Rate

Chapter 200

Romance Completed 26118

Bab 200

“Abang kau terlibat dalam pembunuhan Zainal dua belas tahun dahulu. Dialah orangnya yang cuba menganiayai Munif dan Maisara. Tapi ini bukan kerja dia seorang. Dia bekerjasama dengan orang-orang dari A&K Corporation untuk membunuh Zainal dan menuduh Munif sebagai pembunuh. Malah mereka palsukan wasiat Zainal. Ugutan ke atas Dato’ Mustadza juga adalah salah satu rancangan mereka untuk mengambil alih Mega Timur.” Kata-kata Asri beberapa malam lalu mengimbas dalam fikirannya.

“Mana kau tahu semua ini Asri?”

“Dah dua tahun aku cuba jejak Molin Rahman. Dan dalam tempoh ini juga nama Engku Iskandar dan Black Parade muncul.”

“Black Parade?”

“Tif, abang kau terlibat dalam kongsi gelap. Semua permainan ini adalah permainan kongsi gelap dan Zainal tersepit di tengah-tengahnya. Aku dan pihak polis sedang bekerjasama untuk memerangkap gerakan ini.”

Engku Latifah memejamkan matanya. Dia tidak sanggup mendengarnya lagi. Kenapa semua perkara ini boleh berlaku dalam hidupnya? Kenapa sehingga dua belas tahun, baru semua ini terbongkar? Apakah selama ini aku tersilap menuduh orang yang tidak bersalah? Jika Munif benar-benar tidak bersalah, bermakna aku telah menzalimi Raihana dan ibunya! Ya Allah, ampunkan dosaku. Aku benar-benar berdosa pada mereka, bisik hati kecilnya penuh kekesalan.

******

Kereta Nashriq dipandu laju menuju ke suatu arah. Duha Maisara yang berada di sampingnya sesekali gelisah melihat paras meter kereta lelaki itu hampir mencecah 130km/j. Dia mengerling ke arah Nashriq yang langsung tidak mahu bersuara sejak tadi. Wajah lelaki itu merah padam dengan raut wajah yang serius.

“Naz, tolong hentikan kereta, saya nak turun,” pinta Duha Maisara gelisah. Melihat cara lelaki itu memandu, entah kenapa dia merasakan urat jantungnya bagaikan hendak putus. Tapi lelaki itu seolah-olah tidak mendengar. Malah keretanya sengaja dilajukan menyaingi beberapa buah kenderaan di hadapan. Hati Duha Maisara semakin kecut.

“Naz, tolong perlahankan kereta ni. Bahaya!” Rayu Duha Maisara lagi. Nashriq menjeling Duha Maisara sekilas. Wajah anak gadis itu direnung namun dia tidak berkata apa-apa.

Apabila sampai di sebuah kawasan, keretanya diberhentikan. Nashriq keluar dari kereta. Duha Maisara terpinga-pinga melihat Nashriq membawanya ke Vila Kecil. Melihat lelaki itu beredar masuk ke dalam rumah itu, hati Duha Maisara seakan ragu-ragu. Namun mengenangkan dia tiada cara lain untuk pulang kecuali bersama lelaki itu, Duha Maisara memaksa diri melangkah menuju ke rumah yang pernah menjadi milik ibu bapanya suatu masa dahulu.

Perlahan-lahan dia menjengah masuk sambil mencari kelibat Nashriq namun matanya tidak dapat mencari lelaki itu. Dia hairan. Bukankah lelaki itu masuk ke sini tadi? Mana dia pergi pula? Mata Duha Maisara mendongak memandang ke arah anak tangga. Barangkali dia berada di tingkat atas, desis hati kecil Duha Maisara.

Lama dia menunggu di bawah tapi batang hidung Nashriq tidak turun-turun. Dia mula gelisah. Sudah hampir sejam dia menanti di situ. Entah mana lelaki itu pergi agaknya. Perlukah aku memanggil mengajaknya pulang? Meskipun dia ragu-ragu mahu berhadapan dengan reaksi Nashriq, namun untuk berada di situ lebih lama, dia tidak sanggup. Lagi pula kerjanya di pejabat masih belum habis.

Mengenangkan masa yang terbuang begitu sahaja, Duha Maisara perlahan-lahan memaksa dirinya menginjak tingkat atas vila itu. Dia sudah biasa dengan vila itu sebenarnya. Meskipun ibu bapanya bekerja dan menetap di rumah Zainal Ikram suatu masa dahulu, namun dia dan Nashriq sering di bawa oleh Zainal Ikram menghabiskan cuti sekolah di situ. Kadangkala mereka berkelah di tepi tasik di hadapan vila itu. Tapi selepas vila itu diserahkan oleh Zainal Ikram kepada bapanya sebagai hadiah, dia dan Nashriq lebih kerap berada di situ mengikut kedua ibu bapanya, kadangkala sehingga seminggu sekali. Kerana itu setiap inci ruang vila itu sudah hafal di kepalanya.

Memandang ke arah sebuah bilik yang terkatup rapat di hadapannya, langkah Duha Maisara terhenti di situ. Dia ragu-ragu mahu menolak daun pintu, bimbang Nashriq berada di dalam dan tidak mahu diganggu. Perlahan-lahan dia menekup telinganya ke arah pintu, mahu mendengar apa-apa bunyi yang mungkin terbit dari dalam. Namun tiada suatu bunyi pun kedengaran. Matanya dipejamkan, cuba mencari bukti kehadiran lelaki itu di dalam bilik. Namun serentak dengan itu, pintu di hadapannya tiba-tiba terbuka. Duha Maisara tergaman. Jantungnya bagaikan hendak berhenti berdenyut tatkala wajah Nashriq muncul di hadapan matanya.

“Maaf, saya tak tahu awak ada di dalam,” ucap Duha Maisara sedikit gugup. Mata lelaki itu masih menatapnya tidak berkelip. Duha Maisara mahu beredar dari situ, namun tiba-tiba tangannya ditarik masuk ke dalam bilik. Dia terkejut bercampur gementar apabila tubuhnya tiba-tiba ditolak ke arah katil.

...bersambung

Bab akan datang:

Mengapa Nashriq membawa Duha ke vila itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience