Rate

Chapter 17

Romance Completed 26118

BAB 17

Matanya dipejamkan. Entah kenapa kata-kata Zafran membuatkan dadanya bergolak kencang. Selama ini Zafran tidak pernah menunjukkan tanda-tanda menyukai dirinya lebih dari seorang adik. Malah bersama Zafran, dirinya terasa dilindungi oleh seorang abang. Mana mungkin lelaki itu akan mencintainya.

Duha Maisara bingkas bangun. Dia pantas membuang selimut yang membalut tubuhnya. Kakinya dihela menghampiri jendela biliknya yang sedikit terbuka. Matanya memandang awan gelap. Entah mengapa, perasaan Duha Maisara terhimbau pada kenangan lama.

Dia cuba bangun, namun kepalanya terasa berdenyut kuat. Dia mendesis kesakitan. Kepalanya lantas jatuh ke dada bantal semula. Dia tidak berupaya langsung untuk bangun. Tangannya meraba-raba kepalanya yang berbungkus kain putih. Terasa perit.

“Jangan bangun, kepala awak cedera. Nanti lagi teruk jadinya.” Muncul suara yang entah di mana gerangannya. Dia tergaman. Kepalanya ditoleh ke sebelah kiri. Cepat sahaja matanya menangkap sesusuk tubuh seorang budak lelaki yang sedang duduk membaca di tepi tingkap, mengadap ke arahnya.

“Abang ni siapa?” Tanyanya ingin tahu.

Mendengar suaranya bertanya, budak lelaki itu menoleh sebentar. Namun belum sempat budak itu ingin membalas, pintu bilik itu terburu-buru dikuak dari luar. Kedua-dunya serentak berpaling. Seorang lelaki berusia awal 40an melangkah masuk, tergesa-gesa.

“Yan, ayah kena pergi sekarang. Kamu tunggu di rumah ni elok-elok. Kalau ada orang datang tanyakan ayah, jawab saja kamu tak tahu,” pesan lelaki itu. Dia ingin beredar keluar, namun matanya tertancap pada wajah gadis kecil yang sedang memandangnya dari katil bujang di bilik itu.

Perlahan-lahan lelaki itu mendekatinya. “Kamu dah sedar ya? Baguslah, dah tiga hari kamu pengsan tak sedarkan diri. Ini rumah aku. Aku yang bawa kamu balik ke rumah ni. Nama aku Bustaman dan itu anak aku Zafran.” Lelaki itu memperkenalkan dirinya.

Dia sekadar memandang kosong pada dua wajah asing itu. Fikirannya jadi keliru tiba-tiba.

“Siapa nama kamu ni? Kat mana kamu tinggal?” Soal lelaki itu.

Dia tidak menjawab. Matanya asyik mengawasi kelibat lelaki itu. Sesaat pandangannya beralih ke arah budak lelaki yang turut memandangnya. Haruskah dia percaya pada lelaki itu? Bagaimana kalau lelaki itu sama macam lelaki-lelaki yang pernah menangkapnya dulu.

“Aku tanya siapa nama kamu? Takkan nama sendiri pun tak ingat,” kata-kata lelaki itu berupa sindiran. Pedas kedengaran.

Dia memandang lelaki itu agak lama. Beberapa ketika, bibirnya terketar-ketar menyebut namanya. “Maisara. Du..Duha Maisara.”

Dia tidak tahu kenapa dia harus berbohong. Tapi pada waktu itu, fikirannya tak dapat berfikir panjang. Nama Maisara terlalu dekat di hatinya kerana itu nama ibunya. Asalnya dia tidak ingat bagaimana dia boleh sampai ke rumah Bustaman dua beranak. Namun suatu hari dia mendengar Zafran dan ayahnya bergaduh besar.

“Yan takkan bagi ayah pergi lagi. Ayah tak boleh tinggalkan rumah ni.” Jerit Zafran ketika itu.

“Yan, ayah kena lari. Along tu dah tahu kat mana ayah tinggal. Kalau sampai dia jumpa, mati ayah nanti.”

“Tak boleh. Kalau ayah nak lari, ayah kena bawa Yan sekali. Yan nak ikut ayah.”

“Habis budak tu bagaimana? Ayah tak boleh bawa dia. Kalau Yan nak ikut ayah, Yan kena setuju dengan cadangan ayah.”

Zafran kedengaran terdiam. Duha Maisara mendekatkan dirinya pada pintu. Entah mengapa hatinya teramat ingin tahu kemelut apa yang sedang melanda keluarga itu sebenarnya.

“Tak boleh. Kita tak bolehkan tinggalkan Duha macam tu saja. Kasihan dia. Lagipun ayah yang langgar dia. Kalau bukan sebab ayah, tentu dia masih ingat siapa kelaurganya. Tentu kita boleh hantar dia kepada keluarganya.” Bentak Zafran radang.

Duha Maisara terpempan mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Zafran. Baru dia ingat tentang kemalangan yang dialaminya beberapa minggu yang lalu. Dia masih ingat bagaimana ketika dia cuba melarikan diri dari lelaki-lelaki yang menangkapnya, sebuah kenderaan muncul tiba-tiba semasa dia hendak melintas. Namun yang dia ingat hanyalah pancaran cahaya yang menyuluh ke wajahnya. Selepas itu dia tidak ingat apa-apa. Sedar-sedar sahaja kepalanya sudah berbungkus. Rupa-rupanya Bustaman yang melanggarnya.

“Syy, jangan cakap kuat sangat, dengar dek budak tu nanti. Ayah tak sengaja langgar dia. Lagipun dia yang tiba-tiba muncul di hadapan van ayah.” Bustaman cuba membela diri.

“Tapi ayah bawa dia balik ke rumah kita, sedangkan ayah sepatutnya bawa dia ke hospital. Yan tahu, ayah takut ditangkap polis kan?” Duga Zafran.

Bustaman terdiam. Anak itu terlalu pintar untuk dibohongi.

“Ayah nak tunggu sampai dia ingat, baru ayah nak pulangkan dia pada keluarganya.” Jawab Bustaman, cuba memberi alasan.

“Bukan ayah nak tinggalkan saja dia macam tu sebab nak lari dari along?’

...bersambung

Bab akan datang:

Apakah perasaan Duha apabila ayahnya bertindak sebegitu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience