Rate

Chapter 28

Romance Completed 26118

BAB 28

Reyna tersenyum hambar. Lama matanya terpaku pada Engku Iskandar yang seperti tidak sabar-sabar.

“I tak pernah berjanji dengan you untuk bantu you dapatkan Mega Timur, Is. Hal Mega Timur urusan you. Tapi hal Zainal Ikram dan anaknya adalah urusan I. Itu yang kita janjikan dulu kan?”

“Tapi dulu you pernah kata, kalau I tolong you uruskan Zainal, you akan tolong I dapatkan kuasa ke atas Mega Timur.”

Reyna merenung lelaki itu. Tajam.

“Dah dua belas tahun budak tu lari ke US. Dalam tempoh itu, apa yang you buat sampaikan you tak mampu berusaha sendiri untuk dapatkan Mega Timur?” Sindir Reyna Merah padam wajah Engku Iskandar menerima sindiran itu.

“Bukan I tak mampu, tapi Zainal yang cerdik. Awal-awal lagi dia dah tentukan kedudukan Nashriq dalam syarikat. I tak boleh buat apa-apa. Lagipun ini semua salah you dengan Albert. Kalau bukan Albert yang larang I ubah semua wasiat tu, mungkin I dah lama dapat Mega Timur.”

“Kenapa you salahkan I dan Albert? Mengapa tidak you katakan yang you ni yang bodoh, tak tahu merebut peluang. Benda macam ni pun you tak tahu nak uruskan.” Reyna tersenyum.

Engku Iskandar terkedu. Kata-kata wanita itu tajam merenggut hatinya. Dia tersinggung, benar-benar berjauh hati. Kata-kata Reyna lancang menikam ke lubuk jantungnya.

“Kalau I tahu begini, I akan hapuskan Nashriq awal-awal lagi. Biar dia dan ayahnya mampus terus sama-sama. Tapi you yang halang I, kenapa? Apa pentingnya budak tu pada you dan Albert?” Marah Engku Iskandar.

Reyna membulatkan matanya. Entah kenapa dia tidak senang dengan kata-kata lelaki itu. “Jangan you harap you boleh sentuh Nashriq Adli, jika Albert tidak mengizinkan. Atau you mahu Albert buru you seumur hidup you?” Reyna memberi amaran keras. Engku Iskandar menelan liur.

Dia masih ingat lagi saat-saat bagaimana kepalanya hampir pecah ditembusi peluru dari corong pistol lelaki itu lama dahulu. Semuanya kerana lelaki itu dapat tahu yang dia pernah mengupah orang melanggar Zainal Ikram dan Nashriq ketika dua beranak itu pulang dari bermain tenis. Sampai sekarang perasaan gementarnya itu masih ada. Albert Wong memang seorang lelaki yang benar-benar menakutkan.

* * * *

Nashriq menghirup milo sejuk di balkoni apartmentnya di tingkat 12. Udara malam yang terasa nyaman, membuatkan fikirannya lebih tenang. Sedari pagi dia berhempas-pulas membaca berpuluh-puluh dokumen syarikat. Tak cukup di pejabat, dia membawa sebeban lagi fail-fail pulang ke rumah.

Selepas mandi dan makan malam, Nashriq menyambung ulangkajinya. Semua dokumen itu dibaca teliti, kerana dia tidak mahu tertinggal satu pun maklumat tentang projek-projek syarikat lima tahun kebelakangan ini. Semua ini diperlukan untuk dia menghadapi tekanan ahli lembaga pengarah dan ibunya sendiri.

“Semua orang nak tengok prestasi kau Naz. Kau harus bersedia.” Kata-kata Erman menjengah ke dalam ingatannya.

Nashriq memejamkan matanya. Entah kenapa wajah Raihana kian kerap bertamu di dalam ingatan. Wajah itu tersenyum memandangnya.

“Abang rasa Hana cantik tak?” Suara manja anak gadis itu muncul.

Dia tertawa mendengar pertanyaan gadis itu. “Kenapa Hana tanya macam tu? Ha..abang tahu, ini mesti Hana dah ada pakwe.” Usiknya nakal.

Raihana melopong. Serentak wajah anak gadis itu merah padam menahan malu. “Abang ni jahatlah! Selalu usik Hana. Hana kan kecil lagi, mana Hana ada pakwe.” Gadis itu menggelengkan kepala. Dia terus-terusan ketawa. Lucu dengan gelagat Raihana.

“Kecil-kecil pun manalah abang tahu. Abang dulu masa sebaya Hana, dah pandai suka kat budak perempuan sekelas dengan abang.” Dia mencanang begitu. Wajah Raihana cepat berubah. Dia tergelak besar melihat Raihana sudah memuncungkan mulutnya.

Nashriq tersenyum. Saat-saat itu adalah memori yang terbaik dalam hidupnya. Tapi memori itu kini pecah berderai di laluan masa. Mungkinkah kaca-kaca yang pecah di sepanjang perjalanan hidupnya mampu dikutip satu persatu?

Tanpa sedar dia meraba kalung yang tergantung di lehernya. Kalung putih bertatahkan batu ‘saphire’ itu sudah lama di lehernya. Dengan kalung itulah dia pernah berjanji dengan ayahnya untuk melindungi Raihana selalu. Janji yang hanya tinggal janji, semuanya berlaku tanpa dirancang.

“Kenapa baba bagi kalung ni pada Hana?” Lunak suara anak kecil itu bertanya. Nashriq turut menoleh. Memandang ke arah ayahnya yang hanya tersenyum. Entah kenapa hati kecilnya turut ingin tahu sebabnya.

Siang tadi ayahnya membawa dua kotak kecil masuk ke kamarnya sambil memimpin tangan Raihana. Kata ayahnya, satu untuknya dan satu lagi untuk Raihana. Tangan lelaki itu pantas memakaikan kalung itu ke leher Raihana.

...bersambung

Bab akan datang:

Apakah makna pemberian kalung oleh ayah Hana dan Nashriq itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience