Rate

Chapter 80

Romance Completed 26118

Bab 80

Lelaki itu hanya tersenyum. Matanya tak putus-putus memandang Suraya. Gadis itu cantik, tapi entah kenapa hatiku bukan padanya, detik hati kecilnya.

“Kalau I tak suka, takkan I ajak you keluar lunch.” Balas Nashriq. Suraya terdiam. Dia tahu lelaki itu yang mengajaknya, tapi pertemuan tanpa komunikasi membuatkan dia lemas dalam rela.

“You tahukan I sukakan you Naz?” Ucap Suraya. Nashriq terpegun.

“Meskipun I tahu you tak sukakan I, tapi I tak kisah. I akan tetap sukakan you sampai bila-bila pun. Bagi I, you adalah penyelamat dan you juga adalah orang yang paling penting dalam hidup I.” Sambung Suraya. Entah kenapa hari itu, mulutnya lancar menuturkan kata-kata.

Nashriq memandang Suraya yang kelihatan sedih. Dia teringat kata Sachary tempohari yang Suraya tidak boleh terlalu sedih mahupun terlampau gembira. Entah apa yang patut diucapkannya pada gadis itu.

“Sue, you masih muda. You boleh mencari teman yang lebih sesuai untuk you. Perasaan cinta bukan melibatkan sebelah pihak sahaja, tapi ia lebih dari itu. I tahu kata-kata I hanya akan melukakan hati you, tapi cinta yang you harapkan, tak mungkin you akan dapat dari I, Sue.” Ucap Nashriq lembut. Dia benar-benar harap gadis itu dapat memahami setiap kata-katanya.

“Maksud you Naz you menolak I tanpa memberi peluang?” Duga Suraya.

Nashriq terdiam. Peluang?

“Bukankah you kejam pada I Naz? You tak beri I peluang, macam mana you tahu yang you tak mungkin mencintai I?” Soal Suraya dengan mata merah.

Nashriq terus membisu. Entah mengapa, bayangan wajah Duha Maisara pula hadir di ruang matanya. Air mata di pipi Suraya mengingatkannya pada tangisan sayu Duha Maisara di kelab itu tempoh hari. Hati Nashriq tiba-tiba gusar semula. Berulangkali dia cuba menghalau fragmen wajah Duha Maisara, tapi semakin dicuba, dia gagal. Dan sejak akhir-akhir ini, wajah itu terus bertamu dalam setiap ingatannya, sehingga rasa keliru dalam dirinya terus wujud tanpa henti. Apakah ini sebenarnya cinta yang selama ini kucari?

******

Tangannya ditadahkan ke arah air paip yang terbuka. Dia membasuh mukanya berulangkali seraya memandang wajahnya sendiri di dalam cermin. Setiap air yang menitis dari dahi dan pipinya dipandang sepi. Bibirnya diketapkan. Entah mengapa hari itu dia membenci dirinya sendiri. Dia telah melukakan hati seorang gadis yang benar-benar menyukainya. Dan yang paling dia benci, dia terpaksa berlaku kejam pada gadis itu. Inikah sebenarnya yang kau mahu Nashriq? Mengecewakan dan terus mengecewakan setiap orang seperti mana kau pernah mengecewakan Raihana dulu? Dia berbicara sendiri di dalam hati.

Nashriq segera keluar dari bilik air. Apabila pintu bilik air dikuak, dia terdengar suara sedang berbual-bual di tepi telinganya. Dia berpaling. Seorang lelaki bertopi sedang bercakap-cakap dengan seorang lelaki berpakaian agak kemas.

“Tolonglah encik, bagilah saya kerja. Buat apa pun saya sanggup.” Ujar lelaki itu.

“Bukan saya tak nak bagi, tapi jawatan ni dah dipenuhi kelmarin. Maaflah, awak balik saja.”

“Tapi saya perlu sangat kerja ni encik, buat apa pun saya sanggup.”

“Awak ni tak faham bahasa ke? Saya kata tak ada, tak adalah. Jangan buat saya naik darah.” Lelaki berkot itu sudah naik angin.

Nashriq hanya memerhatikan dari tepi. Entah mengapa dia tertarik mendengar suara lelaki itu. Macam pernah dengar. Apabila lelaki bertopi itu berpaling, darah Nashriq berderau. Dia? Lelaki bertopi itu turut memandangnya. Wajah lelaki itu berkerut.

******

Duha Maisara memandang bangunan besar yang tersergam indah di hadapannya. Sudah beberapa hari dia asyik berlegar-legar di situ. Entah kenapa, setiap kali dia mahu melangkah masuk, setiap kali itu juga kakinya terasa berat mahu mengatur langkah. Akhirnya dia pulang begitu sahaja.

“Bukankah itu yang kau mahu? Mulakan hidup yang baru?” Ucap lelaki itu. Duha Maisara tertawa kecil. Hambar. Mengapa aku perlu mendengar cakapnya, sedangkan dia tidak tahu apa-apa tentang aku. Mulakan hidup baru? Di tempat yang sama di mana semua musuh-musuhnya tersenyum senang setelah memusnahkan hidupnya? Inikah hidup yang aku mahu?

Dulu dia pernah bersumpah tidak mahu menjejakkan kakinya ke Mega Timur lagi. Tidak mahu mengambil tahu semua hal tentang Mega Timur. Tidak mahu tahu tentang manusia-manusia yang selama ini menyeksa hidupnya. Tapi apa yang kau buat hari ini? Kenapa kaki kau melangkah jua ke situ?

“Abang sayangkan Hana. Selama-lamanya abang akan tetap sayangkan adik abang yang comel ni!” Bisikan itu menyeksanya setiap malam. Bagaimana harus dia lupa sedangkan suara itu pernah wujud dalam hidupnya suatu ketika dulu.

“Baba nak Hana berbaik-baik dengan abang sampai bila-bila pun.”

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah Duha akan meneruskan niatnya untuk bekerja di situ?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience