Rate

Chapter 83

Romance Completed 26118

Bab 83

“Emm melepaslah aku nampaknya. Aku dengar mereka nak bertunang betul ke?”

“Mana kau dapat berita ni?”

“Kawan aku kerja satu jabatan dengan Katrina. Dia dengar Katrina pernah bercerita.”

“Entahlah, tak pernah pula aku dengar. Lagipun baru beberapa bulan Encik Nashriq pulang ke sini, takkan cepat sangat hubungan mereka bertaut.”

“Habis takkan kau tak tengok bukan main mesra mereka tadi?”

Duha Maisara terus kaku. Apakah lelaki yang dimaksudkan oleh kedua wanita itu baru keluar dari lift yang sama dengannya tadi? Kerana terlalu bersesak, dia tersepit di belakang sekali. Dia langsung tidak perasan akan kehadiran lelaki itu. Namun mendengar cerita wanita itu, hatinya terperosok pilu. Benarkah? Benarkah lelaki itu akan bertunang?

“Nak?” Jengah suatu suara membuatkan Duha Maisara tersentak. Lamunannya hilang entah ke mana. Dia memandang lelaki itu.

“Anak nak minum apa-apa? Kalau rasa tak sihat, lebih baik minum sikit biar rasa lega. Kalau anak sudi, pakcik ada minuman panas dalam termos.” Ujar lelaki itu seraya menghulur penutup termos berisi kopi panas. Duha Maisara terpegun.

Lambat-lambat tangannya mencapai penutup termos itu. Melihat keikhlasan lelaki tua itu, dia rasa terharu. Dia menghirup sedikit kopi panas itu. Bibirnya melemparkan senyuman.

“Kopi ni isteri pakcik yang buat. Hampir 25 tahun ini, pakcik tak pernah terlupa membawa termos kopi ni. Dah jadi kebiasaan.”

“Sedap kopi ni, pakcik beruntung.”

“Bila anak-anak dah besar, jauh pula dari mata. Kami yang tua ni terpaksa menjaga diri antara satu sama lain.” Ujar lelaki itu tenang.

Duha Maisara terdiam. Diam-diam dia melirik lelaki tua yang hampir beruban itu. Entah kenapa sikap lelaki itu mengingatkannya kepada ayahnya Munif. Lemah lembut dan penyayang. Entah mengapa dia jadi rindu pada arwah ayahnya. Sudah lama dia tidak menziarahi pusara lelaki itu. Dahulu dia berkesempatan untuk mengunjungi dan membersihkan pusara ayahnya tiap-tiap bulan. Tapi jika dicongak dari kali terakhir dia melawat pusara itu, hampir masuk dua bulan dia tidak ke sana.

“Nama pakcik Rahmat, anak boleh panggil Pak Mat saja.” Ujar lelaki itu tiba-tiba.

“Duha. Duha Maisara.” Giliran dia pula memperkenalkan diri.

“Hmm cantik nama Duha tu. Apa Duha buat di sini sebenarnya?” Soal Pak Mat ingin tahu. Hairan juga dia melihat gadis itu seperti hilang arah.

Duha Maisara tidak menjawab. Dia memandang jam di pergelangan tangannya. Sudah hampir petang. Dia teringat, dia harus pulang segera. Dia bangun segera, membuatkan Pak Mat terpinga-pinga.

“Maaf Pak Mat, Duha kena balik sekarang. Oh ya, terima kasih kerana kopi ni.” Ujar Duha Maisara. Lelaki itu hanya tersenyum. Namun belum sempat kakinya melangkah, dia terpandang sekumpulan eksekutif melangkah keluar dari pintu lift. Tapi apa yang membuatkan matanya tertarik ialah apabila melihat kelibat seorang lelaki yang amat dikenalinya sedang berbual-bual dengan salah seorang eksekutif di sampingnya. Mulut Duha Maisara melopong.

“Ha itupun Encik Nashriq dah keluar.” Bisik Pak Mat di tepi telinganya. Duha Maisara tersentak mendengar kata-kata orang tua itu. Tak mungkin!

“Dah besar panjang budak tu. Dulu masa kecil, arwah Tuan Zainal selalu bawa dia datang ke mari,” cerita Pak Mat lagi tanpa menyedari raut wajah Duha Maisara mulai berubah.

Duha Maisara terus terpaku. Dia bagaikan tidak percaya. Oh tuhan, apakah maknanya semua ini? Dia terus memandang ke arah lelaki itu tidak berkelip. Dari jauh seorang wanita separuh umur kelihatan menghampiri kumpulan lelaki itu. Kedua-keduanya berbual dengan wajah serius. Hati Duha Maisara terusik kencang. Wajah wanita itu tidak pernah berubah sejak dulu. Tetap garang dan kelihatan tegas.

“Aku nak kamu dua beranak tinggalkan rumah ini dan juga Vila Kecil. Jangan kamu berani lagi tunjukkan muka kamu di hadapan aku.”

Duha Maisara merasakan ada air jernih bertakung di kelopak matanya. Dia memalingkan wajahnya.

“Nak, kenapa ni?” Lelaki itu menegur. Hairan melihat wajah gadis itu seperti hendak menangis. Duha Maisara memandang Pak Mat.

“Err... Pak Mat, Duha balik dulu. Terima kasih ya.” Ujar Duha Maisara seraya bergegas melangkah. Dia gementar. Kakinya seolah lemah. Namun dia harus meninggalkan tempat itu segera. Dia tidak ingin wanita itu melihatnya di situ.

Kerana tergesa-gesa, langkahnya dihela tidak peduli di mana kakinya berpijak. Duha Maisara langsung tidak memandang ke kanan dan kirinya. Juga tidak nampak beberapa pekerja am sedang meluru ke arahnya sambil membawa masuk trolley berisi sebeban kertas. Dia tidak sempat mengelak apabila kakinya melanggar tayar trolley. Tubuhnya tersembam ke arah lantai. Beberapa kotak kertas itu terhempap ke tubuhnya. Dia tergaman.

“Cik tak apa-apa?” Salah seorang pekerja am itu bertanya, separuh bimbang.

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah Duha mengenali wanita itu? Apa yang membuatkan dia tergesa-gesa?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience