Rate

Chapter 5

Romance Completed 26118

BAB 5

“Kenapa Naz buat umi macam ni? Sampai bila Naz nak marahkan umi?”

“Saya tak marahkan umi.”

“Bohong. Kalau Naz tak marah, kenapa Naz seolah tidak sudi memandang wajah umi? Kenapa Naz tak mahu pulang ke rumah kita?”

Nashriq terdiam. Haruskah dia mencanang satu persatu perkara yang membuatkan hatinya terbelenggu selama ini? Selama ini bukan dia tidak rindu untuk menjenguk rumah itu. Setiap kenangan usia kecilnya ada di rumah itu. Kenangan terindah yang dianyamnya bersama Raihana dulu juga ada di situ. Malah dia rindu pada bisikan dan gelak ketawa Raihana yang keletah dan berpipi tembam.

“Bukan umi yang halau Raihana dan ibunya. Selepas Naz ke luar negara dan Munif meninggal dunia, mereka ghaib macam tu saja. Percayalah Naz, umi tak tahu mana mereka pergi.” Bersungguh-sungguh Engku Latifah mahu menyakinkan Nashriq. Namun anak muda itu tetap mendiamkan diri.

******

Nashriq mengusap potret usang yang sudah lama berada dalam simpanannya. Wajah seorang gadis manis sedang tersenyum, indah menghiasi dada potret di sampingnya yang menunjukkan wajah lucu. Anehnya, potret itu seolah berbicara di telinganya.

“Cantikkan gambar ni. Sekarang abang simpan gambar ni sekeping, Hana simpan sekeping. Hana nak buat frame, letak di bilik,” cadang gadis itu.

“Hmm tak mahulah simpan gambar ni. Gambar Hana ni buruk sangat, tak selera abang tengok.”

“Siapa buruk? Gambar Hana ke gambar abang?” Raihana sudah mula menunjukkan muncung sedepa. Dan dia hanya tertawa. Lucu kerana gadis itu cepat sahaja merajuk jika dia menyakat.

“Gambar Hanalah hodoh. Abang memang dah handsome, ramai peminat dekat sekolah tu.” Dia mencanang kelebihan diri sendiri. Raihana dilihatnya mencebikkan bibir.

“Kenapa, tak percaya?” Dia tersenyum.

Raihana tiba-tiba tertawa kecil. Melihat gadis itu tertawa, dia turut sama tergelak. Lucu dengan sikap masing-masing.

Nashriq mengeluh. Sukar untuknya memadamkan kenangan lama. Bagaikan baru semalam juga dia menerima kematian ayahnya. Malah tangisan gadis itu terdengar di telinga hampir setiap malam, sejak dua belas tahun dulu. Mana mungkin dia melupakan Raihana begitu sahaja. Mana mungkin dia menyimpan perasaan benci pada gadis itu.

“Ayah Hana bukan pembunuh. Abang kena percaya cakap Hana.”

Dia memandang gadis itu tidak berkelip. Mata Raihana yang bening melemparkan raut sedih. Bekas-bekas airmata masih tersisa di pipinya. Dia mengetapkan bibirnya. Terasa sakit sebagaimana hatinya saat itu.

“Hana balik rumah dulu.” Suruhnya.

“Tak mahu, Hana nak jumpa ayah. Hana nak ayah mengaku depan abang bukan dia yang bunuh baba.”

“Untuk apa? Kalau bukan ayah Hana yang buat, kenapa polis jumpa dia dengan tong minyak tanah tu. Kenapa dia cuba lari bila nampak polis datang?” Nada suaranya bertukar keras. Sesaat kemudian dia jadi kesal.

Raihana terdiam. Mata gadis itu merah memandang ke arahnya. Dia kaku. Perasaan serba salah muncul tatkala melihat wajah Raihana pucat lesi. Dia mendekati Raihana perlahan-lahan, lalu memegang bahu gadis itu. Bahu Raihana dibawa ke dalam pelukannya. Dia memeluk gadis itu kemas-kemas. Matanya dipejamkan, cuba menahan airmatanya yang hampir mahu tumpah.

“Abang pun tak percaya cakap Hana?” Pertanyaan itu singgah di telinganya. Dia membuka matanya perlahan-lahan. Bahu Raihana dilepaskan. Mata gadis itu basah ketika menatapnya.

“Hana sangkakan abang akan percaya pada Hana. Tapi rupa-rupanya Hana silap. Abang sama sahaja macam umi abang.”

“Hana, abang…”

Raihana mundur beberapa langkah. Wajahnya kelihatan bingung.

“Selama ini ayah sayangkan abang. Sampai hati abang tak percayakan dia.” Bisik anak gadis itu sayu.

“Damn it!” Tangannya pantas menolak barang-barang yang terusun di atas meja. Habis bersepah semua barang-barang itu tercampak ke lantai. Nashriq terduduk lemah. Wajahnya merah padam.

Mendengar bunyi bising dari dalam bilik Nashriq, Erman segera berkejar ke situ. Terperanjat besar lelaki itu melihat barang-barang yang bertaburan di lantai. Nashriq pula dilihat berteleku di suatu sudut dengan wajah muram. Erman mengeluh panjang.

Perlahan-lahan anak muda itu segera didekati. Dia memandang wajah itu berkali-kali. Selama dia hidup bersama Nashriq, dia faham benar perasaan Nashriq. Dia tahu gelora rindu yang menyelubungi diri Nashriq. Dia mengerti. Teramat mengerti sebenarnya.

“Abang tak suka kalau Naz terus-terusan bersikap begini. Sekarang Naz dah balik ke sini, tentu tak ada masalah untuk cari dia lagi.” Ucap Erman.

“Abang cakap senang, tapi kita pernah buat segala-galanya untuk cari dia beberapa tahun yang lalu. Kita upah PI, kita kesan namanya di setiap tempat, tapi mana dia? Dia seolah-olah tidak wujud lagi.”

Erman terdiam. Memang mereka berusaha keras mencari Raihana sejak beberapa tahun yang lalu. Namun semuanya menemui jalan buntu. Erman mengeluh kecil. “Kalau ada keinginan, maka di situ ada jalan. Kalau susah-susah sangat, kita iklankan saja di suratkhabar,” cadang Erman.

“Iklan di surat khabar?” Nashriq tercengang.

…bersambung

Bab akan datang:

Adakah Nashriq setuju dengan cadangan Erman dalam mencari Raihana?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience