Rate

Chapter 164

Romance Completed 26118

Bab 164

“Pembantu? Pembantu atau kekasih kau? Sebab itu kau marah sangat dengan aku? Hei Naz, perempuan macam tu, bersepah di mana-mana. Aku ingat kau ni pandai macam ayah kau, tapi rupa-rupanya bodoh. Perempuan kelab malam macam tu kau nak buat teman?” Herdik Engku Iskandar.

Nashriq terdiam. Dia tidak menyangka yang lelaki itu tahu tentang sejarah Duha Maisara.

“Kau ingat aku tak tahu siapa dia? Dia penyanyi kelab malam kan? Mak kau pun tahu siapa Duha Maisara tu. Tapi kau ni bodoh, dengan perempuan macam tu pun kau boleh tertipu. Kalau kau nak tahu perempuan tu bukan setakat menyanyi di kelab tu, tapi dia juga melacur.”

“Diam!” Nashriq mengemaskan pautannya.

“Kau ingat dia tak tahu siapa kau? Awal-awal lagi dia tahu siapa kau. Dia mendekati kau ada sebabnya. Perempuan macam ni memang tahu macamana nak menjerat lelaki kaya. Kau ingat aku saja-saja nak mengusik dia? Dia yang menggoda aku. Dia yang hendak menjual maruahnya pada aku!”

“Bohong!” Bentak Nashriq berang. Dia mengangkat penumbuknya tinggi-tinggi, mahu diacukan pada wajah Engku Iskandar. Lelaki itu sudah kecut perut. Dia memejamkan matanya. Menunggu dengan pasrah. Namun suatu suara keras menghentikan tindakan Nashriq. Perlahan-lahan dia berpaling.

Wajah ibunya kelihatan merah padam memandangnya di hadapan pintu bilik yang terbuka luas. Di belakang ibunya, beberapa pekerja Mega Timur asyik berbisik-bisik sesama sendiri. Perlahan-lahan Nashriq menjatuhkan penumbuknya. Kolar baju Engku Iskandar dilepaskan. Dia memandang wanita itu dengan perasaan geram. Dia tahu wanita itu sengaja merancang mahu mencari jalan menyingkirkan Duha Maisara dari situ. Dia kenal siapa ibunya.

“Umi tunggu Naz dalam bilik umi.” Ujar wanita itu seraya melangkah keluar dari bilik itu. Nashriq termangu-mangu sendirian. Dia menoleh ke arah Engku Iskandar yang juga diam. Wajah lelaki itu masih belum hilang pucatnya.

* * * *

“Sebab perempuan tu Naz sanggup tumbuk pakcik Naz sendiri? Umi jadi tertanya-tanya betapa pentingnya dia pada Naz berbanding umi?” Engku Latifah bersuara pada anak muda itu.

“Ini bukan soal siapa penting. Ini soal maruah dirinya, umi.”

“Maruah? Perempuan macam Duha Maisara tu masih ada maruahkah?” Sindir Engku Latifah, benar-benar geram dengan tindakan Nashriq tadi.

Nashriq merenung ibunya. Entah kenapa dia rasa hampa dengan sikap ibunya. Sejak dulu hingga kini, sikap ibunya tidak pernah mahu berubah. Sering memandang hina pada orang lain yang tidak setaraf dengan keluarga mereka.

“Walaupun dia pernah bekerja di kelab malam tapi hanya sebagai penyanyi. Dia tak penah buat kerja-kerja yang tak senonoh macam yang umi katakan tu.” Ujar Nashriq cuba mempertahankan Duha Maisara.

“Mana Naz tahu dia tak buat kerja-kerja tu semua? Berapa lama Naz kenal dia, kenal hati budinya?” Soal Engku Latifah tidak senang.

“Saya kenal siapa Duha umi.”

“Kenal? Jadi Naz tahulah yang dia tinggal serumah dengan lelaki yang bukan muhrimnya?”

Nashriq tersentak. Dia tidak mengerti maksud kata-kata itu.

“Naz, perempuan tu bersekedudukan dengan seorang doktor. Dia tak jujur pada Naz. Yang dia mahu hanyalah kekayaan keluarga kita saja. Naz, dengar cakap umi ni. Lupakan dia. Banyak lagi perempuan lain yang lebih cantik dan lebih sesuai untuk Naz,” pujuk Engku Latifah.

“Tunggu, umi cakap Duha Maisara bersekedudukan dengan seorang doktor? Maksud umi doktor Zafran?” Nashriq mengerutkan dahinya.

“Umi tak ingat siapa namanya tapi itulah yang umi dengar.”

“Siapa yang buat cerita merepek ni dengan umi? Zafran tu abang Duha, bukan orang lain dengan dia.”

“Umi bukan merepek Naz, tapi kenyataannya memang Doktor Zafran bukan abang kandung Duha Maisara. Kalau Naz tak percaya, Naz tengok dokumen ni.” Engku Latifah mengambil satu fail dari dalam laci mejanya lalu diserahkan kepada Nashriq.

Nashriq mengeluh panjang. Mahu tak mahu dia membelek helaian demi helaian kertas-kertas di hadapannya. Dia tergaman sebaik membaca maklumat yang tertulis pada kertas.

“Naz dah tengok kan. Duha Maisara berbintikan Abdullah, bukan Bustaman. Jadi siapa Zafran tu? Apartment yang diduduki oleh Duha Maisara sekarang disewa oleh Zafran. Dia yang bayar semua barang-barang keperluan yang dihantar ke rumah tu. Itu semua resit bayaran sewa dan barang-barangan lain.”

Nashriq terdiam. Kata-kata ibunya semakin sayup-sayup di pendengarannya. Dia baru perasan tentang Duha Maisara yang bukan berbintikan Bustaman. Tapi Duha Maisara memanggil lelaki itu ayah. Jika Bustaman bukan ayah kandung Duha Maisara, jadi dia dan Zafran sudah tentu bukan adik-beradik.

Tiba-tiba dia teringatkan Zafran yang ditemuinya di apartment itu. Lelaki itu kelihatan tidak senang dengannya. Apakah sebab Duha Maisara, baru dia berkelakuan begitu?

...bersambung

Bab akan datang:

Apakah Nashriq mempercayai kata-kata Engku Latifah?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience