Rate

Chapter 189

Romance Completed 26118

Bab 189

Namun mengenangkan tidak sopan membiarkan orang itu ternanti-nanti, dia segera melangkah malas menuju ke arah ruang tamu.

Seorang lelaki kelihatan membelakanginya mengadap sebuah lukisan yang terhias di sudut dinding. Lukisan itu diperhatikan begitu asyik. Engku Latifah mengerutkan dahinya. Gerak-geri lelaki itu diintai dengan sepasang matanya yang seakan curiga.

Mendengar bunyi derap langkah di belakangnya, lelaki itu berpaling. Matanya bertembung pandang dengan sepasang mata yang membulat merenung ke arahnya. Wajah Engku Latifah seakan terpukau memandangnya. Dia hanya tersenyum. Tenang.

“Apa khabar Tif?” Sapa Asri sambil mengadap ke arah wanita itu.

Engku Latifah terasa darahnya berderau naik ke muka. Dia benar-benar tidak percaya lelaki yang pernah disebut oleh Nashriq beberapa hari yang lalu, kini berada di hadapan matanya.

“Kenapa kau balik Asri?’ Soal Engku Latifah serius.

Asri terdiam. Dia duduk bersandar di kepala sofa sambil memandang ke segenap ruang tamu yang kelihatan mewah itu. Pertanyaan wanita itu dibiarkan singgah kosong di telinganya.

“Aku tanya kenapa kau balik lagi ke mari?” Engku Latifah meninggikan suara. Mata Asri beralih arah ke arahnya. Dia memandang wanita itu tidak berkelip.

“Kenapa? Salah aku balik lagi ke sini? Nashriq anak saudara aku, salahkah aku menjenguknya?” Soal lelaki itu selamba.

“Nashriq anak saudara kau? Sejak bila? Bukankah budak perempuan itu yang kau anggap anak saudara kau selama ini?’

“Yang kau marahkan aku sangat ni kenapa Tif?”

“Memang aku marah. Aku marah sebab bila aku dan Nashriq dalam keadaan terhimpit, kau tiada di samping kami. Bila sepatutnya kau uruskan rumah ni semasa Zainal meninggal, tapi kau habiskan masa kau di penjara melawat Munif. Kau upah peguam untuk dia sehingga aku mula ragu-ragu, apakah Zainal atau Munif tu adik kandung kau?” Herdik Engku Latifah.

Asri terdiam. Dia tahu wanita itu diserang emosi. Dia menarik nafas panjang sambil memandang wanita itu.

“Munif tak salah Tif.” Ucap Asri perlahan.

Mata Engku Latifah terbeliak. Wajah Asri dipandang seperti hendak ditelannya. Butir bicara lelaki itu membuatkan dia kian lemas.

“Jangan ulang lagi ayat yang sama yang kau ucapkan dulu Asri. Aku benci lelaki itu. Aku benci anak isterinya.” Bentak Engku Latifah

“Kau berhak membenci tapi jangan sampai hilang diri. Jangan sampai mata hati kau tertutup dengan kepalsuan yang sengaja diwujudkan untuk dipandang Latifah. Tapi tujuan aku datang ni bukan nak bertekak dengan kau fasal Munif.” Ujar lelaki itu.

“Jadi apa tujuan kau datang ke mari?” Mata Engku Latifah menjeling lelaki itu.

“Aku datang nak beritahu kau sesuatu tentang wasiat Zainal.”

Engku Latifah tergaman. Dia memandang Asri dengan wajah terkejut. Apa maksud lelaki itu?

“Wasiat Zainal yang dibaca di hadapan kau dua belas tahun dulu tidak sah sebenarnya. Surat wasiat Zainal yang sebetulnya ada di tangan aku sekarang. Aku dah minta sekumpulan peguam aku meneliti isi kandungan surat wasiat tu, dan mereka boleh buktikan pada kau yang surat wasiat yang dibacakan oleh CK Tan adalah palsu.”

“Jangan nak merepek Asri.”

“Aku tak merepek. Dua belas tahun dulu, CK Tan dan Molin Rahman telah bersekongkol atas arahan seseorang untuk memalsukan surat wasiat Zainal. Ada satu nama di dalam surat wasiat tu yang sengaja dipadamkan, sengaja dibuat untuk menyorokkan kewujudannya dalam Mega Timur. Dan orang yang mengarahkannya adalah abang kau, Engku Iskandar.” Ucap Asri tegas.

Engku Latifah tersentak. Wajahnya pucat lesi memandang Asri. Dia keliru bercampur bingung. Tuduhan Asri terasa benar-benar berat untuk diterima. Nama siapa lagi yang sepatutnya ada dalam surat wasiat itu?

******

Suraya menunggu dengan tenang gilirannya mengambil ubat dari farmasi hospital. Dia baru selesai bertemu dengan Doktor Halim. Sememangnya setiap sebulan sekali dia akan membuat temujanji dengan doktor itu, bagi memantau keadaannya. Sachary yang selalu rajin menemaninya membuat pemeriksaan, hari ini tiba-tiba tidak dapat menemaninya. Mahu tak mahu, dia terpaksa pergi sendirian.

Tapi kini perasaannya tidak sama seperti beberapa minggu yang lalu. Kini dia sudah boleh bernafas lega. Perkhabaran yang diterimanya dari mulut abangnya semalam benar-benar menggembirakannya. Selain itu dia rasa benar-benar bersyukur kerana ayahnya sudi menarik balik rancangannya untuk menjual saham-saham miliknya pada pihak A&K Corporation. Dia sudah boleh membayangkan raut wajah Engku Latifah dan Nashriq yang pasti akan gembira mendengar perkhabaran ini.

Selesai mengambil ubat di kaunter, Suraya merancang mahu mengunjungi Engku Latifah di rumahnya. Dia baru dimaklumkan oleh Erman tentang keadaan kesihatan wanita itu yang terjejas sejak akhir-akhir ini. Tapi sebaik melintas unit kardiologi, matanya terpandang kelibat Zafran yang sedang bercakap-cakap dengan temannya. Tergerak hati Suraya mahu menyapa lelaki itu.

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah Suraya akan menegur Zafran?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience