. Dia sedar dia telah banyak melakukan kesilapan. Namun walau sebanyak mana pun silapnya, Duha Maisara masih sudi menyimpan rahsianya dari pengetahuan Zafran.

Melihat angin Zafran malam itu, Duha Maisara serba salah. Dia tahu sampai sekarang pun, Zafran masih tidak mengesyaki apa-apa tentang punca dia berpindah ke apartment lelaki itu. Sangka Zafran dia takut sendirian berada di rumah itu. Lagipun Zafran sudah maklum, kawasan rumah lama mereka agak berbahaya kerana sering berlaku kes-kes kecurian dan ragut.

“Ayah tahu Yan. Ayah dah minta maaf pada Duha. Lagipun ayah dah berhenti dari berjudi Yan, ayah nak mulakan hidup baru.” Ujar Bustaman.

Zafran terdiam. Dia sebenarnya tidak yakin dengan kata-kata lelaki itu. Dahulu lelaki itu pernah berjanji beberapa kali dengannya akan berhenti berjudi, tapi sifat itu bagaikan sudah sebati dengan dirinya. Janji ayahnya adalah janji kosong belaka. Sukar untuk dipegang.

Dia mengerling Duha Maisara yang tidak banyak cakap malam itu. Makanan di pinggan gadis itu juga lambat-lambat disuap ke mulutnya. Dia tahu hati gadis itu berkecamuk dengan kehadirannya, apatah lagi dengan sikapnya malam semalam.

Apabila hendak mencapai gelas minumannya, tanpa sedar tangannya tersentuh jari jemari Duha Maisara. Duha Maisara pantas melarikan jemarinya. Zafran berpaling ke arah gadis itu. Kepala Duha Maisara tunduk merenung pinggan nasi. Anak gadis itu langsung tidak mahu memandangnya.

* * * *

Duha Maisara diam sahaja apabila dihantar pulang oleh Zafran ke apartment itu. Apabila kereta Zafran mula memasuki kawasan apartment, Duha Maisara segera melonggarkan tali pinggang. Dia menoleh sekilas ke arah Zafran.

“Sampai sini saja, abang baliklah ke hospital. Hari pun dah malam.” Ucapnya. Dia turun dari kereta. Namun melihat Zafran ikut turun, Duha Maisara jadi resah.

Zafran menemaninya sehingga ke pintu apartmentnya. Apabila daun pintu dibuka, Zafran dengan selamba menerpa masuk. Duha Maisara tergaman dengan tindakan Zafran. Anak muda itu segera menuju ke peti ais lalu mengambil sebotol mineral water. Minuman itu segera diteguk. Setelah habis minuman itu diminum, mata Zafran beralih ke arahnya.

“Duha tak suka abang di sini?” Soal Zafran sambil merenung gadis itu. Duha Maisara serba salah. Dia gugup apabila dipanah sepasang mata milik Zafran yang penuh kesangsian.

“Taklah bang, err.. Duha penat. Duha nak masuk tidur, abang baliklah.” Pinta Duha Maisara perlahan. Bimbang juga dia takut perasaan Zafran tersinggung, sedangkan dia tidak berniat menghalau Zafran pulang.

“Kalau Duha nak masuk tidur, tidurlah. Malam ni abang nak bermalam di sini.” Tutur Zafran membuatkan Duha Maisara terperanjat besar. Kenapa tiba-tiba Zafran hendak bermalam di sini?

“Jangan bimbang, abang takkan masuk bilik Duha. Kalau Duha tak percayakan abang, kunci pintu bilik Duha.” Ujar Zafran serius, bagaikan tahu apa yang menjadi kebimbangan di hati gadis itu.

“Abang cuma nak bersendirian di sini. Duha tak usah pedulikan abang.” Sambung Zafran seraya menapak ke biliknya.

...bersambung

Bab akan datang:

Mengapa Zafran ingin bermalam di situ?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience