Rate

Chapter 4

Romance Completed 26118

BAB 4

“Err tak payahlah, aku nak keluar malam ni. Oh ya, tadi Jun tu telefon, dia suruh kamu datang ke Blue Ocean malam ni. Katanya penyanyi yang sepatutnya buat persembahan malam ni, demam. Mereka tak sempat nak cari ganti, kamu ke sana malam ni.” Putus Bustaman.

Duha Maisara tergaman. Wajahnya berkerut resah. Dia memandang Bustaman yang mula mengatur langkah ingin beredar.

“Ayah, Duha tak mahu lagi kerja di sana. Kalau ayah suruh Duha kerja apa pun tak apa, biar susah sekalipun. Tapi Duha dah tak mahu jejakkan kaki ke sana lagi. Duha dah serik.”

Mendengar kata-kata Duha Maisara, Bustaman tidak jadi mengatur langkah. Dia memandang anak gadis itu tidak berkelip. Entah mengapa, dia naik radang mendengar butir bicara anak itu.

“Aku suruh kamu ke sana jadi penyanyi, bukannya aku suruh kamu jadi pelacur atau perempuan pelayan di situ.” Keras tutur kata Bustaman.

“Lagipun satu malam di situ kamu boleh untung banyak, dari kamu penat bekerja bermati-matian di kedai buku yang tak seberapa tu. Aku tak peduli, malam ni kamu mesti ke Blue Ocean.” Putus Bustaman tanpa menghiraukan perasaan Duha Maisara.

Airmata Duha Maisara bergenang. Dia terduduk lemah di suatu sudut. Kata-kata pemutus lelaki itu bagaikan memberi hukuman mati padanya. Entah bagaimana dia mahu berhadapan dengan lelaki-lelaki buas di kelab malam itu. Meskipun dia hanya penyanyi, namun situasi yang dihadapinya sama seperti GRO-GRO lain. Malah sudah acapkali juga Mami Jun, pemilik kelab malam itu memujuknya bertemankan lelaki-lelaki kaya yang mahu memikatnya. Hanya wanita itu masih ada hati perut, tidak pula memaksa apabila dia menolak.

Meskipun terpaksa bekerja di sana, iman Duha Maisara masih tebal. Dia masih tahu baik buruknya. Malah dia tak putus-putus berdoa agar Allah melindunginya selalu. Itulah doanya saban malam setiap kali selepas menunaikan solat.

******

Erman yang sedang menonton televisyen di ruang tamu terganggu dengan deringan loceng pintu yang tak henti-henti singgah. Dia memperlahankan volume televisyen. Dahinya berkerut. Siapa agaknya yang datang malam-malam begini? Matanya sempat mengintai kelibat Nashriq yang asyik berkurung di dalam biliknya sejak tadi.

Apabila tombol pintu dipulas, nafas Erman bagai terhenti apabila melihat riak airmuka yang kurang menyenangkan di hadapan matanya.

“Puan Engku..” Erman tergagap-gagap bersuara. Wanita itu melangkah masuk tanpa disuruh.

“Nashriq mana? Kenapa kau tak bawa Naz pulang ke rumah terus?” Erman diajukan dengan pelbagai pertanyaan. Buntu kepalanya mahu memberi jawapan. Apatah lagi mata wanita itu seolah memancarkan api kemarahan ke arahnya.

“Maaf Puan Engku, ini permintaan Nashriq. Saya tak mampu menolak.”

“Erman, kau kena ingat, tugas kau hanya melindungi Nashriq, bukannya mengikut apa sahaja kehendak dia. Aku ni ibunya, aku lebih berhak.”

“Tapi Nashriq adalah keutamaan saya Puan Engku. Setiap arahan dari Nashriq adalah menjadi tanggungjawab saya, kewajipan saya. Inilah janji saya pada arwah Tuan Zainal dulu.” Balas Erman, berani.

“Huh, buang masa saja aku cakap dengan kau ni. Mana Nashriq? Aku nak jumpa dia.” Mata Engku Latifah meliar mengawasi setiap inci bilik hotel itu. Apabila bebola matanya mengarah ke sebuah bilik, dia memandang Erman.

“Aku tahu Nashriq ada di dalam. Kau panggil dia sekarang, katakan aku nak bercakap dengan dia.” Suruh Engku Latifah. Erman terdiam membisu. Dia ragu-ragu mahu mengikut arahan wanita itu. Tapi kalau dia tidak patuh, mulut wanita itu akan bertambah bising. Mahu tak mahu, Erman segera menghampiri kamar di hadapannya.

Tangannya diangkat tinggi-tinggi. Dia bersedia mahu mengetuk pintu bilik. Namun belum sempat dia mahu berbuat demikian, pintu di hadapannya tiba-tiba dibuka dari arah dalam. Erman tergaman. Begitu juga dengan Engku Latifah.

Nashriq tercegat dengan wajah tenang. Matanya memandang ke arah ibunya tidak berkelip. Namun pandangannya jelas hambar. “Umi apa khabar?” sapanya.

“Umi baik, tapi Naz yang umi bimbangkan. Kenapa umi tengok Naz macam sengaja nak elakkan diri dari umi. Kenapa sayang?” Soal Engku Latifah dengan wajah rungsing.

Nashriq terdiam. Dia memusingkan badannya ke arah jendela. Matanya seolah memandang jauh, seperti memikirkan sesuatu.

“Kita pulang ke Vila Kasih ya Naz, umi dah lama rindukan Naz. Selama ini umi selalu bosan tinggal sorang-sorang di rumah. Umi dah pesan suruh Mak Ngah siapkan makanan istimewa untuk Naz malam ni.”

“Maaf umi. Buat masa ini, rasanya lebih baik kalau saya tinggal di hotel saja dengan abang Erman buat sementara.”

Engku Latifah terdiam. Memang sudah terang lagi bersuluh, anak lelakinya itu sengaja mahu mengelakkan diri darinya. Sepertimana masa dua belas tahun itu berlalu, sekarang ini juga sama. Nashriq tetap dingin dengannya.

…bersambung

Bab akan datang:

Apakah yang membelenggu Nashriq selama ini?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience