Rate

Chapter 103

Romance Completed 26118

Bab 103

“Awak nak tahu kenapa? Memang saya marah. Saya marahkan awak Encik Nashriq Adli,” ujar Duha Maisara. Nashriq terdiam. Matanya masih tertumpu pada raut wajah Duha Maisara yang muram.

“Kenapa awak tak beritahu saya fasal ayah saya? Kenapa awak tak beritahu yang awak dah jumpa dia, awak bayarkan semua hutang-hutangnya, malah awak carikan kerja untuknya? Kenapa selama ini awak tak beritahu saya semua ni?” Soal Duha Maisara bertubi-tubi.

Nashriq tergamam. Dahinya berkerut memandang anak gadis itu. Rupa-rupanya dia marahkan aku hanya kerana perkara itu. Nashriq seperti mahu ketawa. Terkebil-kebil mata Duha Maisara melihat lelaki itu tergelak besar.

“Kenapa awak ketawa? Saya serius ni. Saya tak suka awak rahsiakan semua perkara dari saya, lebih-lebih lagi hal mengenai ayah saya. Awak patut beritahu saya semuanya sejak awal-awal lagi,” keluh Duha Maisara.

Nashriq tersenyum. Lama matanya menjunam ke wajah itu. “Cik Duha, kau bercakap seperti antara kita tak boleh ada rahsia. Percakapan seperti itu biasanya melibatkan dua pasangan kekasih. Apa kita ni pasangan kekasihkah?” Soal Nashriq.

Duha Maisara terpegun. Bulat matanya memandang Nashriq yang tertawa kecil. Tiba-tiba sahaja Duha Maisara merasakan mukanya berbahang. Wajahnya merah padam menahan malu.

“Atau kau memang dah jatuh cinta pada aku?” Duga Nashriq lagi, agak nakal. Dia sengaja mahu mempermainkan Duha Maisara kali ini.

“Jangan nak berguraulah Encik Nashriq, saya bercakap tentang benda yang benar. Saya akan jelaskan hutang ayah saya pada awak nanti.” Ujar Duha Maisara.

Lelaki itu terdiam. “Bagaimana awak nak bayar hutang sebanyak lima puluh ribu tu?”

“Saya akan fikirkan caranya.”

“Kalau awak tak boleh bayar?” Soal Nahsriq.

Giliran gadis itu pula terdiam. Mata Nashriq merenung ke arahnya.

“Beginilah, jangan fikirkan fasal hutang tu. Anggaplah saja ia pemberian ikhlas dari aku. Tapi kalau kau ingin membalas budi aku, maka aku akan terima. Kau boleh buat sesuatu untuk aku.” Ucap Nashriq membuatkan Duha Maisara tergaman. Pucat lesi mukanya mendengar kata-kata Nashriq. Dia mula berfikir yang bukan-bukan.

Melihat riak wajah anak gadis itu berubah, Nashriq tertawa kecil. Dia tahu apa yang ada di dalam kepala gadis itu. “Cik Duha Maisara, kau bukan menyangka yang aku ingin kau membalas budi aku dengan tubuh kau kan?”

Terkejut Duha Maisara mendengar kata-kata Nashriq. Mukanya sudah naik sebal. Kata-kata Nashriq membuatkan dia benar-benar malu. Lelaki itu selalu bersikap terus-terang dengannya.

“Aku cuma nak kau terus berkerja di Mega Timur. Jangan berhenti kecuali aku yang menghalau kau sendiri. Itu saja permintaan aku.” Sambung Nashriq dengan sisa-sisa tawa yang masih tinggal.

Tanpa disedari, gerak geri kedua-duanya diintip sepasang mata yang berdiri di sebalik pohon besar di tepi pagar. Zafran memandang lelaki di sisi Duha Maisara. Ketawa lelaki itu membuatkan dia diterpa rasa hairan. Siapakah lelaki yang berada di sisi gadis itu? Sejak bilakah Duha Maisara mengenali lelaki itu? Berbagai pertanyaan menerpa dalam fikirannya, namun satu pun tak terjawab.

Selama ini, dia belum pernah bertemu dengan lelaki itu. Namun dari gerak-geri lelaki itu, dia seolah-olah dapat merasakan yang dia kini mempunyai pesaing. Entah mengapa, perasaan Zafran diamuk resah tiba-tiba. Dia mula bimbang. Bimbang kehilangan Duha Maisara di tangan lelaki itu.

******

“Nampaknya projek di Garden Height berjalan lancar setakat ini. Nasib baik kau cekap menguruskannya,” komen Erman sambil membaca laporan terbaru perkembangan projek itu di meja Nashriq. Anak muda itu tersenyum.

“Nasib baik mereka mahu habiskan kerja, selepas kita setuju bayar gaji tambahan untuk mereka sebanyak RM200.” Balas Nashriq.

“Sebenarnya abang rasa, bukan sebab kenaikan itu yang membuatkan mereka setuju menyambung kerja, tapi sebab Ibrahim. Selama ini dia yang menjadi batu api dalam mogok pekerja. Tapi selepas kejadian kemalangan tu, kau yang banyak menghulurkan bantuan pada keluarganya semasa dia terlantar di hospital.” Ujar Erman.

Nashriq terdiam. Dia teringat lelaki itu pernah meminta maaf padanya di hospital tempoh hari. Mungkin juga kata-kata Erman ada benarnya.

“Walau bagaimana pun, mereka berhak dapat tambahan gaji tu. Lagipun gaji asal mereka memang jauh lebih rendah dari yang sepatutnya.”

“Kau tak takut Engku Iskandar marah?” Duga Erman.

“Isk nak takut apa, bukan duit dia pun.” Nashriq tergelak kecil.

Belum sempat Erman mahu menyambung kata, ketukan demi ketukan singgah di muka pintu.

“Masuk!” Suruh Nashriq.

Kepala Duha Maisara menjenguk masuk dari arah luar. Melihat Erman berada di situ, Duha Maisara tercengang.

“Saya tak tahu Encik Nashriq tengah berbincang, maaf.” Ujarnya.

“Tak apa, ada apa hal?” Tanya Nashriq serius.

“Tadi Encik Nashriq suruh saya susun maklumat-maklumat tentang kerjasama A&K Corporation dengan Mega Timur.

...bersambung

Bab akan datang:

Mengapa Erman mengatakan begitu tentang Engku Iskandar yang mungkin akan marah dengan tindakan Nashriq?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience