Rate

Chapter 13

Romance Completed 26118

BAB 13

Jam sudah menunjukkan pukul 10.00 pagi. Bermakna hampir sejam ahli-ahli lembaga pengarah menunggu di situ. Beberapa lelaki yang sedang duduk di hadapannya secara terang-terangan menunjukkan wajah kurang senang.

Engku Latifah sendiri sudah bosan menunggu. Oleh itu dia faham perasaan lelaki-lelaki di hadapannya. Pasti mereka naik marah kerana masa yang berharga, dibazirkan begitu sahaja demi menunggu seseorang.

Engku Latifah memandang Engku Iskandar di sisinya. “Abang Is, mana Nashriq ni? Kalau sepuluh minit lagi dia tak datang, saya akan batalkan mesyuarat ni.” Ujar Engku Latifah.

“Sabarlah Tif, mungkin sekejap lagi dia sampai.” Pujuk Engku Iskandar. Padahal dia sendiri berharap agar lelaki itu tak muncul-muncul. Namun melihat suasana ‘meeting board’ yang nampak panas, hatinya jadi senang tiba-tiba. Bodohnya budak Nashriq ni. Senang-senang saja dia lepaskan kepercayaan ahli lembaga pengarah terhadapnya. Selepas ini, mana mungkin dia boleh mendapat sokongan dari mereka lagi. Dan bila peluang ini datang, aku akan singkirkan dia, detik hati kecil Engku Iskandar.

Melihat masa sudah berlalu sepuluh minit lagi, Engku Latifah sudah tidak berdaya menangguh mesyuarat itu lagi. Dia baru hendak membuka mulutnya untuk membatalkan mesyuarat hari itu, tatkala pintu di hadapannya terkuak luas. Nashriq tiba-tiba muncul bersama Erman di sisinya. Bibir Engku Latifah serta merta melemparkan senyuman. Dia gembira bercampur lega kerana anak muda itu muncul juga akhirnya.

“Tuan-tuan semua, saya perkenalkan ini anak saya Nashriq Adli yang baru pulang dari US. Dia akan menerajui syarikat ini selaku pengarah operasi.” Wanita itu mengumumkan perlantikan itu. Namun kebanyakan ahli lembaga pengarah hanya mendiamkan diri. Engku Iskandar seperti ingin ketawa.

Nashriq tercegat di hadapan ahli-ahli lembaga pengarah dengan wajah serius. Dia tahu lelaki-lelaki kenalan lama ayahnya itu, seakan mahu memboikotnya. Dia menoleh ke arah ibunya yang nampak resah. Seketika kemudian, matanya kembali menjunam ke setiap wajah yang ada di hadapan matanya.

“Tuan-tuan semua, saya mohon maaf di atas keterlewatan saya. Keterlewatan saya bukan disengajakan. Ini kerana saya telah menyediakan beberapa dokumen untuk tuan-tuan semua. Tapi sebelum itu saya ingin meminta persetujuan ahli-ahli lembaga pengarah agar perlantikan saya sebagai Pengarah Operasi dibatalkan.” Ujar Nashriq membuatkan seisi ahli mesyuarat tergaman. Engku Latifah terperanjat besar, manakala Engku Iskandar pula mengerutkan dahinya. Hairan.

“Jika anda semua bersetuju, saya ingin agar jawatan Pengurus Besar yang dipangku oleh pakcik saya Engku Iskandar selepas kematian Syed Tahir, diserahkan kepada saya untuk ditadbir.” Sambung Nashriq lagi.

“Apa Naz buat ni? Naz tak boleh buat begini…” Engku Latifah berbisik di telinga anak muda itu. Namun Nashriq seakan tidak mempedulikan ibunya.

“Saya seratus peratus yakin yang saya boleh membawa Mega Timur Construction ke mercu kejayaan dengan penghasilan unjuran profit dari 21.5 peratus pada tahun lepas kepada lebih 50 peratus pada masa hadapan. Oleh itu saya sudah menyediakan beberapa usul baru untuk tuan-tuan semua. Pembantu saya Encik Erman akan mengedarkan kepada tuan-tuan usul saya yang pertama sebagai Pengurus Besar Mega Timur Construction.” Ucap Nashriq sambil memandang ke arah Erman yang membawa berdozen fail-fail cadangan.

Beberapa ahli lembaga pengarah kelihatan terpegun. Masing-masing sibuk berbisik-bisik sesama sendiri. Melihat keyakinan pada wajah Nashriq, Engku Latifah terdiam. Entah mengapa dia yakin, usul Nashriq pasti senang menawan hati ahli-ahli lembaga pengarah yang kini tersepit.

Engku Iskandar mengetapkan bibirnya. Entah mengapa, dia jadi kurang senang dengan kata-kata Nashriq. Menjadi Pengurus Besar, bermakna Nashriq mendapat ‘full access’ kepada semua urusan jual beli yang berlaku dalam Mega Timur Construction. Sedangkan inilah yang paling ditakutinya. Selama ini, dia yang mengawal semua urusan jual beli, setelah kematian Syed Tahir yang sudah lama berkhidmat di Mega Timur Construction. Tapi setelah orang tua itu meninggal dua tahun yang lalu kerana barah perut, Mega Timur Construction sudah tidak mempunyai pengurus besar.

Lamunan Engku Iskandar terhenti apabila fail berwana biru itu diletakkan di hadapannya. Dia memandang fail tersebut sekilas lalu. Dahinya berkerut. Betulkah apa yang aku lihat ni?

“Seperti yang anda semua tahu, prestasi Mega Timur Construction sebagai sebuah syarikat pemaju pembinaan hartanah terbukti merosot dengan unjuran profit yang agak mengecewakan sepanjang tahun lalu. Oleh itu apa yang harus difokuskan pada tahun ini adalah bagaimana untuk mengatasi kemerosotan itu dan menstabilkan nilai profit. Maka usul saya yang pertama adalah supaya meminta semua elaun-elaun serta keistimewaan ahli-ahli lembaga pengarah dibekukan buat sementara waktu.”

Kata-kata Nashriq menimbulkan reaksi yang agak mengejutkan. Engku Latifah sendiri tergaman jadinya.

...bersambung

Bab akan datang:

Apakah cadangan Nashriq dipersetujui oleh Ahli Lembaga Pengarah?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience