Rate

Chapter 146

Romance Completed 26118

Bab 146

“Mak, mana mak pergi ni? Puas Hana cari mak,” ujar gadis itu sambil menangis teresak-esak. Dia terpegun sejenak mendengar kata-kata itu. Lama matanya terpaku pada wajah manis itu. Hana?

“Mak nak balik, mak takut duduk sini Hana.” Maisara memberitahu.

Duha Maisara mengesat airmata di pipinya yang tidak mampu ditahan. Dia lega kerana dapat mencari semula ibunya. Tadi dia benar-benar takut. Takut kehilangan wanita itu buat kali kedua.

“Anak…” panggil lelaki itu. Duha Maisara menoleh. Lama matanya terperosok pada wajah lelaki separuh usia yang berdiri di hadapannya. Dia mengerutkan dahinya. Wajah itu seperti pernah dilihatnya sebelum ini. Tapi di mana ya?

“Pakcik ni siapa?” Tanyanya terlebih dahulu. Kerana seronok sangat bertemu ibunya, dia terus terlupa pada lelaki itu. Namun tiba-tiba ingatannya tertumpu pada lelaki yang pernah ditemuinya di hadapan bangunan Mega Timur sewaktu dia mula-mula menjejakkan kakinya ke situ.

“Kalau tak salah, kita pernah jumpa kan dulu?” Sambungnya pantas. Lelaki itu tergaman mendengar kata-kata Duha Maisara. Pernah jumpa?

“Pakcik tak ingat saya? Saya gadis yang pakcik tegur sewaktu saya duduk di bangku kecil di hadapan bangunan Mega Timur tempohari. Kalau tak salah waktu itu pakcik pakai tongkat kan.” Duha Maisara cuba meneka dalam samar. Lelaki itu pula termenung panjang. Cuba mengingati setiap patah perkataan yang diucapkan oleh gadis itu. Lama kemudian, akhirnya dia tersenyum. Dia sudah boleh mengingati gadis di hadapannya.

“Pakcik dah ingat. Nama pakcik Asri.”

“Duha. Duha Maisara.”

Lelaki itu terdiam. Duha Maisara? Bukan Raihana? Dia melirik wanita yang masih dipegang tangannya oleh gadis itu. Siapa dia Mai? Anak kau atau bukan?

* * * *

Asri hanya memandang tatkala Duha Maisara memimpin tangan ibunya keluar dari kereta Mercedez Benz miliknya. Gerak geri Duha Maisara yang lemah lembut memukau matanya untuk terus memerhati. Dia benar-benar ingin tahu banyak tentang gadis itu, tapi masa tidak mengizinkan.

“Pakcik Asri tak mahu singgah rumah Duha?” Gadis itu mempelawa. Dia hanya menggeleng sambil tersenyum.

“Lain kali saja Duha, pakcik masih ada kerja yang nak dibuat. Tapi lain kali kalau senang, pakcik nak ajak Duha keluar minum. Ajak mak sekali.” Ujarnya.

Gadis itu mengangguk sambil ketawa kecil. “Kalau macam tu, Duha bawa mak naik dulu. Terima kasih sebab pakcik tolong mak Duha tadi. Kalau tak ada pakcik, tentu mak kena buli dengan orang,” keluh gadis itu. Dia hanya tersenyum.

Bulat matanya memerhatikan dua perempuan itu beredar menuju ke arah apartment itu. Entah mengapa, perasaannya berbelah bagi.

“Budak perempuan tu siapa tuan? Saya sangkakan Munif hanya ada seorang anak perempuan bernama Raihana.” Celah Omar memecah keheningan suasana yang baru berlabuh. Dia menarik nafas panjang.

“Dia memang Raihana, Omar. Tapi aku tak tahu kenapa dia memanggil dirinya Duha Maisara. Dah lama aku cari mereka. Baru kini aku bertemu. Ternyata tuhan masih sayangkan aku. Amanat Zainal mesti aku tunaikan walau apa pun yang terjadi.” Bisiknya. Matanya dipejamkan sambil bersandar. Hatinya luluh bercampur sebak apabila terkenangkan Maisara yang mengalami gangguan mental. Apa sebenarnya yang telah terjadi dalam dua belas tahun ini?

******

Dia melangkah tergesa-gesa sambil melirik ke arah jam tangannya. Masa hampir tiba untuk punch card. Dia sendiri tidak menyangka akan tersekat dalam traffic semasa hendak menghantar ibunya pulang ke Al-Raudah pagi tadi. Melihat pintu lift yang hampir tertutup, Duha Maisara cepat-cepat mengejarnya namun tidak sempat. Dia hanya mampu memandang dengan perasaan hampa.

“Cik Duha…” Panggil suatu suara tiba-tiba. Duha Maisara berpaling. Dia tergaman apabila bertembung dengan seseorang yang cuba dielakkannya selama ini. Selama ini dia sentiasa berhati-hati supaya tidak bertemu dengan lelaki itu secara berhadapan. Tapi entah apa malangnya nasibnya hari itu.

“Bukankah Cik Duha nak ke atas, marilah masuk.” Pelawa lelaki itu sambil menahan pintu lift dari tertutup. Duha Maisara serba salah. Kalau boleh dia tidak mahu naik satu lift dengan lelaki itu, tapi dia tiada pilihan lain. Mahu tak mahu dia melangkah masuk.

Sementara menunggu lift sampai ke destinasi, dia diam membisu. Matanya memandang lurus ke hadapan, meskipun perasaannya berdebar-debar tidak keruan. Dia perasan lelaki itu berdiri agak rapat dengannya. Sedikit demi sedikit dia cuba mengelak.

Engku Iskandar tersengih. Gadis itu seolah enggan mahu memandangnya. Diam-diam dia melirik tubuh tinggi lampai itu. Manis tubuh itu bersarung baju kurung. Patutlah Nashriq sukakan gadis itu. Dia teringat kembali kata-kata Robert tempoh hari tentang Duha Maisara yang menjalin hubungan dengan doktor muda bernama Zafran.

“Cik Duha suka bekerja di sini?” Tanyanya tiba-tiba.

...bersambung

Bab akan datang:

Apakah amanat yang dimaksudkan itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience