Rate

Chapter 106

Romance Completed 26118

Bab 106

Mata Nashriq tiba-tiba terpandang kotak sederhana besar yang terletak di atas rak almari di ruang tamu. Perlahan-lahan dia melangkah ke arah almari tersebut. Tangannya cuba mencapai kotak yang berada di atas kepalanya. Duha Maisara hanya memerhatikan gerak-geri Nashriq penuh tandatanya.

Namun apabila kotak itu berjaya diturunkan separuh, kaki Nashriq tergelincir. Kotak yang hampir berada di tangannya, terhempas ke arah lantai lalu melontarkan isinya. Melihat isi kotak tersebut, Nashriq seolah tergamam.

Duha Maisara yang juga ingin tahu isi kotak itu turut menghampiri Nashriq. Namun melihat bingkai-bingkai potret milik keluarganya pecah berderai, dia terasa sebak. Dia memandang Nashriq. Wajah lelaki itu berubah muram.

“Nashriq….” panggil Duha Maisara perlahan. Dia kaget apabila Nashriq terus tercegat seperti patung di situ.

“Encik Nashriq!” Ulang Duha Maisara lagi. Nashriq tersentak. Dia berpaling memandang Duha Maisara. Wajahnya kelihatan bingung. Tiba-tiba Nashriq tunduk. Dia mengutip kepingan-kepingan bergambar yang bercampur dengan sisa kaca. Wajah Raihana tertawa di sisi seorang lelaki dan perempuan, membuatkan hati Nashriq tersayat semula. Hana, maaf kerana abang gagal tunaikan janji abang pada Hana. Di mana Hana sebenarnya? Abang rindu, terlalu rindu mahu menatap wajah Hana!

“Aduh!” Jarinya pantas dilarikan. Wajah Nashriq berkerut. Duha Maisara tergamam. Matanya terpanah ke arah darah pekat yang mula mengalir di jari telunjuk lelaki itu.

“Awak cedera?” Tanya Duha Maisara. Seketika kemudian dia menyesal dengan kebodohannya. Sudah tahu begitu, kenapa pula dia bertanya lagi. Wajah Nashriq masih berkerut menahan sakit. Luka yang terbelah di jarinya agak dalam.

Duha Maisara mulai cemas. Dia tidak tahu apa yang harus dibuat sebenarnya. Tiba-tiba dia teringatkan sapu tangan di dalam beg tangannya. Duha Maisara segera mengeluarkan sapu tangan dari dalam beg seraya mengikat luka di jari Nashriq dengan berhati-hati.

Diam-diam Nashriq merenung wajah di hadapannya. Reaksi Duha Maisara membuatkan bibirnya tersenyum. Namun senyuman yang terukir di wajah Nashriq singgah hanya sekejap, tatkala dia menyedari mata anak gadis itu berair. Nashriq diterpa rasa hairan. Dia menangiskah?

Perlahan-lahan dagu Duha Maisara diangkat di hadapan mukanya. Mata gadis itu menuju ke arahnya. Dia merenung wajah itu tidak berkelip.

“Kenapa menangis?” Soal Nashriq ingin tahu.

Namun Duha Maisara hanya membisu. Pertanyaan Nashriq hanya dijawab dengan tangisan. Hati Nashriq bagaikan runtun mendengarnya. Tanpa sedar, tubuh Duha Maisara diraih ke pangkuannya. Dia memeluk anak gadis itu, erat.

Duha Maisara sudah tidak dapat menahan tangisan yang terhambur keluar. Dia menangis sesungguh hati di bahu Nashriq. Di bahu lelaki yang pernah dipanggilnya abang suatu ketika dulu. Tapi hakikat itu tidak mampu diakuinya di hadapan Nashriq. Dia benci sekaligus sayang pada lelaki itu. Dia benci kerana lelaki itu meninggalkannya, namun benci itu hanyalah alasan untuk dia terus mengingati Nashriq, merindui lelaki itu siang dan malam selama dua belas tahun ini.

******

Bunyi tombol pintu dipulas jelas terdengar di telinganya. Zafran terus meluru ke muka pintu. Hampir dua jam dia menunggu Duha Maisara di situ, dia sudah tidak sabar. Namun langkahnya terhenti sebaik terdengar suara lelaki sedang bercakap-cakap dengan Duha Maisara di hadapan pintu. Hati Zafran terus diulit resah.

Duha Maisara terasa malu apabila mata Nashriq masih menjamah wajahnya. Dia serba salah sekaligus segan kerana menangis tanpa sebab di hadapan lelaki itu tadi. Malah pelukan lelaki itu masih terasa hangatnya.

“Selamat malam,” ujar Duha Maisara lalu ingin melangkah masuk. Namun pegangan Nashriq melekat terlebih dahulu di jari-jemarinya. Duha Maisara tidak jadi meneruskan langkah. Dia memandang lelaki itu.

Dari poket seluarnya, Nashriq mengeluarkan kotak kecil berbungkus cantik. Kotak itu lalu diletakkan di tapak tangan Duha Maisara. Gadis itu terpaku. Matanya menuju ke arah bungkusan kecil itu.

“Apa ni?” tanya Duha Maisara.

“Hadiah dari Jakarta. Dari semalam lagi aku nak beri pada kau, tapi tak jadi. Hanya malam ini, peluang itu ada,” ujar Nashriq.

Duha Maisara terkedu. Tidak menyangka akan menerima hadiah dari lelaki itu. Dia ingin menyatakan sesuatu. Namun apabila melihat mata Nashriq merenung ke arahnya, lidahnya tiba-tiba kelu.

Nashriq tersenyum memandang Duha Maisara yang terdiam. Dia menarik jari-jemari gadis itu dan dibawa ke bibirnya lalu dikucup. Romantis. Duha Maisara terpegun. Berdebar-debar hatinya apabila melihat reaksi spontan Nashriq. Malu juga ada. Wajahnya semakin tebal. Nashriq hanya tertawa.

“Selamat malam,” bisik Nashriq di tepi telinganya. Dia hanya mengangguk. Tubuh Nashriq dipandang sehingga kelibat lelaki itu menghilang ke arah lift di hadapannya. Tanpa sedar bibir Duha Maisara menguntum senyum. Entah kenapa, dia rasa senang dengan perlakuan Nashriq terhadapnya.

...bersambung

Bab akan datang:

Apakah perasaan cinta mulai wujud dalam hati Duha terhadap Nashriq?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience