Rate

Chapter 130

Romance Completed 26118

Bab 130

Bagaimana dia tahu tentang aku? Nashriq juga dilihatnya mengerutkan dahinya. Seperti dia, Nashriq juga bagaikan tertanya-tanya.

Reyna tiba-tiba tertawa polos. Dia memandang wajah keduanya silih berganti. “Cik Duha yakin yang Cik Duha tak pernah nampak saya di Blue Ocean?” Tanya Reyna.

Mendengar nama Blue Ocean disebut, dada Duha Maisara semakin berdebar kencang. Dia semakin bimbang. Namun entah dari mana datangnya, tangan Nashriq sudah mengenggam erat jari-jemarinya.

“Saya rasa Cik Reyna dah tersilap orang.” Ujar Nashriq tiba-tiba.

Reyna hanya tersenyum, manakala Estella di sampingnya pula mengerutkan dahinya. Dia sendiri tidak faham dengan apa yang dimaksudkan oleh wanita itu.

“Maaf, saya tak bermaksud nak memalukan Cik Duha. Saya hanya nak ucapkan terima kasih atas kerjasama Cik Duha selama ini, itu saja.” Ujar wanita itu tenang.

“Kerjasama yang bagaimana?” Soal Nashriq agak kurang senang.

“Well, kerjasama kerana telah berkhidmat di Blue Ocean lebih kurang setahun bukan. Walaupun tempoh itu tak lama, tapi sebagai bos Blue Ocean, saya benar-benar menghargai sumbangan Cik Duha.” Ujar Reyna, benar-benar mengejutkan Duha Maisara dan Nashriq. Dia benar-benar tidak menyangka yang wanita di hadapannya itu adalah ketua di Blue Ocean. Agaknya itulah ‘Madam’ yang sering disebut-sebut oleh orang di Blue Ocean. Tapi sepanjang dia bekerja di situ, dia tidak pernah bertemu atau diperkenalkan dengan wanita itu. Namun menurut beberapa pelayan di situ, wanita itu ada kaitan dengan kongsi gelap. Itulah yang membuatkan Duha Maisara jadi bimbang, sekaligus takut.


******

Suraya termenung panjang sambil mengetuk-getuk keyboard di hadapannya dengan hujung pensil. Sesekali pensel itu dibawa ke bibirnya lalu digigit. Tanpa dia sedari, gerak-gerinya diintai sepasang mata yang tersenyum nakal.

Katrina menggelengkan kepalanya. Lucu dengan reaksi gadis itu. Entah apa yang dimenungkannya tu.

“Hoi, mangkuk ayun!” Jerit Katrina mengejutkan Suraya yang sedang leka. Terkebil-kebil mata Suraya memandang gadis di hadapannya. Katrina ketawa terkeheh-keheh meskipun dia perasan perubahan pada raut wajah Suraya.

“Janganlah marah, aku gurau saja. Tengok kau asyik sangat termenung, aku nak kacau daun pun takut ‘terdelete’ angan-angan kau tu. Dah sampai ke mana tadi?” Sindir Katrina seraya menarik kerusi lalu duduk di hadapan gadis itu.

“Dah sampai ke kutub utara, kalau bukan sebab kau, aku dah sampai kutub selatan pulak,” balas Suraya turut tersengih akhirnya.

“Hmm bunyi macam teruk tu. Itu aje ke angan-angan kau atau kau berangan nak jadi menantu Puan Engku tu?” Katrina tersenyum simpul.

“Issh jangan nak main-main, nanti dengar dek orang…habis reputasi aku.” Sampuk Suraya sambil mencebikkan bibirnya.

Katrina ketawa lagi. “Betul tak suka dengar atau pura-pura tak suka dengar?”

“Kau nak cakap apa sebenarnya ni?” Suraya tersengih. Dia tahu kata-kata Katrina membayangkan sesuatu. Apakah gadis itu sudah tahu tentang hasrat Engku Latifah mahu menjodohkan dia dengan Nashriq? Lagipun bukan mustahil jika gadis itu yang pertama tahu, apatah lagi dia orang yang terdekat dengan Engku Latifah.

“Actually aku dengar angin bertiup sepoi-sepoi bahasa di telinga aku ni.”

“Then, kau datang nak mengesahkan cerita la ni?”

“So is it true?” Katrina memandang gadis itu tidak berkelip.

Suraya tertawa kecil. Dibiarkan Katrina terus dilanda tanda tanya, sedang dia sengaja mahu mendera perasaan ingin tahu gadis itu.

“Bergantung.”

“Hei kawan, takkan dengan aku pun nak berahsia.” Katrina pura-pura merajuk.

“Itu hasrat Puan Engku. Dia yang beria-ria nak kami bersatu. Ayah aku pun setuju cuma…” kata-kata Suraya terhenti. Wajahnya serta-merta berubah mendung.

“Cuma apa?”

“Cuma aku tak pasti tentang penerimaan Nashriq sendiri. Apakah dia setuju dengan keputusan ibunya, atau dia seperti dulu juga.” Bisik Suraya. Dia teringat kali pertama Nashriq mendengar berita ini, lelaki itu marah benar. Itulah kali pertama dia melihat raut wajah lelaki itu bertukar garang. Kadang-kala sehingga dia sendiri naik takut mahu berhadapan dengan lelaki itu.

Mujurlah selepas dia jatuh sakit, sikap Nashriq terhadapnya mula berubah. Tidaklah mesra tapi sekurang-kurangnya, masih tahu menjaga hatinya. Tutur kata lelaki itu juga lebih sopan.

“Jangan bimbang, aku yakin Nashriq pasti akan menyukai kau.” Ujar Katrina sambil memeluk bahu anak gadis itu. Suraya hanya mengangguk. Dia cuba mengumpul kekuatan dan keyakinan dari kata-kata Katrina itu.

“Oh ya, kau kenal kan budak perempuan yang jadi pembantu Nashriq tu?” Tanya Katrina tiba-tiba. Suraya terpegun.

“Duha Maisara. Kenapa?”

“Aku tak tahulah apa yang tak kena dengan budak tu, sampaikan Puan Engku tu selalu bermasam muka jika aku sebut namanya. Hari tu dia nak cari Duha, tapi bila aku sampaikan yang Duha ikut Encik Nashriq meeting di Pulau Pinang, tiba-tiba sahaja orang tua tu melenting tak tentu fasal. Buat aku terkejut lagi ada.” Rungut Katrina tiba-tiba.

...bersambung

Bab akan datang:

Apakah nasib Duha di Mega Timur Construction?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience