Rate

Chapter 99

Romance Completed 26118

Bab 99

Hatinya terusik dengan tangisan Duha Maisara. Tanpa sedar, tangannya naik ke pipi gadis itu. Terkejut Duha Maisara apabila Zafran spontan menyeka airmata di pipinya.

Duha Maisara cepat-cepat memusingkan tubuhnya. Dia tidak ingin Zafran melihatnya begitu. Namun lengan sasa Zafran dengan pantas sampai ke bahunya. Tiba-tiba sahaja lelaki itu memeluk bahunya. Erat.

Duha Maisara tergaman. Dia cuba mengelak, tapi Zafran mengemaskan pelukannya.

“Mana Duha pergi selama ini? Abang rindu seperti hendak gila. Kenapa Duha tinggalkan abang macam tu saja?” Bisik Zafran di tepi telinganya.

“Kalaupun Duha tak sayangkan abang, sekurang-kurangnya izinkan abang pandang Duha setiap hari. Bila Duha hilang, hati abang ni sakit. Sudahlah ayah pergi entah ke mana, sekarang pun Duha nak tinggalkan abang juga?” Ucap Zafran perlahan.

Duha Maisara memejamkan matanya. Hatinya tambah sebak diusik pertanyaan Zafran. Tiba-tiba sahaja dia rasa bersalah terhadap lelaki itu. Zafran benar-benar menyayanginya selama ini, tapi tindakannya seperti membelakangkan Zafran.

* * * *

Wajah Zafran nampak ceria ketika memesan pelbagai makanan kesukaannya. Dia hanya berdiam diri. Wajah anak muda di hadapannya ditenung perlahan. Dia memahami gelodak rasa yang Zafran rasakan terhadapnya. Malah perasaan lelaki itu sudah difahaminya. Namun hatinya sudah tertutup untuk mencintai seseorang. Dia sayangkan Zafran. Berbelas tahun dia membesar bersama lelaki itu, mana mungkin dia tiada rasa sayang pada Zafran yang dianggap abang.

“Duha sayangkan abang?” Pertanyaan itu pernah singgah di telinganya beberapa tahun dahulu. Dan dia hanya ketawa mendengar pertanyaan itu.

“Tentulah Duha sayangkan abang. Abang kan abang Duha.” Jawabnya mudah.

Zafran kelihatan diam. Mata anak muda itu merenung tajam ke arahnya. “Sayang saja? Lebih dari itu?”

Dia tergamam. Maksud Zafran langsung tidak difahaminya.

“Duha ni bodohlah, senang macam tu pun tak boleh jawab?” Zafran seakan marah. Namun melihat wajah Zafran berkerut, dia tertawa lagi. Kata-kata Zafran langsung tak diambil kisah.

Namun sekarang dia masih lagi berlagak tidak tahu atau pura-pura tidak mengerti. Dia tidak mahu hubungan antaranya dengan Zafran berubah. Dia mahu lelaki itu terus menjadi abangnya. Tapi hari demi hari, semuanya jadi sukar tatkala Zafran lebih berani menunjukkan rasa hatinya.

“Kenapa diam saja? Duha masih marahkan abang?” Pertanyaan Zafran membuatkan lamunan Duha Maisara terputus. Dia memandang lelaki itu. Zafran kelihatan serius.

“Duha tak pernah marahkan abang.” Ujar Duha Maisara.

“Bohong! Kalau Duha tak marah, kenapa tinggalkan apartment tu, kenapa tinggalkan abang? Merata tempat abang cari Duha. Duha ke mana selama ini?” Tanya Zafran.

Duha Maisara terdiam. Haruskah dia memberikan sebabnya? Tapi dengan menyatakan kebenaran, hanya akan membuatkan Zafran terus kecewa. Kecewa dengan sikap ayah yang tak bertanggungjawab. Dia tidak sanggup membiarkan Zafran tahu bahawa ayah mereka Bustaman bertanggungjawab menyebabkan dia terpaksa menghindarkan diri. Sembunyi dalam diam-diam.

“Kenapa Duha tak jawab? Kenapa Duha layan abang macam ni?”

“Duha tak ke mana-mana. Duha menumpang rumah kawan selama ini.” Jawab Duha Maisara perlahan.

“Tumpang rumah kawan? Di mana?” Tanya Zafran lagi ingin tahu. Setahunya Duha Maisara tidak ramai kawan. Dan semua kawan-kawan Duha Maisara dia kenal. Dia ingin tahu kawan manakah yang dimaksudkan oleh gadis itu.

“Abang tak kenal dia,” jawab Duha Maisara ringkas.

Zafran mengeluh. Sikap Duha Maisara jelas berahsia dengannya. Dia tahu tiada guna dia terus mendesak, jika Duha Maisara bagaikan tidak sudi bercerita dengannya tentang apa yang telah berlaku.

Tiba-tiba Zafran teringatkan sesuatu. Wajah Duha Maisara yang muram dipandang lama. Dia teringin tahu hubungan Duha Maisara dengan pesakit jiwa di Al-Raudah itu.

“Boleh abang tanya Duha sesuatu?” Soal Zafran lembut. Duha Maisara mengangkat wajahnya memandang lelaki itu.

“Doktor Habibah kata, Duha selalu melawat pesakit tadi. Apa sebenarnya hubungan Duha dengan dia? Duha kenal dia?”

Duha Maisara tersentak. Dia benar-benar terkejut dengan pertanyaan Zafran. Namun untuk memberitahu Zafran cerita sebenar, dia tidak sanggup. Benar-benar tidak sanggup. Bukan sahaja dia bimbangkan reaksi Zafran tapi juga risau jika lelaki itu tidak boleh menerimanya. Entah apa tindakan Zafran jika tahu Duha Maisara di hadapannya selama ini adalah Raihana Munif. Malah dia bukan hilang ingatan seperti yang disangka oleh lelaki itu sejak berbelas tahun yang lalu.

“Duha jumpa dia sejak Duha buat kerja sukarela tempoh hari. Duha kasihan dengan dia, sebab tu Duha melawat dia.” Ujar Duha Maisara.

Zafran terdiam. Entah kenapa sekali lagi dia dapat merasakan Duha Maisara berbohong dengannya. Jika sekadar kasihan, masakan sampai dua kali seminggu Duha Maisara ke Al-Raudah. Entah kenapa, hatinya kuat menyatakan ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh gadis itu. Pasti Duha Maisara kenal dengan wanita itu, bisik hati kecil Zafran.

...bersambung

Bab akan datang:

Mengapa Duha mahu merahsiakan siapa ibunya kepada Zafran?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience