Rate

Chapter 171

Romance Completed 26118

Bab 171

Apa patut dia ungkapkan untuk mendefinisikan perasaan hatinya pada lelaki itu. Tapi dia tidak mahu terus menjadi bahan umpat keji Engku Latifah dan pekerja-pekerja Mega Timur.

“Pakcik rasa Hana patut terus bekerja di Mega Timur. Jangan lepaskan hak Hana di sana.” Kata Asri tiba-tiba.

“Hak? Maksud pakcik?” Duha Maisara mengerutkan dahinya. Dia hairan dengan kata-kata lelaki itu.

Asri menarik nafas berulangkali. Dia tahu lambat laun gadis itu akan tahu juga maksudnya. Hanya satu yang dibimbangkannya. Apakah gadis itu akan dapat menerima perkara yang ingin disampaikannya nanti?

******

Satu pejabat terkejut apabila melihat kelibat Duha Maisara melangkah masuk ke ruang pentadbiran. Gadis itu terus menuju ke arah mejanya yang kosong selama beberapa hari. Anis yang terpandangkan gadis itu, terkocoh-kocoh mendapatkan Duha Maisara.

“Duha, awak datang juga akhirnya.” Sapa Anis.

Duha Maisara memandang gadis itu sambil tersenyum. “Kenapa? Anis rindukan saya?” Usik Duha Maisara. Anis terdiam. Lama matanya terpaku ke arah Duha Maisara yang nampak selamba.

“Duha, saya nak minta maaf.” Ucap gadis itu.

Duha Maisara tergaman. Minta maaf? Untuk apa?

“Saya tak sepatutnya tinggalkan Duha sendirian petang tu. Kalau saya ada, mungkin kejadian tempohari takkan berlaku.”

Duha Maisara terdiam.

“Semua orang tahu apa yang Tuan Engku cuba buat pada Duha. Kami semua simpati. Memang dah ramai pekerja perempuan di sini yang diganggu Tuan Engku tu. Dia tu buaya besar di sini.” Ujar Anis.

“Tak apalah Anis, lagipun saya tak apa-apa.” Balas Duha Maisara.

“Saya sangkakan, Duha dah serik nak bekerja di sini. Saya sendiri susah hati kalau Duha tak ada.”

“Kenapa pula?”

“Yalah, hari-hari diganggu Encik Nashriq. Dia tak sudah-sudah bertanyakan perihal Duha sampai saya naik pening. Anis, Duha ada call? Anis, Duha ada pesan apa-apa kat awak?” Anis mengajuk cakap Nashriq sambil tertawa.

Duha Maisara hanya tersenyum. Namun senyumannya sengaja dibuat-buat. Sebenarnya dia masih tidak pasti dengan apa yang dilakukannya kini. Malah dia tidak berani menjangka reaksi Engku Latifah yang pastinya akan meradang besar dengan kedatangannya ke pejabat hari itu.

Jika diikutkan hatinya, dia memang tidak mahu lagi menjejakkan kakinya ke situ. Dia tidak mahu melihat lagi wajah Engku Iskandar yang tersenyum sinis memandangnya atau Engku Latifah yang memandang hina padanya. Dia sudah serik. Tapi ada sesuatu yang mendorong dia datang semula ke Mega Timur pagi itu. Lagipun kata-kata Nashriq ada benarnya. Dia masih pekerja Mega Timur jika dia belum menyerahkan surat letak jawatan.

“Takkan Hana nak biarkan pembunuh Zainal Ikram dan orang yang menganiayai keluarga Hana lepas begitu sahaja?” Kata-kata Asri malam semalam membuatkan dia tidak lena tidur. Sepanjang malam dia dihantui kata-kata itu. Suatu kenyataan yang memeritkan.

“Hana tahu ayah kena perangkap, tapi siapa yang buat macam tu pada kami? Siapa yang sanggup bunuh baba dan aniayai ayah?”

“Pakcik ada syak seseorang, tapi pakcik tak mempunyai cukup bukti.”

“Siapa yang pakcik maksudkan?”

“Engku Iskandar.” Tenang suara Asri mengalun kata. Duha Maisara terpempan. Kata-kata Asri membuatkan dia terkenangkan peristiwa dia diculik lelaki itu beberapa tahun yang lalu. Betulkah lelaki itu dalang semua bencana yang menimpa keluarga mereka?

“Pakcik syak Engku Iskandar berpakat dengan seseorang untuk bunuh Zainal dan sengaja meletakkan kesalahan tu pada ayah Hana.”

“Tapi kenapa? Kenapa dia nak buat macam tu? Apa salah ayah dan baba pada dia?” Dia benar-benar ingin tahu.

“Buat masa ini pakcik tak pasti apa motif Engku Iskandar. Tapi yang pakcik tahu dia memang bencikan Zainal sejak dulu, bila Zainal ugut nak berhentikan dia dari Mega Timur kerana pecah amanah.”

“Jadi pak cik nak Hana buat apa?”

Lelaki itu merenungnya tidak berkelip. Dari bibir lelaki itu terdengar satu keluhan berat. Duha Maisara masih menanti jawapan lelaki itu.

“Pakcik nak Hana ke Mega Timur dan perhatikan Engku Iskandar dan Engku Latifah. Tengok mereka jumpa dengan siapa atau berurusan dengan siapa. Lepas tu Hana beritahu pakcik. Yang selebihnya biar pakcik yang uruskan.” Ujar Asri.

“Pak cik syak Puan Engku terlibat?”

“Entahlah Hana, buat masa ini kita tak boleh percayakan sesiapa kecuali diri kita sendiri. Lambat-laun kebenaran akan terbongkar juga. Siapa yang bersalah akan menerima balasan yang setimpal di atas perbuatan mereka.” Balas Asri.

Duha Maisara memejamkan matanya. Entah kenapa dadanya berdebar kencang. Dia takut bila memikirkan kemungkinan yang dia akan berhadapan dengan lelaki yang menghancurkan kebahagiaan keluarganya.

Dari jauh mata Nashriq sudah dapat menangkap kelibat Duha Maisara yang sedang berjalan di beranda pejabat sambil memegang cawan kopi.

...bersambung

Bab akan datang:

Apa yang berlaku seterusnya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience