Rate

Chapter 190

Romance Completed 26118

Bab 190

Tapi belum sempat dia mahu menghampiri Zafran, lelaki itu terus membelok ke suatu arah. Suraya terpaksa mengejar pantas. Dia ternampak Zafran memasuki sebuah bilik. Langkah Suraya terhenti. Bibirnya melemparkan senyuman. Barangkali Zafran tengah sibuk merawat pesakit, tak patut pula rasanya dia menganggu lelaki itu pada waktu-waktu begini.

Namun entah mengapa, tergerak hatinya mahu mengintai lelaki itu menjalankan tugasnya. Dia sendiri tidak tahu kenapa sejak mengenali doktor muda itu, hatinya sedikit sebanyak mula terubat. Kadang-kadang dia terfikir pula. Apakah kata-kata Katrina tempohari ada kebenarannya? Apakah sememangnya dia jenis gadis yang cepat berubah hati? Jika tidak, masakan dia masih boleh menerima kenyataan yang Nashriq langsung tidak menyukainya. Ah! Persetankan kata-kata orang. Yang penting, lelaki itu jujur padanya sejak awak-awal lagi. Hanya dia yang berdegil mahu terus menambat hati Nashriq. Kerana itu, meskipun gagal mencuri hati Nashriq, dia langsung tidak menyimpan sekelumit pun rasa marah pada lelaki itu. Pada mulanya dia memang rasa sedih, tapi sedikit demi sedikit, perasaan itu mampu dilontarkan jauh-jauh.

Suraya sudah menghampiri pintu wad di mana kelibat Zafran menghilang ke situ. Perlahan-lahan tangannya diberanikan memulas tombol pintu. Sebaik daun pintu itu beredar sedikit dari kedudukan asalnya, mata Suraya mencerun ke dalam. Namun melihat kelibat Zafran sedang tunduk memandang ke arah sekujur tubuh yang terbaring, Suraya bagaikan berminat untuk terus memerhatikan. Namun wajah pesakit itu dia tidak nampak jelas. Dia mengeluh panjang.

Tiba-tiba timbul kesal di hati Suraya. Mengapa dengan aku ni terhendap-hendap begini? Kalau Zafran tahu, pasti dia malu besar. Macam orang gila angau! Dia tersengih sendirian. Dia baru hendak beredar dari situ, tatkala tubuh Zafran turut beredar ke arah jendela tingkap. Suraya terperanjat. Wajah Duha Maisara terpampang di hadapan matanya dengan mata yang terkatup rapat. Dia mula hairan. Kenapa Duha Maisara masuk hospital? Sakitkah dia? Perasaan Suraya mula berbelah bahagi. Perlukah dia masuk melawat gadis itu atau dia patut menunggu? Tiba-tiba dia teringatkan Nashriq. Sudahkah lelaki itu tahu tentang Duha Maisara?

******

Kelopak matanya digerak-gerakkan. Dia cuba membuka mata. Sinar cahaya yang mencelah masuk ke dalam tirai jendela yang sedikit terbuka, membuatkan matanya terasa pedih dan silau. Dia menahan dengan jarinya. Duha Maisara memandang ke sekelilingnya, segala-galanya yang dihadapannya nampak putih. Dia menoleh pula ke arah sofa kecil di hadapannya, apabila sesusuk tubuh sedang bersandar di dada sofa dengan mata terpejam.

Melihat lelaki itu di situ, bibir Duha Maisara melemparkan senyuman. Seperti satu ulang tayang, dia seperti terlihat dirinya sendiri yang terlena sewaktu menemani Zafran yang sakit seminggu yang lalu. Kini giliran dia pula berehat di hospital. Namun mengingatkan peristiwa yang menyebabkan dirinya terlantar begitu, senyuman Duha Maisara tiba-tiba pudar. Perlahan-lahan dia meraba dahi dan kepalanya yang bertampal plaster. Ingatannya serta merta singgah pada ibunya. Wajah ketakutan wanita itu masih jelas di ingatannya.

Dia masih ingat bagaimana selepas Engku Latifah beredar dari rumahnya, ibunya seolah ingin mengejar wanita itu. Bibir wanita itu tidak putus-putus memanggil Engku Latifah. Dia cuba menghalang dengan memeluk ibunya. Tapi tiba-tiba sahaja wanita itu bertindak ganas dengan menolak tubuhnya sehingga dia terhantuk pada dinding rumah. Dia mengaduh kesakitan. Pandangannya tiba-tiba kelam. Sedar-sedar sahaja darah pekat mula membasahi tangannya.

Melihat keadaannya, ibunya kelihatan terkejut. Wajah wanita itu bagaikan ketakutan apabila melihat kesan darah pada dahi dan kepalanya.

“Hana…..” panggil wanita itu sambil menangis. Tubuhnya dirangkul erat oleh wanita itu. Dia hanya mampu memandang ibunya.

“Bukan salah mak. Hana..Hana yang jatuh,” ucapnya lemah. Wanita itu terus mengongoi seperti anak kecil. Sewaktu itu, entah kenapa yang timbul di fikirannya ketika itu adalah wajah Nashriq. Dia inginkan lelaki itu di sisinya. Tapi entah kenapa, nombor yang di dailnya adalah nombor telefon Zafran.

Duha Maisara memejamkan matanya. Timbul rasa kesal dalam dirinya. Oh tuhan, kenapa aku harus hubungi Zafran? Dengan keadaannya yang begitu serta kehadiran ibunya di rumah itu, pasti Zafran mula mengesyaki sesuatu. Bodohnya aku! Kenapa aku tak langsung tak terfikir tentang hal ini. Entah bagaimana keadaan ibunya sekarang?

Perlahan-lahan Duha Maisara bangun dari katil. Serentak dia mengerang. Kesakitan di kepalanya masih terasa perit. Zafran yang terjaga dari tidurnya tergaman melihat Duha Maisara. Dia segera meluru ke arah gadis itu.

“Duha nak ke mana ni? Duha tak sihat, cepat baring semula,” larang Zafran. Duha Maisara tidak jadi bangun. Matanya memandang Zafran yang membantu menyelimuti tubuhnya. Anak muda itu duduk di sisinya sambil merenung ke arahnya. Melihat cara Zafran memandangnya, Duha Maisara jadi resah.

...bersambung

Bab akan datang:

Apa yang berlaku sebenarnya semasa Engku Latifah datang ke rumah Duha?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience