Rate

Chapter 65

Romance Completed 26118

Bab 65

“Tak apa-apa, saya pun tak mahu menganggu Duha sebenarnya. Tapi saya tengok sejak dua tiga hari ini, Duha kerap datang ke mari. Boleh saya tahu kenapa Duha berminat dengan pesakit tu?”

“Saya…saya cuma kasihan dengannya.” Jawab Duha Maisara.

Mendengar jawapan ringkas itu, Doktor Habibah tersenyum. Matanya turut memandang ke arah wanita yang sedang duduk di suatu sudut.

“Memang dia benar-benar kasihan. Dah hampir lapan tahun dia di sini, tapi tak ada seorang pun kenal siapa dia atau di mana dia tinggal. Malah namanya pun kami tak tahu. Di sini kami panggil dia Jamilah.”

“Doktor masih ingat masa mula-mula dia di bawa ke institusi ni? Siapa wanita yang membawanya?” Soal Duha Maisara benar-benar ingin tahu.

“Seingat saya, dia tak pernah memperkenalkan dirinya. Tapi wanita itu berketurunan Cina kalau tak salah saya. Tapi saya pernah mendengar dia menyebut tentang seseorang yang dipanggil Engku.”ujar Doktor Habibah seolah cuba mengingati peristiwa itu.

Hati Duha Maisara berdetak. Engku? Mungkinkah Engku Iskandar? Dia teringat lelaki tua yang ditemuinya di kelab Blue Ocean semalam. Lelaki itu memang menyerupai Engku Iskandar biarpun wajahnya samar-samar di bawah kelam lampu-lampu neon beraneka warna. Begitu juga dengan wanita Cina di sampingnya. Entah kenapa, dia juga bagaikan pernah melihat wanita Cina itu sebelum ini.

“Kenapa Duha?” Tanya Doktor Habibah sebaik dilihatnya gadis itu kaku bagaikan patung.

“Err saya tak apa-apa doktor. Terima kasih sebab doktor benarkan saya melawat di sini. Saya kena pergi dulu, lain kali saya datang lagi. Terima kasih doktor,” ucap Duha Maisara lalu tergesa-gesa beredar. Doktor Habibah hanya mampu memandang langkah gadis itu yang semakin jauh.

******

Bustaman sudah bosan menunggu di bawah terik matahari, namun orang yang dinanti tak kunjung pulang. Sambil memandang kawasan persekitaran blok apartment itu, dia tak sudah-sudah menghembus asap rokok. Lepas sebatang, sebatang lagi rokok dikeluarkan dari dalam poketnya. Sesekali dia melirik ke arah jam di pergelangan tangannya. Hampir pukul dua petang. Patutlah perutnya bergelodak kelaparan.

Ah entah bila baliknya budak ni. Baik aku pergi mengisi perut dulu, detik hati Bustaman seraya bingkas bangun dari kerusi di taman itu. Namun belum sempat Bustaman mahu melangkah, darahnya menyirap.

Black dan kawan-kawannya tertawa besar melihat wajah lelaki itu pucat lesi. Perlahan-lahan lelaki itu melangkah menghampiri Bustaman.”Terkejut tengok aku? Kau tak sangkakan yang aku boleh temui kau ke mana saja kau pergi, meskipun ke lubuk cacing sekalipun.”

“Black, aku..aku masih belum dapat duit tu. T..Tapi aku janji, malam ni aku akan dapatkan semua duit kau. Anak aku dah janji nak bagi duit tu.” Ujar Bustaman tergagap-gagap.

“Hmm kau ingat aku akan percaya cakap kau selepas kau pukul aku dan selepas itu larikan diri dengan duit aku? Tak apa, kita tengok, apakah anak kau tu betul-betul baik dengan kau atau sebaliknya. Jika sekali lagi kau berani menipu aku, kau dengan anak kau sekali aku humban dalam liang lahad.” Gertak Black seraya ketawa terkeheh-keheh.

Bustaman benar-benar resah. Keadaannya tak ubah seperti telur di hujung tanduk. Ke kanan dia susah, ke kiri juga ada jurang. Entah apa patut dia buat untuk melepaskan diri dari lelaki berkepala botak serta berkulit hitam legam itu.

“Black, bagi aku peluang. Aku janji aku akan jelaskan hutang itu secepat mungkin.” Rayu Bustaman.

“Dan kalau kau tak boleh? Apa yang kau nak cagarkan pada aku?”

Bustaman terdiam. Memang dia tidak memiliki apa-apa harta. Malah rumah yang didudukinya sekarang pun adalah rumah sewa.

Melihat Bustaman hanya diam, Black tergelak kecil. “Bustaman…Bustaman, mungkin ada sesuatu milik kau yang kau boleh serahkan pada aku Bustaman.” Mata Black galak memandang lelaki itu.

Perlahan-lahan Bustaman menatap ke arah lelaki itu. Ketawa Black dan orang-orang semakin kuat. Bustaman kian resah. Lelaki itu menghampirinya perlahan-lahan, sebelum tunduk hampir di telinganya.

“Anak perempuan kau adalah harta yang paling berharga yang kau ada. Apa kata kau serahkan anak kau pada aku, dan semua hutang kau boleh dilangsaikan. Lagipun dengan rupa dia, tentu ramai pelanggan aku yang mahukannya sebagai perempuan simpanan.” Bisik Black. Bustaman tergaman. Serta-merta wajah Duha Maisara terbayang di wajahnya. Ketawa Black semakin kuat, memenuhi setiap rongga telinganya.

******

Buku simpanannya ditelek beberapa kali. Angka di dalamnya sudah menyusut, setelah dia mengeluarkan kesemuanya di bank siang tadi. Setelah bersusah payah, dia hanya mampu mengumpulkan sepuluh ribu. Wang itu masih berkurang dua puluh ribu. Entah ke mana lagi dia harus mencari wang itu. Dia sudah pening kepala mahu memikirkannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience