Rate

Chapter 178

Romance Completed 26118

Bab 178

Engku Latifah menggeleng seraya cuba bangun dari tempat baringnya. Nashriq membantu ibunya bersandar di dada katil.

“Umi tak apa-apa Naz. Umi mungkin penat sedikit.”

“Baguslah kalau macam tu. Doktor kata umi tak boleh terlalu fikirkan soal kerja. Umi kena dapatkan rehat secukupnya. Buat masa ni umi tak payahlah ke pejabat. Soal pejabat, biar saya yang uruskan.” Ujar Nashriq.

“Macam manalah umi nak rehat kalau syarikat kita umpama telur di hujung tanduk Naz. Hari ini ada banyak syarikat-syarikat pembekal datang ke pejabat. Mereka dengar khabar angin tentang harga saham syarikat kita yang jatuh teruk. Mereka nak minta syarikat buat bayaran ke atas bahan-bahan pembinaan yang kita pesan tempohari.” Jelas Engku Latifah.

Nashriq tergaman. Kenapa Erman tidak memberitahunya apa-apa pun tentang hal ini?

“Umi sangkakan kita boleh guna duit syarikat buat sementara untuk bayar pada Dato’ Mustadza, tapi dalam keadaan terdesak macam ni, terpaksalah kita bayar kepada pembekal seperti yang mereka minta. Umi dah hubungi pihak bank tadi untuk minta pinjaman. Tapi mereka tolak permintaan umi dengan alasan kita masih ada hutang dengan mereka. Umi dah tak tahu nak buat apa Naz, kita masih kekurangan 2 juta.” Keluh Engku Latifah.

Nashriq terdiam. Dia jadi serba salah. Dia tahu semua ini berlaku disebabkannya. Sepatutnya dia harus bertanggungjawab atas semua perkara yang berlaku. “Tak apalah umi, nanti saya akan cari jalan untuk selesaikan hal ni.” Janjinya pada wanita itu.

Engku Latifah memandang anak muda itu. “Tak bolehkah kalau Naz lupakan sahaja Duha Maisara tu? Susah sangatkah untuk lupakan dia?” Soal Engku Latifah tiba-tiba.

Nashriq terpaku. Tidak menyangka nama Duha Maisara akan terus dikaitkan dalam keadaan begini.

“Kalau Naz tinggalkan Duha Maisara dan terima Suraya, tentu Dato’ Mustadza akan bantu kita. Dan umi juga takkan susah hati memikirkan cara untuk selamatkan perniagaan ayah Naz. Hasil titik peluh dia.” Pujuk Engku Latifah.

Nashriq diam sahaja. Sepatah kata pun tidak terbit dari bibirnya. Melihat reaksi anak muda itu, Engku Latifah sudah habis ikhtiar. Apa dayanya untuk terus memujuk Nashriq yang dari kecil sentiasa membantah cakapnya. Yang dipatuhi anak itu hanyalah kata-kata arwah suaminya Zainal Ikram. Selain dari Zainal, tidak ada siapa lagi boleh memujuk Nashriq.

“Kalau awak tak dekati dia, macam mana dia nak rapat dengan awak?” Marah Zainal Ikram bukan baru baginya. Setiap masa lelaki itu asyik mendesak dia merapati satu-satunya anak mereka. Tapi ketika itu dia terlalu sibuk dengan urusannya sendiri. Sejak kecil Nashriq hanya diasuh oleh pembantu rumah dan Zainal Ikram sendiri. Entah kenapa dia kesal kerana tidak mendengar kata-kata Zainal ketika itu.

“Awak tak pedulikan dia sebab dia bukan anak kandung awak? Sebab dia bukan lahir dari rahim awak, sebab tu awak tak sayangkan dia?” Tuduhan Zainal benar-benar berat baginya.

“Siapa kata saya tak sayangkan dia? Saya tahu dia cuma anak angkat kita, tapi kasih sayang saya padanya sama sahaja. Awak jangan nak tuduh saya yang bukan-bukan.” Dia benar-benar meradang dengan kata-kata Zainal. Mana mungkin dia tidak sayangkan Nashriq. Rahimnya yang bermasalah menyebabkan dia tidak mampu menjadi ibu. Kehadiran Nashriq adalah penyinar dalam hidupnya. Dia memang sayangkan anak itu. Tapi kesibukannya menyebabkan dia terpaksa menghabiskan lebih banyak masa di luar.

Memang diakui hatinya seakan tersinggung apabila Zainal membawa pulang bayi itu suatu ketika dahulu. Dia terasa seolah-olah Zainal sengaja mahu memperlekehkannya kerana tidak boleh melahirkan zuriatnya sendiri. Tapi lama kelamaan dia sudah tidak kisah. Malah dia tumpang rasa seronok kerana rumah yang dahulu sunyi kini bergema dengan tangisan bayi. Malah Zainal sendiri dilihatnya sentiasa tertawa riang. Masanya juga lebih banyak dihabiskan di rumah bermain dengan Nashriq Adli, nama yang dipilih sendiri oleh Zainal.

Mengingatkan Zainal, air matanya tumpah tanpa disedari. Dia menatap foto Zainal yang setia menghiasi kamar tidurnya. Lelaki itu suami yang baik meskipun perkahwinan mereka diatur oleh keluarga. Dia sayangkan Zainal walaupun hatinya tidak pernah mahu mengakuinya. Zainal diterima sebagai jodohnya, kerana dia percaya pada pilihan ayahnya Engku Khairan. Meksipun Zainal bukan lahir dari darah kerabat seperti yang dimilikinya, tapi keluarga lelaki itu mempunyai status yang cukup dihormati orang. Itulah yang membuatkan ayahnya berkenan menjadikan Zainal calon suaminya. Dia hanya menurut tanpa membantah, meskipun ketika itu dia berkawan dengan beberapa orang anak kenamaan.

Tapi siapa sangka umur suaminya tak panjang. Malah sepanjang ketiadaan Zainal, dia tidak tahu kenapa hatinya terlalu sakit dan merindukan lelaki itu. Kerana itu marahnya begitu bercambah pada keluarga Munif. Malah meskipun Munif telah meninggal dunia dalam penjara, namun dendam di hatinya tetap tidak mahu luntur.

...bersambung

Bab akan datang:

Jika Nashriq hanyalah anak angkat, siapakah ibu bapa kandung Nashriq yang sebenarnya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience