Rate

Chapter 133

Romance Completed 26118

Bab 133

Hmm..cuai benar dia. Ini kali kedua Duha Maisara tercicirkan telefon. Anehnya, kedua-duanya berada dalam pengetahuannya. Tapi dia hairan, kenapa Duha Maisara tidak pernah bersuara mengatakan telefonnya hilang? Gadis itu diam sahaja.

Timbul niat nakal di hati Zafran mahu mengusik gadis itu. Dia mahu tahu sampai bila Duha Maisara mahu bertahan tidak mahu memberitahunya fasal telefonnya yang hilang. Baik, aku akan simpan telefon ni sampai kau susah hati nanti, detik hati kecil Nashriq. Dia tersenyum senang.

******
Apabila teksi yang dinaikinya berhenti di kawasan apartmentnya, Duha Maisara segera turun. Namun apabila melihat Nashriq turut sama melangkah keluar dari perut teksi, dia terpinga-pinga.

“Awak nak ke mana?” Tanya Duha Maisara, hairan.

“Aku nak temankan kau ke atas.” Jawab lelaki itu.

“Eh tak payahlah, bukan jauh pun. Baik awak balik berehat, lagipun dah petang ni.” Duha Maisara menolak dengan sopan.

Nashriq merenung gadis itu sambil tersenyum. “Kenapa, tak suka?”

“Bukan macam tu, tapi awak pun penat kan. Dua hari bermesyuarat sana sini, saya rasa baik awak balik berehat. Esok nak pergi kerja lagi.” Ujar Duha Maisara.

“Sayang betul kau pada aku?” Nashriq tertawa kecil. Namun beg pakaian Duha Maisara segera diangkat menuju ke arah pintu masuk bangunan itu. Duha Maisara tercengang melihat Nashriq sudah berlalu ke dalam. Mahu tak mahu dia juga turut bergegas mengejar lelaki itu.

Apabila sampai di hadapan apartmentnya, Duha Maisara cepat-cepat menyambut beg pakaiannya dari tangan Nashriq.

“Dah sampai pun, baik awak balik sekarang,” ujarnya.

“Tak nak jemput aku ke dalam?” Lelaki itu memandangnya. Selamba.

Duha Maisara tergaman. Jemput ke dalam? Nak mampus? Bagaimana kalau ada orang nampak nanti? Tentu teruk dia digossipkan perempuan murahan!

“Tak baik begitu, lagipun tak ada orang di dalam, cuma saya seorang. Nanti apa kata orang sekeliling kita.” Jawab Duha Maisara begitu berhati-hati. Dia tidak mahu Nashriq tersinggung dengan kata-katanya.

“Kenapa? Kau takut kena tangkap basah dengan aku, begitu?” Duga Nashriq nakal. Wajah Duha Maisara cepat berubah mendengar kata-kata itu. Ketawa Nashriq meletus. Entah kenapa dia lucu dengan reaksi Duha Maisara begitu.

Tiba-tiba Nashriq melangkah rapat ke arah Duha Maisara, membuatkan anak gadis itu tanpa sedar berundur selangkah dua. Dia memalingkan wajahnya ke arah lain, enggan menatap renungan Nashriq yang kelihatan serius.

Nafas lelaki itu terdengar begitu hampir di telinganya. Serta-merta Duha Maisara diamuk resah. Dia dapat merasakan debaran di dadanya tak kunjung padam. Apa dia nak buat? Nak cium akukah? Oh Tuhan, tolonglah jangan biarkan lelaki ini buat gila begini, pinta Duha Maisara di dalam hati.

“Cik Duha, kau ingat aku nak cium kau ke?” Tiba-tiba terpacul soalan itu dari bibir Nashriq. Duha Maisara terpegun.

“Alamak, betul kau ingat begitu?” Nashriq ketawa terbahak-bahak. Duha Maisara hanya diam. Bibirnya diketapkan. Dia geram sebenarnya. Geram bercampur malu. Tidak tahu kenapa, tapi sikap lelaki itu dari hari ke sehari semakin pelik. Lelaki itu suka benar mempermain-mainkannya. Salahnya juga kerana terlampau lurus.

“Baik awak balik ajelah.” Seru Duha Maisara dengan wajah masam mencuka. Ketawa Nashriq masih belum habis. Dia memandang anak gadis itu tidak mahu lepas. Raut wajah Duha Maisara yang marah-marah sudah lama memikat hatinya. Juga wajah gadis itu yang sembab dengan tangisan juga memukau perasaannya. Tidak tahu entah sejak bila, wajah Duha Maisara mula hadir di setiap ruang hatinya.

Melihat Nashriq seolah masih berdegil mahu beredar dari situ, Duha Maisara segera mengeluarkan anak kunci dari dalam beg. Dia ingin cepat-cepat masuk ke dalam. Dia tidak mahu lelaki itu melihat wajahnya yang merah padam. Dia juga tidak mahu Nashriq meneka perasaan hatinya yang bergelora setiap kali berhadapan dengan lelaki itu.

Tapi sebelum sempat anak kunci dimasukkan dalam lubang kunci, pintu di hadapan Duha Maisara tiba-tiba terbuka. Dia terkejut, begitu juga dengan Nashriq yang turut tergamam.

Zafran muncul di hadapannya dengan wajah masam mencuka. Lelaki itu memandangnya tidak berkelip. Beberapa ketika, mata Zafran beralih ke arah Nashriq yang kaku di tempatnya. Lama mata itu singgah di wajah Nashriq. Duha Maisara mulai resah.

“Abang, bila abang sampai? Maaf Duha tak perasan tadi.” Sapa Duha Maisara sedikit gugup.

“Duha dari mana ni?” Soal Zafran serius.

“Err..Duha ada kerja.”

“Sampai tak balik rumah? Kerja apa tu?” Soal Zafran bagaikan menyindir.

Duha Maisara mulai gementar. Wajah Zafran bagaikan memberi petanda angin lelaki itu dalam keadaan tidak baik. Yang dirisaukannya saat itu bukan dirinya, tapi Nashriq.

Tiba-tiba Nashriq melangkah ke samping Duha Maisara. Wajah Zafran dipandang dengan tenang. Dia menghulurkan tangannya ke arah lelaki itu.

...bersambung

Bab akan datang:

Bagaimanakah reaksi Zafran terhadap Nashriq yang berada di hadapannya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience