Rate

Chapter 147

Romance Completed 26118

Bab 147

Gadis itu memandangnya sekilas, tapi dengan cepat melarikan matanya. Duha Maisara mengangguk.

“Sebelum ni Cik Duha bekerja di mana?” Soal Engku Iskandar lagi selamba. Dia melihat wajah gadis itu berubah. Duha Maisara tunduk. Hatinya terdetik sesuatu. Mungkinkah lelaki itu ingat tentang aku? Lagipun bukankah kami pernah bertembung di Blue Ocean tempohari?

“Maaf saya bertanya. Saya macam pernah nampak Cik Duha sebelum ni, tapi tak ingat di mana. Ah mungkin saya tersilap orang agaknya.” Lelaki itu tertawa lepas. Namun matanya masih menjeling Duha Maisara yang sedikit resah.

“Okeylah Cik Duha, saya keluar di sini. You teruskanlah perjalanan you ke atas.” Dia melangkah keluar. Sempat dia berpaling memandang Duha Maisara yang merenungnya dari dalam pintu lift yang hampir tertutup. Engku Iskandar tersenyum. Dia memandang sampul surat besar yang dipegangnya. Entah bagaimana reaksi adiknya Engku Latifah setelah melihat semua gambar-gambar ini. Yang paling tidak sabar ingin dilihatnya ialah wajah Nashriq sendiri jika tahu siapa sebenarnya gadis manis bermata bundar itu.

Duha Maisara melangkah keluar dari pintu lift yang sedia terbuka. Dia segera mengeluarkan id card dari dalam poket beg sebelum membawanya ke mesin punch. Setelah itu dia balik ke mejanya. Di situ dia terduduk lemah. Entah kenapa wajah lelaki itu bermain-main di matanya. Tanpa sedar dia meramas bucu meja sekuat hati.

Selama dia bekerja di situ tidak sampai dua bulan, beberapa kali juga dia bertembung lelaki itu dari jauh. Tapi setiap kali dia cuba bertenang. Berkali-kali dia mengingatkan dirinya bahawa dia adalah Duha Maisara dan lelaki itu tidak akan mengenalinya. Jika Nashriq tidak ingat siapa dia, mustahil lelaki bernama Engku Iskandar itu akan mengingatinya. Tapi kenangan lama memang sukar untuk dileraikan dalam hidupnya. Dia benar-benar takut sebaik teringatkan apa yang berlaku selama ini ada kaitan dengan lelaki itu.

Satu sentuhan singgah di bahunya menyebabkan Duha Maisara terkejut besar. Dia mendongakkan wajahnya.. Anis berdiri di hadapan sambil mengerutkan dahinya. Hairan dengan wajah Duha Maisara yang kelihatan cemas.

“Awak ni kenapa Duha?” Tanya Anis.

Duha Maisara menggelengkan kepala. Dia cuba bertenang. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu menyebabkan Anis berfikir yang bukan-bukan terhadapnya.

“Tak ada apa-apa Anis, Encik Nashriq dah sampai pejabat?” Tanyanya.

Gadis itu menggelengkan kepala. “Belum. Dia masuk lambat sikit hari ni, katanya nak terus ke Sri Sutra Corporation. Awak lupa hari ni kan ada majlis bida tanah.”

Duha Maisara menggaru kepala yang tidak gatal. Bagaimana pula dia boleh terlupa tentang itu, sedangkan dia yang membantu Nashriq menyiapkan fail cadangan.

“Awak tak apa-apa Duha?” Anis memandang gadis itu.

Duha Maisara tercengang. Apa maksudnya?

“Hari tu kan awak minta cuti mengejut, apa awak sakit?”

Duha Maisara menggeleng. “Saya ada hal peribadi sikit yang nak diuruskan. Kenapa Anis tanya?”

“Bukan, tapi Encik Nashriq tu yang marah-marah bila dengar Duha nak bercuti. Sepanjang hari dia asyik moody saja sampaikan kitaorang ni ikut sama terkena bahangnya.” Ujar Anis. Duha Maisara terdiam. Kata-kata Anis membuatkan dia naik hairan. Entah apa kena dengan lelaki itu sehingga marah tak tentu fasal. Takkan sebab ambil cuti pun nak dimarahi. Barangkali sebab aku masih baru di pejabat ini, detik hati kecilnya.

“Err Anis, saya nak ke restroom sekejap.” Ujar Duha Maisara lalu segera berlalu pergi. Anis hanya memerhatikan langkah gadis itu. Diam-diam dia tertanya-tanya sendiri, apakah khabar angin yang didengarinya selama ini betul atau ini semua angkara orang yang suka membawa mulut. Apakah memang benar gadis itu teman istimewa ketuanya?

Satu pejabat heboh menceritakan perihal Duha Maisara. Tak kurang juga teman-temannya dari jabatan lain sibuk bertanyakan hal itu dengannya. Kadang-kadang terdetik juga perasaan ingin tahunya. Apatah lagi sepanjang Duha Maisara menjadi pembantu Nashriq, belum pernah dia melihat adegan mesra antara kedua-duanya berlaku di dalam pejabat. Kadangkala tak logik pula pada fikirannya, tapi tak mustahil jika difikirkan dalam-dalam. Lagi pula gadis itu cantik manis orangnya. Kalau dia jadi lelaki pun pasti tertarik dengan Duha Maisara yang sopan santun dan lemah lembut orangnya. Gerak-gerinya sedap mata memandang dan tidak over seperti sesetengah pekerja perempuan lain di situ.

Mungkinkah lelaki itu tidak mahu bertunang dengan Suraya, gadis paling popular di jabatan protokol disebabkan Duha Maisara? Anis tersenyum tiba-tiba. Kenapa aku tiba-tiba melalut sampai ke situ pulak. Hal orang, kenapa aku susah-susah nak tahu. Buat kerja sendiri lagi baik, bisik Anis lalu berlalu ke mejanya.

* * * *

Nashriq melambaikan tangannya ke arah lelaki itu sambil tersengih.

...bersambung

Bab akan datang:

Pada siapakah Nashriq melambaikan tangannya itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience