Rate

Chapter 11

Romance Completed 26118

BAB 11

Dia menoleh ke arah Zafran. Anak muda itu tersengih memandangnya. Dia hanya mampu tersenyum dengan tingkah laku Zafran. Namun mujurlah Zafran sentiasa ada untuknya. Mengharungi hidup seharian bersamanya.

Kerana Zafran juga, setahun kemudian dia mengambil peperiksaan SPM sebagai calon bebas. Semunya kerana jasa Zafran memaksa ayahnya membayar yuran peperiksaan untuknya.

“Abang nak Duha ambil buku-buku lama abang ni, dan kemudian study rajin-rajin. Abang tak boleh bantu Duha study, tapi kalau sesekali abang balik, abang akan bantu Duha mana yang terdaya. Tapi Duha kena usaha lebih sikit.” Ujar Zafran sebelum menyambung pelajaran ke kolej perubatan.

“Semua nota-nota lama abang ada kat dalam fail tu. Duha gunakanlah sebaiknya. Abang harap Duha akan berjaya.” Sambung Zafran.

“Kalau lulus tu bolehlah, tapi Duha tak rasa Duha akan dapat keputusan yang cemerlang macam abang.” Ujarnya merendah diri.

“Siapa kata tak boleh?” Zafran mencerlung tajam ke arahnya. Memang sejak dulu, Zafran sering memarahinya kalau fikirannya sentiasa negatif.

“Duha jangan putus asa. Duha dah tengok kan bagaimana cara abang study? Bagaimana keadaan rumah kita, keadaan ayah? Semua yang berlaku langsung tak menggugatkan semangat abang untuk berjaya. Kenapa? Sebab abang dah bosan hidup dalam rumah sempit ni. Abang dah bosan dengan ayah yang selalu berjudi siang malam. Abang nak ubah kehidupan kita.” Bisik Zafran.

Duha Maisara tersenyum. Kata-kata Zafran suatu masa dulu selalu membakar semangatnya untuk terus tabah mengharungi liku-liku hidup. Lamunan Duha Maisara terpadam tatkala seorang pelayan di situ memanggil namanya.

“Duha, ayah kau nak bercakap dengan kau.” Ujar gadis itu sambil menunjukkan gagang telefon ke arahnya. Duha Maisara segera mendapatkan gagang telefon dari tangan gadis itu.

“Hello, assalamualaikum.” Bicara Duha Maisara penuh hormat. “Ya ayah, Duha bercakap ni.”

Sejurus kemudian, Duha Maisara meletakkan gagang telefon. Wajahnya pucat lesi. Dia merenung gagang telefon itu tidak berkelip. Tubuhnya terkulai layu di suatu sudut. Perkhabaran dari lelaki itu membuatkan dia resah. Oh tuhan, mana aku nak dapatkan wang sebanyak itu? Gaji yang ada hanya cukup untuk duit makan dan biaya bil-bil yang tertunggak sejak sekian lama. Selebihnya pula disimpan untuk Zafran jika lelaki itu memerlukannya. Manalah dia ada duit sebanyak itu untuk menjamin ayahnya. Duha Maisara kian buntu. Aduh! Kenapalah lelaki itu selalu terlibat dalam masalah? Seingatnya, dalam tempoh tidak sampai 6 bulan, sudah dua kali ayahnya ditahan polis. Kali pertama ayahnya dituduh mencuri di pasaraya. Kali ini sebab apa pula?

Ringan tangannya ingin mendail nombor telefon Zafran. Namun seketika kemudian, gagang telefon cepat-cepat diletakkan. Pesanan ayahnya jelas di ingatannya.

“Kamu jangan sesekali beritahu hal ni pada Zafran. Kalau tidak, masak kamu aku kerjakan nanti.” Lelaki itu memberi amaran keras. Takut benar dia jika hal itu sampai ke pengetahuan anak kesayangannya.

Duha Maisara mengeluh panjang. Sukarnya dia mahu bertenang jika cara penyelesaian kepada masalah itu kian samar. Dia termenung panjang, sehingga tidak sedar derap sepatu melangkah perlahan mendekatinya dari arah belakang.

Mami Jun menggeleng melihat anak gadis itu termenung dengan wajah muram. Dia berdehem beberapa ketika, namun renungan Duha Maisara bagaikan terawang-awang. Dia sedar Duha Maisara sedang asyik memikirkan sesuatu. Jika tidak masakan kerut di wajah manis itu, tampak gusar.

******

Duha Maisara bergegas menaiki tangga ke bangunan besar di hadapan matanya. Sempat dia berhenti bertanya pada anggota polis yang bertugas di kaunter. Apabila mendapat jawapan di mana ayahnya berada, dia terus menuju ke tingkat dua, lalu mencari-cari bilik ke tiga dari arah kanannya. Begitulah peta yang dicanang oleh pegawai polis yang berada di kaunter pertanyaan.

Setelah berjumpa bilik yang dicari, Duha Maisara tanpa berfikir panjang terus menerpa masuk. Namun dia cuba mengelak apabila menyedari pintu di hadapannya tiba-tiba tertolak ke arahnya. Dia tergaman. Kerana tidak sempat mengelak, kepalanya terhantuk pada pintu, menyebabkan tubuhnya terdorong ke arah lantai. Beg yang dibawanya tercampak sama.

Tergaman dia melihat barang-barang yang terkeluar dari dalam begnya. Pantas dia meluru ke arah barang-barangnya, lalu mula mengutip. Satu persatu barang-barang itu dikutip lalu dimasukkan kembali ke dalam tas tangannya, sambil dia merungut panjang. Namun apabila tangannya hendak mencapai lipsticknya yang tergolek, matanya tertancap pada sepasang kaki berkasut kulit sedang berdiri di hadapannya. Duha Maisara pantas mendongakkan kepala.

Satu renungan tajam singgah di wajahnya, membuatkan dia jadi gugup. Lelaki itu menatap ke arahnya tidak berkelip. Duha Maisara turut memandang lelaki itu dengan perasaan hairan. Aneh dia ni! Kenapa pandang aku macam tu sekali?

...bersambung

Bab akan datang:

Siapakah lelaki yang merenung tajam ke arah Duha Maisara itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience