Rate

Chapter 98

Romance Completed 26118

Bab 98

Bahu wanita itu digoyang-goyangkan. Tiba-tiba ibunya menjerit nyaring. Bekas bubur di tangan Duha Maisara ditepis ibunya sekuat hati lalu terpelanting jauh. Duha Maisara tergaman.

Ibunya terus menjerit-jerit sambil menangis. Wajah ibunya seolah ketakutan. Wanita itu menekupkan kedua-dua belah telinganya dengan tapak tangan. Duha Maisara terus terpegun. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukannya lagi. Beberapa jururawat sudah menerpa ke arahnya.

“Kenapa Cik Duha?” Tanya salah seorang jururawat yang mengenalinya.

Duha Maisara hanya mampu menggelengkan kepala. Dia sendiri bagaikan hendak menangis melihat keadaan ibunya. Apatah lagi melihat tiga jururawat sedang memegang ibunya yang sedang meronta-ronta.

Seorang jururawat berlari ke arah mereka sambil membawa alat suntikan. Melihat jarum panjang itu, wanita itu semakin kuat meronta-ronta.

“Tak mahu. Tak mahu. Jangan suntik aku, jangan!” Dia menjerit. Namun sekejap sahaja jarum panjang itu singgah di lengannya. Dalam beberapa minit, tubuhnya mula lemah. Akhirnya dia terkulai layu sambil dipangku oleh seorang jururawat. Duha Maisara tergaman melihat keadaan itu. Dia sendiri sudah kaku di suatu bangku lain sambil melihat petugas-petugas Al-Raudhah membawa ibunya pergi. Hatinya menderu pilu. Tak sanggup melihat keadaan wanita itu.

* * * *

“Bagaimana keadaannya doktor?” Tanya Duha Maisara separuh bimbang. Dia sabar menanti sehingga doktor wanita itu hampir dengannya. Melihat Duha Maisara di situ, Doktor Habibah melepaskan keluhan.

“Dia sedang tidur sekarang. Keadaannya dah stabil sekarang. Apa sebenarnya yang berlaku Duha?” Soal Doktor Habibah.

Duha Maisara tersentak. Dia tidak memahami maksud pertanyaan doktor itu. Anak mata doktor itu tepat mencari wajahnya.

“Ada jururawat yang nampak Duha bercakap meninggikan suara dan memaksa pesakit. Duha tak sepatutkan melakukan perkara seperti itu. Seorang pesakit mental mudah terganggu emosinya jika dipaksa dan dikasari.” Ujar Doktor Habibah.

“Doktor, saya…”

“Kalau terus begini, saya tak fikir Duha sesuai melawat pesakit ini lagi di sini.” Pintas Doktor Habibah. Duha Maisara tercengang. Apakah maksudnya? Apakah dia melarang aku melawat ibuku di sini?

“Doktor tolonglah, saya berjanji perkara seperti ini takkan berulang lagi.” Janji Duha Maisara. Doktor Habibah terdiam. Dia tidak tahu apa harus diucapkannya. Namun keselamatan pesakit-pesakitnya harus diutamakan.

“Maafkan saya Duha. Saya rasa lebih baik kalau Duha jangan datang lagi ke mari. Saya tak mahu pesakit itu tambah terganggu dengan kehadiran Duha.”

Mendengar kata-kata doktor itu, Duha Maisara seperti hendak menangis. Dia memandang wajah Doktor Habibah yang nampak serius.

“Doktor tak boleh larang saya melawat pesakit itu. Jangan halang saya dari datang ke mari,” rayu Duha Maisara.

“Yes I can, Duha. Jika untuk kepentingan pesakit saya, jawapannya ialah ya.” Ujar doktor itu, agak tegas. Dia mula menghela kakinya, ingin melangkah pergi. Namun tangan Duha Maisara terlebih dahulu memaut pergelangan tangannya. Doktor Habibah tergaman. Mata Duha Maisara basah ketika memandangnya.

“Dia ibu saya, doktor.” Bisik Duha Maisara perlahan. Doktor Habibah tercengang. Wajah Duha Maisara direnung bagaikan mencari kepastian. Gadis itu mengangguk.

“Dia ibu saya,” ulang Duha Maisara membuatkan Doktor Habibah terus kaku.

* * * *

Zafran terus bekerja ke institusi itu sebaik menerima panggilan Doktor Habibah. Dia memandu laju agar segera sampai. Dia tidak mahu kehilangan jejak Duha Maisara lagi. Dia sudah tidak sanggup menahan rindunya pada gadis itu. Sengaja dia berpesan agar doktor itu menelefonnya jika Duha Maisara singgah di Al-Raudah. Itulah satu-satunya cara untuk dia mencari Duha Maisara.

Apabila dia sampai, dia terus mendaki tingkat 2, namun kelibat Doktor Habibah tidak ada di pejabatnya.

“Doktor Habibah ada sesi dengan pesakit,” beritahu seorang jururawat. Zafran menarik nafas panjang. Dia cuba bersabar.

“Doktor Zafran mencari Cik Duha ke?” Tanya seorang jururawat lain yang tiba-tiba muncul di situ. Zafran berpaling sambil mengangguk.

“Hari ni pesakit yang selalu dilawati Cik Duha mengamuk. Barangkali Cik Duha ada di wad sedang melawat pesakit itu.” Beritahu jururawat berwajah hitam manis itu.

Tanpa membuang masa, Zafran terus menerpa ke arah wad di tingkat lima. Sampai di muka pintu, langkahnya terhenti. Dari jauh dia melihat kelibat sesusuk tubuh sedang berteleku di samping seorang wanita sebaya usia ayahnya sambil teresak-esak. Melihat keadaan Duha Maisara begitu, hati Zafran diterpa rasa hairan. Hilang sekejap rasa rindunya yang tak tertahan, diganti dengan rasa ingin tahu. Reaksi Duha Maisara membuatkan perasaannya bercampur gaul.

Apabila gadis itu tiba-tiba berpaling, Zafran tidak sempat mengelak lagi. Terkejut Duha Maisara melihat kehadiran Zafran di situ. Wajahnya tampak serba salah. Zafran segera mendekati gadis itu. Wajah Duha Maisara yang masih basah dengan air mata direnung berkali-kali.

...bersambung

Bab akan datang:

Apakah yang akan Duha jelaskan kepada Zafran?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience