Rate

Chapter 55

Romance Completed 26118

Bab 55

Tak akan dibiarkan walau sezarah duka melewati hidup gadis itu lagi. Itu janjinya sejak dulu.

******

Selepas menukar cadar baru, Duha Maisara membantu pula mengumpulkan cadar-cadar lama untuk dibasuh. Sesekali dia berbual-bual kosong dengan Lily yang lebih suka menemaninya melakukan kerja-kerja mengemas dan membasuh, berbanding mengawasi pesakit-pesakit untuk dibuat pemeriksaan.

Sedang Duha Maisara asyik dengan kerjanya, deringan telefon di dalam beg sandangnya berbunyi minta diangkat. Dia mengerutkan dahinya. Hairan. Bukankah telefonnya tercicir entah ke mana. Namun dia membelek jua beg sandangnya, lalu mencari-cari telefon itu. Seketika senyuman kecil terukir di wajah Duha Maisara.

Entah sejak bila Zafran meletakkan telefon bimbitnya di dalam beg sandangnya. Namun panggilan itu tidak segera diangkat. Hatinya berkira-kira seketika. Perlukah aku jawab panggilan untuk Zafran? Dia merenung nombor yang terpapar di skrin. Nombor itu wujud tanpa nama pemanggil. Ah! Baik aku jawab. Manalah tahu ada panggilan penting untuk Zafran.

Dia segera meninggalkan Lily, untuk menjawab panggilan telefon. Namun belum sempat Duha Maisara mahu menyapa, dia mendengar suara di hujung talian. Serta-merta tubuh Duha Maisara gementar. Ayah! Suara lelaki itu cemas, meminta Zafran segera menemuinya segera di rumah malam nanti.

“Yan, ayah benar-benar perlukan pertolongan kamu. Kali ini saja Yan, tolonglah ayah,” rayu lelaki itu cemas.

Menitik airmata Duha Maisara mendengar suara lelaki itu. Perlahan-lahan telefon bimbit milik Zafran disimpan kembali dalam beg sandangnya. Dia kegelisahan. Entah masalah apa lagi yang melanda lelaki itu. Sejak dulu hingga kini, hidup lelaki itu tak pernah surut dengan masalah. Entah bila ayah mahu berubah! Keluh Duha Maisara sendirian.

Duha Maisara memandang Lily yang masih ralit dengan kerjanya. “Lily, kakak nak balik dulu, ada hal penting. Lily sambunglah kerja tu sampai sudah ya,” pesan Duha Maisara. Gadis itu hanya mengangguk sambil melambaikan tangan ke arahnya.

Mulanya Duha Maisara ingin segera beredar, namun mengenangkan Zafran, dia membatalkan hasratnya. Tak fasal-fasal dia dimarahi lelaki itu jika beredar tanpa meninggalkan pesan. Duha Maisara segera memanjat tangga ke tingkat satu. Dia ingin mencari Zafran di situ, apatah lagi dia tahu ‘team’ lelaki itu berada di situ untuk membuat pemeriksaan kesihatan ke atas pesakit-pesakit di situ.

“Doktor ada nampak doktor Zafran?” Soal Duha Maisara pada seorang doktor wanita yang sedang memeriksa pesakit.

“Doktor Zafran? Kalau tak salah, tadi dia naik ke tingkat atas berjumpa dengan supervisor institusi rawatan ni. Cuba adik cari dia di situ,” jawab doktor wanita bertudung litup itu. Tanpa berlengah, Duha Maisara segera menapak ke tingkap atas. Dia ingin segera mencari Zafran. Namun puas mencari, kelibat bayang Zafran langsung tidak kelihatan.

Duha Maisara mengeluh panjang. Entah kemana lelaki itu menghilangkan diri? Dia ingin turun semula ke tingkat bawah namun langkahnya tidak jadi diatur sebaik terdengar suara jeritan berkumandang memenuhi ruang institusi itu. Duha Maisara tergaman. Entah kenapa, hatinya rasa tertarik untuk mencari arah suara itu.

Perlahan-lahan Duha Maisara melewati setiap bilik. Setiap ruang diintai cuba mencari suara yang dimaksudkan. Melihat beberapa jururawat bergegas ke sebuah bilik, entah kenapa rentak kaki Duha Maisara turut berubah. Dia segera berlari-lari anak ke bilik tersebut.

Dari hujung pintu yang sedikit renggang, Duha Maisara melihat Zafran dan beberapa petugas institusi itu cuba menenangkan seorang pesakit yang sedang meronta-ronta. Suara perempuan itu mendesah kuat, sambil cuba melepaskan diri dari pegangan petugas-petugas institusi itu. Rambut perempuan itu kusut masai menutup dahinya.

“Pegang dia, saya nak beri dia suntikan,” ujar Zafran pada dua petugas lelaki di sampingnya. Namun belum sempat Zafran mahu menyuntik tubuh perempuan itu, tiba-tiba perempuan itu menerpa ke arah Zafran, menyebabkan lelaki itu tersungkur jatuh.

“Abang!” Duha Maisara terjerit. Terkejut dengan apa yang berlaku. Zafran berpaling ke arahnya. Melihat Duha Maisara menerpa masuk, Zafran tercengang.

Namun langkah Duha Maisara terhenti sebaik terpandang sepasang mata merenungnya dari celah-celah rambut yang berjuntai. Tubuhnya tiba-tiba gementar. Kakinya pula seakan dipaku di lantai. Dan untuk seketika Duha Maisara bagaikan ingin pitam.

******

“Apa pak cik nak buat pada Hana?” Dia bertanya dengan nada resah.

“Apa aku nak buat pada kau? Aku nak jual kau kat seberang, biar kau jadi hamba abdi kat sana. Supaya kau jangan sesekali menjengukkan muka kau di sini lagi.” Lelaki itu ketawa terkeheh-keheh diikuti deraian tawa teman-temannya.

“Tolonglah pak cik, jangan buat Hana macam ni. Hana tak mahu kena jual. Hana nak jumpa dengan mak.”

“Dah aku katakan mak kau dah mampus. Sekarang giliran kau pula akan terima nasib yang sama. Cepat Bim, bawa budak perempuan ni ke pelabuhan. Malam ni juga dia mesti dibawa ke seberang,” arah lelaki itu.

...bersambung

Bab akan datang:

Dapatkah Raihana melepaskan dirinya daripada pak ciknya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience