Rate

Chapter 2

Romance Completed 26118

BAB 2

“Hana tahu abang bencikan Hana. Abang bencikan seluruh keluarga Hana.”

Dia menggeleng. Tuduhan Raihana memeritkan perasaannya. Hatinya rasa terbeban. Cukuplah apa yang dia rasakan selama ini.

“Kamu kena lupakan dia Naz. Dia anak pembunuh!” Kata-kata pakciknya, Engku Iskandar membuatkan dia resah. Anehnya, mulutnya bagaikan terkunci ketika itu. Sedikitpun dia tidak membela Raihana. Perlakuannya bagaikan membenarkan tuduhan demi tuduhan itu tertimpa pada gadis kecil yang baru berusia 12 tahun.

“Umi tak mahu Naz sebut nama budak tu lagi. Sekali umi benci, sampai tujuh keturunannya pun umi haramkan kita memandangnya.” Bentak Engku Latifah pula, menyorot resah berpanjangan dalam dirinya.

“Nashriq…” panggil Erman perlahan. Anak muda itu menoleh. Bibirnya tersenyum tenang. “Abang balik ke hotel dulu, saya nak ke suatu tempat.” Ujarnya pada Erman ketika mereka sudah tiba di balai ketibaan.

“Tapi Naz…” Kata-kata Erman tersekat di kerongkong, apabila lelaki itu melewatinya lalu hilang di sebalik kelibat orang ramai. Erman kaget.

******

Matanya asyik terperosok ke arah air tasik yang membiru. Melihat ketenangan air tasik itu, dia tidak dapat menahan dirinya. Seketul batu dikutip lalu dilemparkan mengena air tasik. Air tasik yang tadi tenang mula bergolak. Gelora air tasik itu dihujani batu-batu kecil, sama seperti gelora yang ada dihatinya sejak sekian lama.

Dia memandang lesu ke arah rumah dua tingkat bercirikan gabungan tradisional moden yang menjadi tempatnya bermain bersama Raihana suatu ketika dahulu. Rumah itu masih wujud, hanya gelak ketawa yang ditinggalkannya dahulu sudah hilang pudar entah ke mana. Papan tanda tertulis ‘Vila Kecil’ yang menjadi lambang suatu ikatan hati yang termeterai antara dia dan Raihana dulu, kini umpama papan tanda yang sudah tidak ada ertinya lagi. Hambar dan kosong. Rumah itu tidak lagi seseri dahulu. Rumput-rumput panjang tumbuh meliar tidak terjaga. Malah dinding rumah itu juga dipenuhi lumut dan catnya juga sudah terhakis, tidak seperti semasa arwah ayahnya masih hidup.

Sewaktu dulu, ayahnya amat menyayangi rumah itu. Vila Kecil, nama yang diberi pada rumah itu seakan memberi satu makna yang mendalam buat ayahnya. Dia sendiri bagaikan dapat merasai hati ayahnya ada di vila itu. Setiap tenaga dan usaha ayahnya tercurah sepenuhnya untuk membina sebuah vila yang diidam-idamkan oleh lelaki itu.

Hanya selepas itu, rumah itu diserahkan pada Munif sekeluarga, pemandu ayahnya yang sangat rapat dengan mereka. Malah hubungan erat itu, memungkinkan satu ikatan hati yang cukup tulus antaranya dengan Raihana, anak pemandu ayahnya. Gadis cilik berpipi tembam yang cukup keletah dan manja dengannya. Tapi itu semua kenangan lama. Kini Vila Kecil terbiar begitu sahaja. Rumah itu bagaikan disumpah. Semuanya kerana peristiwa yang mencengkam hatinya sejak sekian lama.

“Naz, kita kena bertolak sekarang. Dah tiba masanya.” Lelaki bercermin mata gelap itu menyentuh bahunya. Dia terkesima. Wajah Erman tampak serius.

“Abang, saya tak mahu pergi..”

Lelaki itu terdiam. Dia membuka kacamata hitam yang dipakainya.

“Kita kena pergi Naz. Ini permintaan Tuan Zainal. Dia bimbang kalau Naz masih di sini, nyawa Naz akan terancam.”

“Abang rasa betul ke pakcik Munif yang bunuh ayah?” Entah kenapa dia mengajukan soalan itu tiba-tiba. Lelaki di hadapannya itu tidak bersuara. Namun mata lelaki itu seolah memikirkan sesuatu. Soalannya terus terbiar sepi tanpa jawapan. Dia menarik nafas panjang. Wajah ayahnya pula bermain di hadapan mata.

“Suatu hari nanti, Naz akan mewarisi perniagaan ayah. Perniagaan yang lahir dari setiap keringat dan darah yang ayah tumpahkan. Tapi sebelum saat itu tiba, kita terpaksa korbankan banyak benda dalam hidup ini. Suatu hari nanti, Naz akan faham maksud ayah.”

“Dan jika suatu hari nanti ayah sudah tiada di samping Naz, Naz kena janji dengan ayah, jaga diri Naz baik-baik. Dan yang paling penting, Naz kena lindungi Hana selalu. Ayah sayangkan kamu berdua.” Ucap lelaki itu sebak.

Setitis air hangat mengalir dari celah pipinya. Dia cepat-cepat menyapunya dengan tangan, bimbang gelodak hatinya dapat disilau oleh mata-mata pejalan kaki yang melalui kawasan tasik itu. Namun kenangan lalu tak mampu dihalau keluar dari hidupnya.

“Kami dah cuba sedaya upaya. Tapi kami tak mampu selamatkan dia. Badannya melecur teruk.” Kata-kata lelaki berpakaian serba putih itu pula mengintai di celah ingatannya.

Nashriq memejamkan matanya. Dadanya sebak. Fragmen-fragmen luka datang bertandang, mengetuk tangkai hatinya tanpa dia sedari. Mana mungkin dia lupa pada sebuah kelukaan yang terbit dari tragedi dua belas tahun yang lalu. Luka di hatinya entah kenapa enggan sembuh.

******

“Tuan Asri, Nashriq dah balik. Orang kita di kedutaan di sana, baru sahaja hantar faks pada kita. Dia naik penerbangan malam semalam dari LAX terus ke Kuala Lumpur.” Ujar seorang lelaki muda, mengadap seorang lelaki separuh umur yang sedang asyik merenung ke luar jendela. Lelaki itu segera menoleh. Nama Nashriq menarik minatnya.

…bersambung

Bab akan datang:
Apakah yang bermain di fikiran Tuan Asri sebenarnya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience