Rate

Chapter 42

Romance Completed 26118

Bab 42

Kalau bukan sebab dia melarikan diri dulu, tentu dia dan Raihana takkan berpisah. Gadis itu akan sentiasa berada di hadapan matanya. Dan janjinya untuk melindungi Raihana akan mampu ditunaikannya.

Nashriq menekan brek kereta sekuat hati. Dia terpaku. Bangunan besar di hadapannya dipandang berkali-kali. Dia buntu. Keretanya dihala sesuka hati sehingga sedar tak sedar sudah mendarat di parking hadapan Blue Ocean, kelab kemegahan warga kota yang inginkan keseronokan.

Nashriq termenung seketika. Apa yang aku buat ni? Kenapa aku boleh berada di sini? Dia memandang ke arah pintu masuk Blue Ocean yang dijaga rapi dua orang bouncer yang pernah dilihatnya dulu. Beberapa orang berpusu-pusu memasuki pintu kecil di bawah lampu neon berwarna warni.

Tergerak hati Nashriq untuk memasuki tempat itu semula. Perlahan-lahan dia keluar dari keretanya lalu segera melangkah ke arah kelab itu. Dua bouncer itu hanya memerhatikannya tapi tidak pula menahan.

Suasana hinggar binggar di dalam tiba-tiba terhenti apabila bunyi muzik menutup segala bunyi bising yang timbul. Nashriq bergerak ke tengah ruang. Matanya sibuk mencari-cari kelibat Duha Maisara. Namun bayang gadis itu tidak kelihatan.

“Sekarang dipersembahkan untuk anda, penyanyi utama Blue Ocean akan mempersembahkan sebuah lagu untuk hiburan anda semua.” Suara seorang wanita bergema di hujung telinganya. Tiba-tiba seorang wanita muda muncul di hadapannya sambil tersenyum manja.

“Hai sayang, you perlukan apa-apa malam ni?” Gemersik suara wanita itu cuba menggoda. Nashriq hanya tersenyum. Kepalanya digelengkan. Wajah wanita itu kelihatan hampa. Nashriq segera menjauh.

Tapi sebaik rangkap puitis suara lunak menyentuh gegendang telinganya, Nashriq berpaling ke ruang pentas. Pandangannya singgah pada suatu wajah bermekap tebal di tengah pentas, sedang menyanyikan sebuah lagu Inggeris. Serta-merta dia tergaman. Bulat matanya memerhatikan Duha Maisara di pentas. Jadi betullah dia seorang penyanyi. Timbul rasa bersalahnya kerana meragui kata-kata gadis itu sebelum ini. Beberapa kuntum ros dilemparkan ke tengah pentas oleh pelanggan-pelanggan Blue Ocean.

Gadis itu mengalunkan lagu itu dengan cukup baik. Diam-diam Nashriq akui, suara gadis itu boleh tahan merdunya. Dia ingin beredar ke hadapan, namun terhalang oleh beberapa lelaki nakal yang menghala ke arah Duha Maisara di pentas. Sesekali Nashriq memerhatikan wajah Duha Maisara yang kelihatan resah apabila lelaki-lelaki di bawah bagaikan hilang pertimbangan. Mujurlah beberapa bouncer kelab itu sibuk mengawal keadaan.

******

“Duha, ada orang nak jumpa Duha,” ujar Zarina kepada gadis itu setelah Duha Maisara selesai mempersembahkan lagu keduanya. Dia tercengang. Matanya menjunam ke arah Zarina.

“Siapa kak Ina?”

“Entahlah, kakak pun tak tahu. Tapi Mimi yang suruh kak Ina cakap dekat Duha. Kata Mimi, dia tunggu Duha di bilik VIP.”

Wajah Duha Maisara pucat lesi. Siapa yang nak bertemu dengannya. Seingatnya, tak ada sesiapa pun yang kenal dia, tahu yang dia bekerja di situ kecuali ayahnya. Mungkinkah ayah? Tapi kalau ayah, takkan Mimi tidak kenal.

Duha Maisara serba-salah. Harap-harap bukan salah seorang dari lelaki-lelaki pelanggan kelab itu yang sering menagih dirinya. Dia sudah serik. Walau sekuat manapun dia menjaga dirinya, namun setiap malam ada saja dugaan yang harus ditempuhinya. Beberapa malam yang lalu, seorang lelaki mabuk marah-marah apabila dia tidak mahu melayan lelaki itu. Mujurlah ada Mami Jun yang masuk campur. Kali ini apa pula?

“Apa yang Duha fikirkan tu?” Tanya Zarina agak hairan.

“Kak, Duha takutlah…”

“Takut? Takut apa?” Zarina mengerutkan dahinya. Kata-kata gadis itu membuatkan fikirannya disinggahi tanda tanya. Apa yang ditakutkan oleh gadis itu?

“Bagaimana kalau lelaki yang nak jumpa Duha tu berniat buruk? Duha dah serik diganggu kak.” Ujar Duha Maisara.

Zarina terdiam. Betul juga. Lagipun siapa lagi yang mahu bertemu dengan Duha Maisara kalau bukan lelaki-lelaki miang di kelab itu.

“Kenapa ni?” Tiba-tiba Mami Jun muncul.

“Ada lelaki nak jumpa Duha di bilik VIP kita, mami,” beritahu Zarina sebelum sempat Duha Maisara mahu membuka mulut.

Mami Jun terdiam. Setiap minggu ada saja lelaki yang berminat dengan Duha Maisara. Pelbagai masalah terpaksa dihadapinya, mujurlah setiap masalah tidak berpanjangan ke luar.

“You dah beritahu lelaki tu yang Duha bukan pelayan kelab ni?” Tanya Mami Jun kepada Zarina. Wanita itu menggeleng. Dia sendiri tidak pasti.

Mami Jun mengeluh berat. Terpaksalah dia masuk campur. Lagipun dia tidak sampai hati membiarkan Duha Maisara dalam masalah. Malah dia kadang-kala kasihan dengan gadis itu yang terpaksa bertungkus lumus bekerja di situ demi sesuap nasi.

“Tak apalah Duha, nanti mami pergi jumpa lelaki tu.” Ujar Mami Jun akhirnya. Wajah Duha Maisara lega dengan jaminan Mami Jun.

...bersambung

Bab akan datang:

Perasaan takut menyelubungi Duha. Mengapa lelaki tersebut ingin benar berjumpa dengan Duha?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience