Rate

Chapter 39

Romance Completed 26118

BAB 39

“Saya penyanyi encik dan bukannya pelayan di sini.” Kata-kata gadis itu tergiang-giang di telinganya. Nashriq tersenyum. Bodohnya dia kerana sedikit sebanyak, dia terpedaya juga dengan tutur kata lembut itu. Sedangkan sepatutnya dia tahu, gadis seperti itu selalunya pandai menjerat mangsa. Mujur aku tidak jauh terperangkap, bisik hati kecilnya.

Hampir sejam menanti di luar, Nashriq mulai bosan. Kenapa dia tidak keluar-keluar lagi? Perlukah aku masuk dan mencari gadis itu? Nashriq mengeluh panjang. Dia keluar dari keretanya lalu melangkah ke arah sebuah kedai buku yang boleh tahan besarnya.

Seorang wanita sedang asyik membaca di kaunter ketika dia menjengah masuk. Kedai itu kelihatan tidak ramai pengunjung waktu-waktu begitu. Mata Nashriq leka memerhatikan di setiap penjuru kedai, namun wajah yang dicari tak kunjung tiba. Dia mula hairan. Mustahil dia boleh hilang begitu saja. Rasanya matanya masih belum rabun jauh. Dia yakin dan pasti, gadis itu memang masuk ke kedai buku itu.

“Encik nak cari buku apa?” Tegur wanita yang berada di kaunter. Hairan kerana melihat dia tercegat serba tidak kena.

Nashriq segera menghampiri wanita itu. “Kak, tumpang tanya. Kakak ada nampak tak seorang perempuan, badannya kecil-kecil saja masuk ke sini tadi. Kalau tak salah, dah hampir sejam dia masuk ke mari.” Soal Nashriq.

Wanita itu tergaman. Entah kenapa pertanyaan Nashriq dirasakan agak pelik. Dia memandang lelaki itu agak lama.

“Tak perasan pula saya. Cuba encik cari di tingkat atas, mungkin ada kot.” Ujar wanita itu. Nashriq tercengang. Tingkat atas? Pantas kepalanya didongakkan memandang ke arah anak tangga yang dia sendiri tidak sedar wujud.

Perlahan-lahan kakinya diatur melangkah naik. Kagum juga dia dengan pemilik kedai buku itu yang pandai menyusun atur ruang kedai itu yang nampak luas.

Sebaik kaki Nashriq sampai ke tingkat atas, dia masih mencari-cari kelibat gadis itu. Tak ramai pengunjung di tingkat itu, hanya beberapa orang sahaja. Dia segera melewati setiap penjuru rak. Matanya tajam mengawasi setiap wajah yang dilewatinya. Sampai di rak ke tiga, Nashriq menghentikan langkah.

Seorang gadis duduk berlunjur kaki sambil membaca sebuah buku. Matanya ralit membaca sehingga tidak sedar perlakuannya diintai sepasang mata. Nashriq tidak berniat mahu menyapa. Lama matanya menatap ke arah gadis itu.

Gadis itu tiba-tiba menguap. Rambut yang terjuntai di dahinya disisir dengan satu anak jari. Nashriq terpegun sejenak. Entah kenapa perlakuan gadis itu membuatkan dadanya berdebar-debar. Dia keliru sekaligus bingung. Kenapa aku seringkali merasakan sesuatu yang aneh setiap kali memandangnya? Wajah gadis itu mengingatkan dia pada seseorang. Malah gerak gerinya juga sama. Dulu Raihana juga begitu setiap kali membaca. Sudah lekat tabiatnya akan mengusik rambut yang terjatuh di dahi dengan anak jari telunjuk. Tak mungkin dia….ah kenapa dia berfikir yang bukan-bukan. Sudah dua kali dia menduga begitu. Tak mungkin gadis itu Raihana.

“Duha!” Jeritan seorang wanita singgah di telinganya. Nashriq menoleh. Wanita yang berada di kaunter tadi terkedek-kedek mendapatkan gadis itu. Gadis itu tergelak kecil.

“Kenapa kak Syafa tak panggil Duha turun? Berat tak kotak tu?”

Wanita itu tertawa. “Berat apanya. Duha tak nampak badan kak Syafa ni berapa kilo. Setakat kotak macam ni, sepuluh pun kakak boleh angkat.”

Gadis itu tertawa, menampakkan lesung pipit yang terukir indah. Sekali lagi hati Nashriq terusik. Namun dia masih leka memerhatikan keduanya.

“Duha dah habis kemas buku-buku yang kakak bagi kelmarin? Hari ni sampai lagi sekotak. Kalau tak muat kat sini, Duha susun dekat rak yang satu lagi ok.” Suruh wanita itu.

“Ini semua buku-buku baru ya kak? Tadi Duha baru baca separuh novel Sidney Sheldon. Novel baru dia best! Kakak patut cuba.”

“Nantilah Duha. Kakak tak ada masa nak membaca. Kalau kakak dah mula membaca, baby kat rumah tu tak terjaga pulak nanti.” Syafa tertawa. Duha Maisara turut tergelak. Lucu dengan alasan yang diberi Syafa.

“Duha minta maaf sebab dah beberapa hari tak datang kerja. Kasihan kakak kena uruskan kedai ni seorang diri.” Keluh Duha Maisara.

“Kakak tak kisah. Lagipun si Ezad dengan Rina boleh bantu kakak. Apa yang kakak mahu, Duha selesaikanlah masalah Duha tu dulu. Jangan bawa masalah tu masuk dalam kedai buku ni. Dekat dalam ni, yang Duha perlu buat adalah bergembira setiap masa dengan semua buku-buku yang ada di kedai ni.” Ujar Syafa.

Duha Maisara tersenyum. Dia benar-benar terharu dengan kata-kata Syafa. Majikannya itu memang terlalu baik buatnya. Dia beruntung memiliki Syafa bukan sahaja sebagai bosnya, malah juga sebagai teman. Sebaik Syafa beredar, Duha Maisara meneruskan kerjanya. Novel Sidney Sheldon ditolak ketepi buat sementara. Dia hanya akan membaca setelah kerjanya selesai. Tanpa Duha Maisara sedar, sepasang mata begitu asyik mengintip gerak gerinya sedari tadi.

...bersambung

Bab akan datang:

Siapakah yang mengintip kelibat Duha dan apakah tujuannya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience