Rate

Chapter 26

Romance Completed 26118

BAB 26

Lama mata Zafran menatap ke wajah itu. Wajah anak kecil yang dahulu selalu muram, kini kian dewasa. Wajah comel itu kian ayu. Siapa saja yang menatap wajah Duha Maisara pasti akan tertarik melihatnya berulangkali. Termasuk dia yang selalu merindui gadis itu siang dan malam. Apa dayanya kerana dia harus menggapai cita-citanya terlebih dahulu, sebelum membawa Duha Maisara ke sangkar bahagia.

Maafkan abang Duha, abang tahu Duha tak bahagia hidup dengan abang dan ayah. Sejak dulu abang tahu, tapi entah mengapa hati abang seakan tak mengizinkan Duha pergi dari hidup abang. Abang memang mementingkan diri. Abang tahu hidup Duha menderita bersama ayah, tapi abang pura-pura tidak tahu. Jahatkah abang ini Duha?

Zafran menarik nafas panjang. Namun setiap nafas yang dihela membuaikan emosinya pada kisah lama. Kehadiran Duha Maisara dalam hidupnya seakan memberi sinar baru.

“Comelnya budak ni, siapa ni Zafran? Adik kamu?” Tanya seorang perempuan, kenalan ayahnya.

Dia hanya mengangguk. Gembira kerana ramai orang menyangka Duha Maisara adalah adiknya.

“Tapi selama ni aku tak tahu pun Bustaman ada anak perempuan. Lepas Delilah melahirkan Zafran, dia kan meninggal dunia. Mana datangnya budak ni?” Tanya salah seorang perempuan lain.

Dia hanya terkedu mendengar perbualan keduanya. Tangan Duha Maisara segera diraih pergi. Walau apapun cakap orang, dia sudah berikrar, Duha Maisara adalah adiknya. Malah dia akan melindungi gadis itu sehingga ke akhir hayatnya. Itu janjinya sejak dulu.

Tapi hidup Duha Maisara tak seindah yang diinginkannya terhadap gadis itu. Malah Zafran kerap rasa bersalah. Kalau saja dia setuju ayahnya meninggalkan Duha Maisara ketika hendak lari dari ceti haram dulu, mana mungkin Duha Maisara akan mengalami kepahitan hidup sedari kecil sehinggalah dewasa. Sejak kecil, keringat Duha Maisara sudah diperah. Berbagai jenis kerja, dibuat oleh gadis itu tak kira siang atau malam. Ke hulu ke hilir Duha Maisara mengikut ayahnya melakukan sebarang pekerjaan untuk menampung hidup. Sehingga ke satu tahap, Duha Maisara juga pernah mengemis di jalanan.

“Yan tak suka ayah suruh Duha mengemis. Kita bukan pengemis ayah.” Dia meninggikan suaranya.

“Habis kalau tak mengemis, mana kita nak isi perut kita? Kamu ingat ayah senang nak dapat kerja?” Balas Bustaman.

“Ada banyak kerja yang halal di dunia ni. Ayah saja yang malas nak bekerja. Tapi ayah suruh Duha bekerja, ayah perah keringat Duha. Ayah tak kasihankan dia ke?”

“Kasihan? Memang patut pun dia buat kerja untuk kita. Kalau bukan sebab ayah yang kutip dia di jalanan, mana mungkin dia boleh hidup sampai sekarang. Yan kena ingat, dulu kita hanya berdua, sekarang dah bertiga. Banyak perut nak diisi.” Begitulah jawapan ayahnya setiap kali dia mengutarakan rasa tidak puas hatinya.

Siapa yang tak sedih setiapkali melihat tapak kaki Duha Maisara yang pecah-pecah tatkala pulang. Malah gadis itu pulang sahaja ke rumah, terus tertidur kepenatan. Lagipun Duha Maisara baru berusia 14 tahun ketika itu. Setakat mana tubuh kecil itu mampu bertahan dengan kerja buruh setiap hari.

Kerana itu dia mengambil keputusan untuk mengikut Duha Maisara keluar mencari rezeki. Tapi kedegilannya membuatkan Duha Maisara yang menjadi mangsa. Teruk gadis itu dipukul ayahnya kerana menyangkakan Duha Maisara yang memintanya menemaninya.

“Dahlah bang, biar Duha sorang saja yang kerja. Abang jangan ikut Duha lagi, nanti ayah marah. Baik abang belajar di rumah. Peperiksaan abang dah tak lama kan?” Mendayu suara gadis itu berbisik. Takut didengari ayahnya.

“Duha suka tinggal dengan kami?” Dia cuba menduga. Gadis itu tersenyum. Pantas kepalanya diangguk.

“Di mana tempat ada abang dan ayah, Duha akan sentiasa gembira.” Ucap gadis itu. Dia terkedu. Pilu dengan ketulusan hati Duha Maisara.

Zafran tersedar dari lamunan apabila melihat bibir Duha Maisara bergerak-gerak seperti mengucapkan sesuatu. Namun apabila telinganya didekatkan ke arah gadis itu, dia terpaku.

“Mak…..” suara gadis itu tidak putus-putus menyebut perkataan itu. Zafran mengeluh. Apakah selama ini Duha Maisara rindu pada keluarganya?

******

Mata Duha Maisara perlahan-lahan terbuka. Sinar cahaya yang masuk dari celah-celah jendela menyilaukan matanya. Dia bangun dari tempat tidurnya. Matanya memandang di sekelilingnya. Dia termenung panjang bagaikan cuba mengingati sesuatu. Sejurus kemudian, dia terpegun. Baru dia ingat kejadian semalam yang memaksa di bermalam di rumah Zafran.

Belum sempat Duha Maisara bangun, pintu di belakangnya terbuka. Dia lekas-lekas berpaling. Wajah Zafran muncul sambil tersenyum memandangnya.

“Duha dah bangun?” Tegur Zafran seraya duduk di kerusi mengadap ke arahnya.

Duha Maisara membetulkan duduknya. Entah kenapa dia jadi segan berhadapan dengan Zafran dalam keadaannya yang kusut masai.

“Abang nak ke hospital, tapi petang nanti abang balik. Kita makan sama-sama nanti ya.” Ujar Zafran.

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah perasaan Zafran melebihi perasaan seorang adik-beradik terhadap Duha?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience