Rate

Chapter 1

Romance Completed 26118

BAB 1

PROLOG

Dia memandang sekujur tubuh yang terbaring lemah di katil itu. Wajah wanita itu pucat lesi. Senyuman yang dulu tidak pernah lekang dari bibirnya, kini lenyap sudah. Dia tahu wanita itu menerima tamparan hebat dalam hidupnya. Siapa sahaja akan terkejut jika segala-gala yang diimpikan dalam hidup, berubah dalam sekelip mata.

“Mak, sedarlah mak. Jangan tinggalkan Hana. Hana tak boleh hidup tanpa mak.” Bisiknya pilu. Namun mata wanita itu masih terkatup rapat. Dia menekup wajahnya di lengan ibunya. Airmata yang cuba ditahan, menitis jua di pipi gebunya. Saat itu dia merasakan dirinya bagai di hujung tanduk. Terpaksa pasrah tanpa rela.

Pintu di hadapannya tiba-tiba terbuka. Dia tergaman. Bulat matanya memandang dua lelaki bersama seorang wanita berketurunan Cina, tercegat di hadapan pintu bilik. Terkejut dengan kehadiran ketiga-tiga wajah yang tak dikenali itu, dia bingkas bangun dari kerusi yang didudukinya.

“Pakcik ni siapa?” Soalnya agak ragu-ragu. Dia belum pernah melihat mereka sebelum ini.

Salah seorang lelaki bercermin mata itu tersenyum memandangnya. “Adik ni Raihana Munif?” Soalnya.

Raihana mengangguk. Namun terbit jua rasa hairan kerana lelaki itu mengenalinya, sedangkan dia tidak pernah melihat lelaki itu sebelum ini.

Lelaki itu tersenyum. Apabila mata lelaki itu beralih ke arah teman-temannya, Raihana melihat lelaki itu seperti menunjukkan isyarat mata. Sepantas kilat, lengannya tiba-tiba dipaut agak kasar. Dia terkejut.

“Pakcik, kenapa ni?”

“Jangan melawan, kalau tak mahu nyawa mak kamu melayang,” getus lelaki bercermin mata itu, menyeringai. Dia cuba meronta-ronta, namun usahanya tidak sepadan dengan tenaga lelaki yang memegangnya.

“Mak, tolong Hana mak. Mereka nak tangkap Hana.” Jeritnya separuh ketakutan. Dia mengeraskan badannya apabila tubuhnya ditolak kasar keluar dari bilik tersebut. Matanya sempat memandang ibunya yang langsung tidak menunjukkan reaksi.

“Mak….” Jeritan Raihana semakin sayup dari luar bilik. Wanita Cina itu tidak berganjak dari bilik itu. Matanya memerhatikan tubuh wanita yang terbaring kaku di hadapan matanya.

Dia membuka tas tangannya. Dari dalam beg, dia mengeluarkan sebuah picagari dan sebotol cecair. Picagari itu lalu disuntik ke dalam botol ubat. Sejurus kemudian pandangannya dialihkan ke arah wanita itu. Tanpa belas kasihan, dia menyuntik cecair dalam picagari ke dalam tiub intravena yang disalurkan ke lengan wanita yang masih terlena itu.

Melihat cecair itu sedikit demi sedikit mengalir melalui tiub itu, wanita Cina itu merenung kosong pada wajah tenang yang sedikit berkerut. Meskipun hatinya simpati, namun apakan dayanya. Dia terpaksa melakukannya. Jika tidak hari ini, mungkin esok lusa kau dan anak kau akan tetap menemui nasib malang ini. Mungkin lebih baik jika aku mempercepatkannya untuk kau! Bisik wanita Cina itu sebelum beredar pergi dari situ.

******

Matanya merenung kosong pada wajah riang kanak-kanak perempuan yang sedang bermain di riba ibunya. Apabila diagah, kanak-kanak kecil itu tertawa polos. Sang ibu turut sama tersenyum. Keletah anak kecil itu menarik minatnya untuk terus memandang. Entah kenapa, tiba-tiba sahaja dia teringatkan seseorang.

“Kalau boleh, Hana mahu terus hidup bersama abang sampai bila-bila pun.”

“Dengan abang saja?” Dia merenung nakal.

Gadis itu tertawa. Sepasang mata yang bening itu menatap ke arahnya yang sedang tersenyum. Sejurus gadis itu tunduk malu. Dia hanya tertawa nakal.

“Bukan dengan abang saja. Hana nak kita semua bersama. Hana, abang, mak, ayah, baba.” Gadis itu mencanang satu persatu.

“Baba?” Dia tergaman.

“Hmm baba.” Gadis itu mengangguk selamba.

“Kenapa Hana selalu panggil ayah abang baba? Tak rasa pelik ke?”

“Apa nak dipelikkan, ayah abang yang suruh Hana panggil dia baba. Baba sayangkan Hana. Hana pun sayangkan baba, sama macam Hana sayangkan ayah.” Bisik gadis itu riang. Dan dia hanya tersenyum mendengar bicara gadis itu yang keletah. Entah kenapa dia turut senang mendengar kata-kata itu.

“Naz?” Panggil suatu suara. Dia tersentak. Sepantas kilat lamunannya hilang entah ke mana. Serentak tangannya pantas memegang kalung kecil bertatah ‘sapphire’ di lehernya, sesuatu yang kini menjadi tabiatnya sejak dulu. Nashriq memandang ke arah tuan empunya suara. Dahinya berkerut. Erman tersenyum memandangnya.

“Kenapa?”

“Kita dah sampai.” Bisik Erman di cuping telinganya. Dia tergaman. Serentak matanya mengintai dari celah jendela kapal terbang yang hampir mendarat. Entah mengapa perasaannya tiba-tiba bergolak. Dia menarik nafas panjang. Dua belas tahun. Dua belas tahun lamanya tempat itu ditinggalkannya. Apakah segala-galanya masih sama seperti dulu?

“Abang jangan pergi, jangan tinggalkan Hana.” Rayu Raihana berkali-kali. Dia hanya mampu memandang gadis itu. Hatinya kelu melihat pipi licin yang kebasahan dan riak muram yang terukir di wajah gadis kecil itu. Tiada sebarang janji terbit dari bibirnya. Entah kenapa dia takut mahu berjanji, bimbang harapan gadis itu menggunung tinggi terhadapnya. Sedangkan perasaannya masih samar-samar.

…bersambung

Bab akan datang:
Apakah Naz masih menyimpan rasa sayang pada Hana?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience