Rate

Chapter 6

Romance Completed 26118

BAB 6

“Hmm, abang ada kawan yang bekerja di suratkhabar. Kita iklankan gambarnya, tentu ada hasilnya nanti.”

Nashriq terdiam. Kata-kata Erman membuatkan dia termenung panjang. Waktu Raihana hilang, usianya baru 12 tahun. Kini hampir 12 tahun juga masa berlalu. Bermakna usianya sekarang pasti mencecah 24 tahun. Pasti wajahnya banyak berubah. Bagaimana kalau dia gagal mengecam Raihana? Atau bagaimana kalau Raihana sengaja mengelak diri untuk bertemunya.

“Apa yang kau fikirkan lagi tu?” Erman mengerutkan dahi. Bimbang melihat lelaki itu diam sahaja.

“Saya takut kalau saya tak boleh kenal dia lagi.” Bisik Nashriq sedikit risau.

Erman tersenyum. Dia menepuk bahu Nashriq perlahan. “Naz, kalau hati kita terlalu rindukan seseorang. Biar seribu tahun sekalipun, hati kita akan tetap mengecamnya. Percayalah cakap abang ni.”

Nashriq tersenyum. Pandai Erman memujuknya. Sangkanya lelaki seserius Erman tidak pandai menghela madah kata. Namun dugaannya meleset. Erman bagaikan penasihatnya pula.

“Lagi satu, kalau kau tak mahu balik ke Vila Kasih, kita sewa apartment atau rumah. Sampai bila kita nak tinggal di hotel macam orang berkelana.” Cadang Erman.

“Suka hati abanglah. Tinggal di mana-mana sama sahaja bagi saya.” Balas Nashriq muram.

“Sabarlah. Lambat laun kita pasti bertemu dia.” Pujuk Erman lagi apabila dilihatnya wajah Nashriq terus diimbau keresahan.

******

Engku Iskandar termenung panjang. Dia memandang isterinya seperti tidak percaya. Engku Zarina hanya mengangguk mengiyakan.

“Betul bang, I dengar perkara ni dari mulut Latifah sendiri. Latifah yang beritahu I budak Nashriq tu dah balik ke mari dengan Erman.”

“Huh, apa mimpi Nashriq tu balik? Selama ini bukan dia yang enggan balik ke mari, meski berbuih mulut Latifah tu memujuk?”

“You agak, Nashriq balik ke mari sebab nak ambilalih tugas you di syarikat?” Tanya Engku Zarina. Lelaki itu terdiam. Mungkinkah? Lagipun anak muda itu pewaris empayar Zainal Ikram. Dia tahu selagi Erman ada di samping Nashriq, pasti lelaki itu akan kembali menuntut hak yang sah sepertimana yang termaktub dalam wasiat.

“Apa lagi Latifah cakap fasal Nashriq?”

“Fasal apa lagi kalau bukan fasal budak Hana tu. Dari dulu sampai sekarang, mulut Nashriq tak lekang menyebut nama budak keparat tu.” Engku Zarina mencebik.

“Dia tahu tentang Hana?”

“Saya tak rasa macam tu. Kalau Latifah tak tahu, maka Nashriq juga takkan tahu apa sebenarnya yang berlaku. Entah apa reaksi Nashriq kalau tahu budak Raihana tu sebenarnya sudah mati.” Engku Zarina tergelak kecil.

Engku Iskandar tersenyum. Hanya dia dan isterinya sahaja yang tahu apa sebenarnya yang berlaku dua belas tahun tahun dulu. Suatu ceritera yang dicipta untuk memalsukan dongeng yang hampir wujud.

Kalau bukan kerana dia menemui pusara Suhana di Kampung Telaga Pandak, sudah tentu dia takkan tahu rahsia yang cuba disembunyikan oleh Zainal dan Munif dari pengetahuannya dan adiknya Engku Latifah. Sebijak-bijak kau Zainal, kau tetap tak boleh menipu aku, Engku Iskandar tersengih. Dia mula teringat kisah lama.

Tubuh gadis itu dihenyak kasar ke arah dinding, Gadis itu mengaduh kesakitan. Namun kedua-dua lelaki, orang suruhannya hanya tertawa memandang ke arah tubuh kecil itu. Dia yang duduk tersorok di suatu sudut hanya memandang tanpa sepatah kata..

“Pakcik-pakcik ni siapa? Kenapa buat Hana macam ni?” Gadis itu teresak-esak menahan sakit. Tangannya masih terikat sejak dia di bawa dari hospital tadi.

“Kau tak perlu tahu kenapa kami buat semua ni. Lagipun kami dibayar tinggi untuk menangkap kau.”

“Pakcik nak buat apa dengan Hana?” Wajah itu jelas ketakutan.

“Itu bukan urusan kami. Nasib kau juga bukan kami yang tentukan.” Lelaki bercermin mata itu bersuara, lantas menoleh ke belakang.

Dia tahu sudah tiba masanya dia muncul. Perlahan-lahan dia mara ke hadapan. Raihana turut menyorot langkahnya perlahan-lahan. Dan seperti yang diduga, anak gadis itu tergaman melihatnya.

“Pakcik Is?”

Dia memandang gadis itu tidak berkelip. Bibirnya mengorak senyuman lebar. Wajah gadis yang dalam ketakutan itu ditenung tajam. “Kenapa, kamu terkejut tengok aku?”

“Pakcik Is ke yang suruh mereka tangkap Hana? Tapi kenapa?”

“Kenapa? Sepatutnya kamu lebih tahu. Tanyalah ayah dengan mak kamu kenapa aku buat begini.” Dia tergelak besar.

“Tapi Hana tak salah pakcik. Hana juga percaya ayah bukan pembunuh.”

“Siapa yang percaya kata kamu? Nashriq percaya?”

Gadis itu terdiam. Raut wajahnya serta-merta berubah.

Dia memerhatikan gadis itu dengan perasaan benci yang semakin kuat bercambah dalam dirinya. Sejak dia tahu rahsia itu, wajah gadis kecil itu sentiasa merantai jiwanya. Setiap keinginan yang dia himpunkan sejak sekian lama, musnah begitu sahaja.

“Ayah kamu pembunuh. Anak seorang pembunuh macam kamu tak layak hidup bersama waris kekayaan empayar Zainal Ikram. Kamu mengerti maksud aku kan?”

...bersambung

Bab akan datang:

Apakah nasib Raihana setelah ditangkap dan dicemuh oleh Pak Cik Is?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience