Rate

Chapter 210

Romance Completed 26118

Bab 210

Engku Latifah tergaman apabila menerima kunjungan Engku Iskandar di rumahnya petang itu. Wajah lelaki itu nampak cemas bagaikan berdepan masalah. Malah kopi yang dihidang oleh Mak Ngah langsung tidak disentuhnya.

“Kenapa abang datang ke mari?” Engku Latifah memandang lelaki itu tidak berkelip.

“Err abang nak pinjam duit sikit dengan kamu Tif.”

“Berapa?”

Lelaki itu tidak terus menjawab. Sebaiknya dia menarik nafas panjang. “Kalau boleh, pinjamkan abang RM500,000.”

Terbeliak mata Engku Latifah mendengar kata-kata lelaki itu. Lima ratus ribu? “Abang nak buat apa dengan duit sebanyak tu?” Dia ingin tahu.

“Adalah, tak perlu kamu tahu. Ada ke tidak duit tu?” Engku Iskandar bagaikan tidak senang dengan pertanyaan itu.

“Ada tu ada. Tapi selagi saya tak tahu untuk apa abang perlukan duit sebanyak tu, maaf saya tak boleh beri.” Tegas Engku Latifah. Wajah lelaki itu berubah sebaik mendengar kata-katanya. Engku Iskandar kelihatan berang.

“Susahlah cakap dengan kamu ni Tif. Kedekut nak mampus.” Herdik Engku Iskandar. Engku Latifah terkejut mendengar kata-kata kasar yang dikeluarkan oleh lelaki itu. Entah kenapa sikap abangnya kelihatan pelik. Apakah ini disebabkan oleh kedatangan polis mencarinya beberapa hari yang lalu?

“Abang buat apa sampai polis cari abang beberapa hari ni?” Tanya Engku Latifah menyebabkan lelaki itu tergaman. Darahnya menyirap. Air liurnya ditelan separuh gugup.

“Kalau abang buat salah, sedarlah bang. Jangan terus buat kesilapan yang sama. Undang-undang tu adil.”

“Apa kamu merepek ni Tif? Undang-undang apa yang kamu cakapkan ni?” Engku Iskandar semakin radang.

Wanita di hadapannya itu menarik nafas panjang. Engku Latifah mengetapkan bibirnya. Dia ingin bertanya sesuatu pada lelaki itu sebenarnya. Suatu persoalan yang tidak pernah habis mendesak perasaan ingin tahunya selama ini.

“Abang, terus terang pada Tif. Apa sebenarnya yang abang dah buat pada Raihana dan Maisara dua belas tahun dulu?”

Engku Iskandar terpaku. Bulat matanya memandang wajah Engku Latifah yang nampak suram. Apakah adiknya itu sudah tahu semua yang berlaku dulu? Dia mula resah. Peluh renek mula menitis dari dahinya.

“Terus terang saja bang. Abangkah yang menganiaya Raihana dengan ibunya sampai Maisara jadi gila?”

“A..abang buat semua tu untuk kamu Tif..” Ujarnya tergagap-gagap memberi alasan.

“Saya cuma minta abang jauhkan mereka dari saya dan Nashriq, bukannya menganiyai mereka dua beranak. Saya dengar perbualan abang tempohari. Saya rayu sangat-sangat pada abang, tolong jangan sakitkan mereka lagi. Jangan apa-apakan Raihana lagi. Apa pun dia tetap darah daging Zainal.”

“Kamu…kamu tahu tentang Raihana?” Engku Iskandar tambah gusar. Dia mula mengesyaki sesuatu. Wanita itu seperti tahu banyak perkara. Apakah adiknya itu yang melaporkan pada polis tentang perbuatannya selama ini?

“Saya baru tahu siapa dia selama ini. Asri yang beritahu saya semua perkara. Sejak bila abang tahu siapa Raihana? Sebab itu abang buat rancangan abang sendiri kan? Tujuan abang bukan nak membantu saya tapi untuk diri abang sendiri. Saya tak sangka abang yang saya hormati selama ini, rupa-rupanya berhati kejam dan sanggup bekerjasama dengan kongsi gelap memusnahkan titik peluh Zainal.” Engku Latifah benar-benar kesal.

“Abang buat semua ini untuk kamu Tif. Abang tak mahu anak haram Zainal tu rampas harta benda yang sepatutnya milik kamu dan Nashriq.” Pujuk Engku Iskandar.

“Zainal dan Suhana dah kahwin. Raihana adalah anak sah Zainal dan dia berhak memiliki separuh harta Zainal. Itulah isi wasiat yang sepatutnya CK Tan baca malam itu, tapi abang dah beli CK Tan dan Molin untuk tutup rahsia ni. Tapi sekarang semuanya akan diperbetulkan seperti sediakala.”

“Apa maksud kamu Tif?” Wajah Engku Iskandar pucat.

“Esok pagi, peguam baru yang dilantik akan membacakan wasiat asal suami saya di hadapan semua ahli pemegang saham. Dan Raihana akan perolehi semua hak-haknya.”

Engku Iskandar terkejut. “Kamu dah gila ke Tif? Kamu..kamu tak boleh buat macam ni Tif. Jangan biarkan budak perempuan tu rampas syarikat ni dari kamu.”

“Saya dah tak terdaya mahu menanggung semua dosa-dosa yang saya dah buat pada Raihana dan Maisara dulu. Cukuplah semua ini. Saya baru sedar sekarang. Apa gunanya harta melimpah kalau kebahagiaan tak pernah hadir. Saya hanya mahu kasih sayang Nashriq kembali, cukuplah.” Bisik Engku Latifah sayu. Dia sudah tidak peduli pada wajah garang Engku Iskandar yang memuncak.

******

Dia meneliti surat yang baru dibawa masuk oleh Erman. Dadanya berkocak kencang. Seketika matanya singgah mencari wajah Erman. Dia keliru sekarang. Benar-benar keliru.

“Pihak Zaman & Co sendiri yang datang serahkan surat ni tadi. Kata mereka pembahagian harta Zainal Ikram dua belas tahun dulu tidak sah.

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah penama baru akan dilakukan untuk pembahagian harta Zainal Ikram?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience