Rate

Chapter 27

Romance Completed 26118

BAB 27

“Emm tak payahlah bang, Duha nak balik ke rumah. Duha nak tunggu ayah.” Dia mereka alasan. Sebenarnya dia rungsing mahu terus tinggal di rumah itu. Lagipun tak manis jika dia dan Zafran tinggal serumah hanya berdua sahaja. Lebih-lebih lagi setelah dia tahu perasaan sebenar Zafran terhadapnya.

Zafran terdiam mendengar kata-kata Duha Maisara. Perasaan hati gadis itu bagaikan dapat dibaca. Dia bingkas bangun sambil tersenyum. “Duha nak ke mana? Baik Duha tinggal di sini saja. Soal abang, Duha jangan bimbang. Buat sementara abang akan pindah ke bilik di hospital.”

“Tapi abang…”

“Tak ada tapi-tapi lagi, Duha tinggal sahaja di sini. Tinggal di sini sampai kita kahwin.” Ujar Zafran membuatkan Duha Maisara terkedu. Kahwin? Kenapa sampai begitu sekali perancangan Zafran untuk terus hidup dengannya? Apakah dia layak untuk menggapai bahagia dalam beban derita yang ditanggungnya jauh di sudut hati?

******

“Mana tanggungjawab kamu Naz? Naz tahu tak yang projek melibatkan klien-klien US kita tu memakan belanja berbilion dollar. Bangunan yang dibina di Putrajaya tu salah satu makmal penyelenggaran peralatan mekanikal yang terbesar di Asia. Pihak menteri pun ambilberat fasal projek ini.” Engku Latifah menggelengkan kepalanya. Kesal dengan apa yang berlaku semalam.

“Dah jelas mereka seperti tidak mahu berbincang fasal projek ni semalam umi, jadi untuk apa saya tunggu? Apa yang mereka mahu cuma berhibur dengan arak dan perempuan. Umi nak suruh saya tunggu mereka dan tonton sahaja apa yang mereka buat. Begitu?”

Engku Latifah terdiam. Wajah Nashriq seolah naik berang.

“Tapi Naz tak sepatutnya tinggalkan mereka begitu saja.”

“Siapa kata saya tinggalkan mereka? Erman dan Farouk ada untuk temankan mereka. Lagipun saya tak ke mana, di bilik sebelah saja. Daripada saya tengok orang-orang putih tu mabuk, baik saya duduk seorang diri di tempat lain.”

“Sudahlah umi, jangan kita bercakap lagi soal klien dari US tu. Lain kali kalau mereka nak berbincang tentang perniagaan, saya akan hadir sama. Tapi kalau sekadar nak temankan mereka minum dan tambah dosa, biarkan saja Farouk yang buat.” Sambung Nashriq, separuh geram. Laju kakinya dihela meninggalkan bilik itu. Tercengang Engku Latifah dengan reaksi Nashriq.

“Maaf Naz, ini semua sebab laporan Farouk pada Puan Engku.” Ujar Erman ketika mereka minum-minum di kafeteria. Nashriq tidak menjawab. Dia tidak salahkan Farouk. Sudah pasti ibunya mahu tahu tentang perjalanan pertemuan malam semalam.

“So mana kau menghilang malam semalam?” Tanya Erman ingin tahu. Hairan juga dia kerana Nashriq tiba-tiba sahaja hilang dari bilik itu. Dia tahu Nashriq tidak suka dengan cara layanan terhadap klien mereka dari US itu.

“Tak ke mana pun, ada di bilik sebelah.” Jawab Nashriq ringkas.

“Bilik sebelah? Seorang diri?” Erman tersengih.

Nashriq terdiam. Dia langsung tidak menyebut tentang gadis yang tiba-tiba menerpa masuk ke biliknya. Bilik itu memang sengaja ditempah, kerana dia mahu bersendirian. Tapi tak disangka-sangka dia akan bertemu semula dengan gadis yang pernah ditemuinya di balai polis tempohari. Apakah ini satu takdir atau hanya kebetulan?

“Abang, saya nak abang buat sesuatu untuk saya.” Ujar Nashriq, lari dari topik asal.

Erman menoleh.

“Saya ke Villa Kecil tempohari. Rumah tu semacam tak terjaga. Boleh abang siasat kenapa rumah tu jadi macam tu? Apa umi dah buat pada Villa Kecil tu? Saya nak tahu semuanya.” Bisik Nashriq serius. Erman hanya mengangguk. Sesekali matanya menjeling ke wajah Nashriq yang muram. Dia mengeluh panjang.

******

Engku Iskandar tersengih apabila mendengar cerita Farouk tentang peristiwa malam semalam. Dia tergelak besar. Dia tahu, pasti selepas ini, wakil-wakil dari US itu akan serik untuk berurusan dengan Nashriq. Memang itu salah satu kelemahan Nashriq yang dia perasan. Anak muda itu suka bertindak melulu, lebih-lebih lagi jika melibatkan sesuatu yang tidak digemarinya.

“Habis apa kata Puan Engku?” Tanya Engku Iskandar ingin tahu.

“Puan Engku dah panggil Encik Nashriq ke biliknya, Tuan Engku.” Jawab Farouk. Dia diam sahaja apabila melihat Engku Iskandar tergelak-gelak kecil. Dia sendiri tidak faham kenapa lelaki itu kelihatan senang hati dengan berita yang dibawanya, sedangkan hal ini bersangkut paut dengan syarikat mereka.

“Bagus Farouk, kamu boleh keluar sekarang.” Arah lelaki itu. Farouk tanpa banyak soal segera menurut.

Engku Iskandar tersenyum senang. Dia memandang ke arah pintu kecil di biliknya yang terbuka tiba-tiba. Seorang wanita keturunan Cina melangkah keluar lalu segera menghempaskan tubuhnya ke dada sofa. Engku Iskandar hanya tersenyum menatap wanita yang muncul tiba-tiba itu.

“You dah dengar kan?” Tanya Engku Iskandar.

Wanita itu tidak menjawab. Matanya merenung jauh ke jendela yang sedikit terbuka. Kata-kata Engku Iskandar hanya dibuat endah tak endah.

“Dah lama sangat I tunggu. Bila you nak jalankan rancangan kita?” Engku Iskandar memandang wanita itu.

...bersambung

Bab akan datang:

Apakah muslihat yang ingin diatur oleh Engku Iskandar dalam fikirannya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience