Rate

Chapter 135

Romance Completed 26118

Bab 135

“Jangan cakap lagi.” Ujar Zafran.

“Duha tahu Duha melukakan hati abang. Abang ingat Duha tak sakit tengok abang begini? Hati Duha teramat sakit. Tapi Duha tak terdaya mahu menyembuhkan luka di hati abang. Yang Duha boleh lakukan hanya diam, membisu pada cinta abang pada Duha. Tapi setiap kali Duha diam, tanpa Duha sedari Duha hanya akan lebih melukakan hati abang. Duha sudah tidak berdaya lagi.”

“Abang kata jangan cakap lagi.” Tengking Zafran, geram.

Duha Maisara merenung lelaki di hadapannya dengan mata basah. Dia benar-benar sedih. Perlahan-lahan dia melangkah longlai masuk ke biliknya. Pintu biliknya dikatup rapat. Matanya dipejamkan sambil bersandar di belakang pintu. Tuhan, berilah aku kekuatan untuk menghadapi Zafran. Aku benar-benar sudah tidak berdaya lagi, rintih Duha Maisara kesayuan.

Zafran masih berteleku di suatu sudut dengan wajah muram. Fikirannya berkecamuk. Matanya berkaca. Pertengkaran itu membuahkan rasa sesal dalam dirinya. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia hilang waras secara tiba-tiba. Aku telah melukakan hati Duha, sedangkan sepatutnya aku yang menjadi pelindung dari semua kelukaan yang dirasainya dalam dunia ini. Apa aku dah buat sebenarnya? Gadis itu aku cintai, tapi dia juga yang aku lukai. Kejamkah aku kerana tidak memahami perasaannya? Tapi perasaanku bagaimana? Cinta yang aku sulam sejak kecil belum sempat mekar, kian layu di hujung jalan. Takkan aku harus mengalah begitu sahaja pada lelaki itu?

Dia memandang ke arah bilik Duha Maisara yang terkatup rapat. Dia pasti, saat itu Duha Maisara sedang menangis kesedihan. Menangis kerana kebodohannya. Duha, maafkan abang. Abang bersalah pada Duha! Abang bertindak bodoh malam ini. Tapi bukan itu maksud abang. Hanya Duha satu-satunya gadis dalam hati abang!

******

Nashriq membuka pintu rumahnya perlahan-lahan. Dia mengintai kelibat Erman, namun bayang lelaki itu tidak kelihatan. Mana dia pergi? Masih di rumah ibunyakah? Dia melangkah masuk sambil menyorong bagasinya. Sebaik kakinya menuju ke arah biliknya, langkah Nashriq terhenti di hadapan pintu bilik. Dia menarik sehelai nota yang sengaja dilekatkan di hadapan pintu biliknya. Sejurus kemudian, Nashriq mengeluh panjang apabila membaca nota tersebut.

Lekas datang ke sini selepas balik, Puan Engku anjurkan jamuan di rumah kau malam ni. Erman. Begitulah bunyi nota ringkas yang terpapar pada kertas kecil itu. Nashriq segera merenyukkan helaian kertas nota itu, lalu dicampakkan ke dalam bakul sampah. Dia tiada hati mahu menghadiri majlis itu. Apa yang ada dalam otaknya sekarang adalah mandi air panas, lepas itu tidur. Itu sahaja yang ingin dilakukannya sekarang.

Selepas mandi dan bersolat, Nashriq segera menukar pakaian. Dia ingin menyiapkan sedikit kerja sebelum tidur. Namun melihat sekeping lagi nota terlantar di atas meja kerjanya, Nashriq tanpa sedar melepaskan keluhan.

Dia menukar kembali baju yang tersarung di tubuhnya lalu segera mencapai kunci kereta. Tak lama kemudian kereta miliknya yang tersimpan di kawasan parking lot dipandu laju meninggalkan kawasan apartment itu. Destinasi yang ditujunya ialah Vila Kasih, kediaman yang menyimpan banyak memori silam dalam hidupnya.

Setelah hampir lima belas minit memandu, kereta Nashriq akhirnya melewati sebuah pintu pagar setinggi paras kepala orang dewasa. Dia segera memandu masuk, mendekati berpuluh-puluh buah kereta yang telah pun tersadai di dalam kawasan villa itu. Melihat lampu neon berkelip-kelipan menerangi suasana malam itu, disertai suara orang ramai di kawasan halaman rumah, Nashriq terpaku. Betullah seperti yang terkandung dalam nota Erman tadi, bahawa semua kakitangan Mega Timur Construction dijemput ke majlis itu. Tapi majlis untuk apa? Meraikan siapa sebenarnya? Fikir Nashriq sedikit hairan.

Melihat Erman sedang melangkah menuju ke arahnya, Nashriq segera menuju ke arah lelaki itu.

“Baru sampai Naz?” Tegur lelaki itu.

Nashriq mengangguk, namun matanya masih mengintai bayang ibunya.

“Abang, majlis ni sebenarnya untuk apa? Kenapa semua pekerja Mega Timur ada di sini?” Soal Nashriq.

Erman terdiam. Sangkanya Nashriq sudah tahu untuk apa majlis itu diadakan. Namun melihat kerut di wajah lelaki itu, dia diterpa tanda tanya. Apakah Nashriq sememangnya tidak tahu apa-apa.

Belum sempat Erman mahu bersuara, Engku Latifah muncul tiba-tiba. Bibir wanita itu melemparkan senyuman ke arah Nashriq yang seperti keliru.

“Bila Naz sampai dari Pulau Pinang?” Tanya wanita itu.

“Petang tadi.” Jawab Nashriq.

“Kalau macam tu, mari ikut umi masuk ke dalam. Umi nak Naz jumpa dengan saudara-mara umi dari Kelantan. Mereka terbang dari jauh semata-mata nak jumpa dengan Naz malam ni,” Ujar Engku Latifah lalu segera menghela lengan lelaki itu. Nashriq terpaksa menurut tanpa banyak soal. Tapi dia sempat menjeling ke arah Erman yang bagaikan resah mahu memandangnya.

...bersambung

Bab akan datang:

Mengapa tiba-tiba Engku Latifah mengadakan jamuan?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience