Rate

Chapter 188

Romance Completed 26118

Bab 188

Dia segera menghubungi Doktor Habibah.

******

Zafran hanya mampu memandang Duha Maisara yang terbaring lesu di katil hospital. Tidak sampai seminggu dia terbujur di situ kerana demam, giliran Duha Maisara pula berbaring di situ. Kepala Duha Maisara yang berbalut direnung dengan perasaan resah. Malah luka di kepala gadis itu agak dalam dan terpaksa dijahit sebanyak 37 jahitan. Ketika salah seorang temannya menjahit luka itu, dia turut serta menemani gadis itu. Tangan Duha Maisara tidak lepas mengenggam tangannya sekuat hati. Zafran hanya membiarkan. Dia tahu kesakitan yang dialami oleh gadis itu. Kalaulah dia boleh menggantikan kesakitan itu, keluh Zafran.

Bunyi derap langkah di belakangnya menyebabkan Zafran berpaling. Doktor Habibah melangkah masuk lalu merapatinya. Wanita itu memandang ke arah Duha Maisara yang masih tertidur.

“Bagaimana dia?” Tanya Doktor Habibah.

“Luka di kepalanya dah dijahit, dia tak apa-apa.” Ujar Zafran.

Doktor Habibah mengeluh panjang. Mujurlah tidak ada apa-apa yang buruk menimpa Duha Maisara. Dia benar-benar terkejut apabila mendapat panggilan Zafran petang tadi. Tak disangkanya perkara seperti itu boleh berlaku.

“Doktor Zafran tahu apa yang sebenarnya terjadi?” Soal Doktor Habibah.

Lelaki itu menggeleng. Dia sendiri tidak pasti dengan apa yang berlaku. Malah dia juga tidak tahu kenapa Duha Maisara boleh cedera begitu. Tapi firasatnya kuat mengatakan Duha Maisara dicederakan wanita tua itu.

“Bagaimana dengan Mak Cik Jamilah?” Soal Zafran pula.

Doktor Habibah terdiam. Dia sendiri tidak tahu bagaimana dia harus menjawab. Keadaan wanita itu semasa di bawa ke Al-Raudah sama seperti lapan tahun dahulu. Dia tidak tahu kenapa sampai terjadi hal seperti ini. Sangkanya wanita itu semakin pulih dan menampakkan tanda-tanda akan sembuh.

“Saya dan petugas Al-Raudah dah bawa dia balik ke sana. Keadaannya tak berapa baik,” ujar Doktor Habibah.

Zafran memandang doktor wanita itu. Ada sesuatu yang mahu ditanya, tapi dia tidak tahu bagaimana mahu memulakan. Dia memang mengesyaki ada suatu kaitan antara wanita yang kurang siuman itu dengan Duha Maisara. Namun syak wasangkanya hanya didorong oleh kata-kata salah seorang jururawat di Al-Raudah suatu ketika dahulu. Sedangkan dia tidak pernah bertanya sendiri pada Duha Maisara, mahupun pada Doktor Habibah. Apakah ini masa yang sesuai untuk dia bertanya segala-galanya yang sudah lama ingin diketahuinya?

“Doktor, wanita tadi……ibu Duha bukan?” Soal Zafran tiba-tiba.

Doktor Habibah tergaman. Zafran tahukah siapa wanita itu? Doktor Habibah teringat semula pada permintaan Duha Maisara yang mahu perkara itu dirahsiakan. Tapi dengan keaadan sekarang, sesuaikah dia terus menyimpan rahsia sedangkan lelaki itu ada sama ketika dia meluru ke apartment Duha Maisara petang tadi?

“Kenapa tidak doktor Zafran tanyakan sahaja pada Duha bila dia sedar nanti?” Cadang Doktor Habibah.

“Sebenarnya saya dah tahu hal ni sejak awal-awal lagi.” Akui Zafran tenang. Mendengar kata-kata lelaki itu, Doktor Habibah tersentak.

“Tapi hati saya berat untuk bertanya padanya. Bimbang jika pertanyaan saya hanya akan melukakan hatinya. Saya tahu mungkin selama ini Duha menyimpan rahsia ini kerana sesuatu sebab. Suatu sebab yang dia tidak mahu sesiapa pun tahu.” Ucap Zafran sambil merenung wajah Duha Maisara yang kelihatan tenang. Doktor Habibah terkedu mendengar bicara Zafran.

******

Engku Latifah meramas bucu meja dengan perasaan bergelora. Dia memejamkan matanya. Namun wajah kedua-duanya hadir tanpa dipinta. Selama ini dia yakin wajah kedua anak beranak itu akan terus luput dari hidupnya dan dari hidup Nashriq. Malah dia yakin amarannya selama ini agar gadis itu jangan lagi kembali, dipatuhi buat selama-lamanya. Tapi sedikitpun dia tidak menduga, gadis yang selama ini bekerja di samping Nashriq adalah Raihana.

Kenapa dia langsung tidak cam siapa gadis itu? Kenapa hatinya sudah tidak mampu mengenali iras di wajah gadis itu selama ini? Oh tuhan, apakah semua ini? Apakah tujuan dia kembali? Mahu membalas dendamkah atau sengaja mahu merampas Nashriq dari hidupku buat selama-lamanya? Pelbagai soalan menerpa serentak di fikirannya.

Entah kenapa tubuhnya kian longlai, fikirannya terus dihambat resah. Apatah lagi apabila teringatkan teriakan Maisara menangis tidak putus-putus sambil memegangnya. Betulkah wanita itu sudah gila, sudah hilang akal?

Bunyi ketukan di pintu biliknya, membuatkan Engku Latifah berpaling. Sejurus wajah Mak Ngah menjenguk masuk dari celah pintu yang sedikit renggang.

“Puan Engku, ada seorang lelaki datang mencari puan,” beritahu Mak Ngah.

“Siapa Mak Ngah?” Tanyanya sambil mengerutkan dahi. Hairan dengan kata-kata wanita itu. Siapa pula yang datang ke rumahnya pada waktu-waktu begini?

“Saya tak kenal, Puan Engku.” Jawab Mak Ngah sejujurnya. Engku Latifah mengeluh panjang. Entah kenapa dia rasa malas mahu melayan tetamu hari itu.

...bersambung

Bab akan datang:

Siapakah lelaki yang datang ke rumah Engku Latifah?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience