Rate

Chapter 185

Romance Completed 26118

Bab 185

“Mak nak aiskrim lagi,” pinta Maisara sambil mencebikkan bibirnya. Duha Maisara menoleh.

“Mak kan dah banyak makan aiskrim tu. Nanti perut mak sakit. Kita balik rumah ya, nanti Hana masakkan lauk istimewa untuk mak.”

“Tapi mak nak aiskrim tu.” Rengek Maisara seakan mahu menangis. Dua tiga pelanggan yang berada di meja berhampiran sudah menoleh ke arah mereka. Duha Maisara serba salah. Tapi melihat kerut di wajah wanita itu, dia terpaksa beralah.

“Kalau macam tu, mak tunggu sini. Hana nak ke kaunter tu pesankan aiskrim lagi. Tunggu sini tau jangan ke mana-mana,” pesan Duha Maisara. Wanita itu hanya mengangguk dengan senyuman ceria. Gembira mendengar kata-kata gadis itu.

Ketika Duha Maisara beredar ke kaunter, getaran pada telefon bimbitnya terdengar lagi. Mata Maisara cepat merayap ke arah telefon bimbit yang ditinggalkan Duha Maisara di atas meja. Melihat bunyi aneh yang keluar dari alat sederhana besar itu, dia jadi tertarik. Dia pernah melihat Duha Maisara bercakap menggunakannya. Maka dia juga ingin mencubanya. Tangannya pantas menekan punat-punat di hadapannya sesuka hati. Apabila mendengar suara yang keluar dari alat itu, Maisara tersenyum senang.

******

Nashriq memutuskan panggilan. Dahinya berkerut. Seaat tadi dia sangkakan Duha Maisara sudah mengangkat panggilannya. Tapi yang didengarnya dari corong telefon bukan suara gadis itu tapi suara riuh rendah entah dari mana. Entah kemana gadis itu pergi sehingga belum pulang sehingga sekarang. Tadi dia sempat menelefon bos syarikat Tat Heng. Tapi menurut lelaki itu, Duha Maisara sudah beredar pulang.

Sepatutnya dia sudah kembali ke pejabat pada waktu begini, detik hati kecil Nashriq. Atau mungkinkah Duha Maisara sengaja mahu mengelak darinya kerana marah? Jika difikirkan memang sikapnya agak melampau tadi. Tapi tidakkah gadis itu tahu bahawa hatinya turut bimbang kerana panggilannya tidak langsung berjawab? Duha! Sampai bila kita akan terus begini? Selangkah dia cuba menghampiri gadis itu, dua langkah Duha Maisara berundur darinya.

“Menyayangi seseorang tu tak mudah Naz. Jika benar kau serius dengannya, kau kena hadapi banyak rintangan selepas ini. Tapi pastikan kau bersedia untuk melindungi dia buat selama-lamanya.” Kata-kata Erman sejurus sebelum lelaki itu beredar tengahari tadi kembali mengamit ke dalam fikirannya. Dia terkedu. Rintangan apakah yang dimaksudkan oleh Erman? Jika kerana ibunya membantah, dia langsung tidak risau. Selama ini wanita itu tidak pernah mempunyai pengaruh besar dalam hidupnya.

Kalau kerana bimbangkan latarbelakang Duha Maisara, dia juga sebenarnya tidak kisah. Baginya setiap manusia mempunyai sejarah tersembunyi. Cukuplah dia mengenali Duha Maisara sebagai seorang gadis yang sedikit demi sedikit mula singgah mengisi ruang hatinya.

Betulkah kau tak kisahkan latarbelakang Duha Maisara? Tidakkah kau mahu tahu siapa dia sebenarnya? Jika dia bukan anak kepada Bustaman, seorang penipu dan penjudi serta adik kepada Doktor Zafran, jadi siapa dia? Suara halus kecil itu bergema di telinganya bertalu-talu. Dia termenung panjang.

“Jangan jadi bodoh Naz, kalau dia bukan adik kepada lelaki itu, jadi apa dia buat bersama lelaki itu dalam satu rumah? Kau masih belum cukup kenal siapa dia.” Pujukan ibunya hanya terbiar sepi bagai angin lalu. Dia hanya membatu seperti patung. Sekilas rasa ingin tahu muncul, tapi kepercayaannya pada gadis itu tidak pernah goyah. Dia percaya Duha Maisara bukan gadis begitu. Pasti ada penjelasan tentang hubungan Duha Maisara dengan lelaki itu. Pasti ada!

******

Engku Latifah memandang bangunan apartment di hadapannya agak lama. Kawasan itu agak strategik dijadikan penempatan. Dia memandang persekitaran kawasan apartment itu yang dilengkap dengan taman permainan serta gelanggang badminton. Sejurus dia menarik nafas panjang. Dia menoleh ke arah pemandunya.

“Betul ini tempatnya Daud?”

“Betul Puan Engku. Kalau berdasarkan alamat ini, memang di sinilah tempatnya.” Ujar Daud menyakinkan wanita itu.

Engku Latifah turun dari kereta. Daud terpinga-pinga. “Puan Engku nak ke mana? Bukankah Puan Engku tak berapa sihat?” Larang Daud agak bimbang. Engku Latifah menoleh ke arah lelaki itu.

“Daud, awak tunggu saya di sini sampai saya keluar.” Arahnya.

“Tapi Puan Engku nak ke mana? Biar saya hantarkan?”

“Tak payah, saya boleh pergi sendiri.” Ujarnya seraya melangkah menuju ke arah bangunan itu. Daud hanya mampu memandang kelibat wanita itu menghilang di sebalik blok bangunan 15 tingkat itu.

Matanya melirik ke arah kertas kecil di tangannya. Dia membaca tulisan yang tertera sepintas lalu. Tingkat 5 rumah bernombor 2. Dia memandang ke arah beberapa buah pintu di hadapannya. Akhirnya dia menemui pintu yang dicarinya. Lama dia tercegat di situ tidak berganjak. Loceng pintu di sebelah kanan hanya mampu dipandang.

...bersambung

Bab akan datang:

Kemana Engku Latifah mahu pergi? Siapa yang dicari?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience