Rate

Chapter 8

Romance Completed 26118

BAB 8

Nashriq asyik memerhatikan Erman yang sedang menghirup kopi pekat tanpa gula di hadapannya. Dahinya berkerut. Namun wajah Erman biasa sahaja, seolah-olah dia langsung tidak berasa pahit.

Apabila Erman mendongakkan wajah, matanya bertembung pandang dengan renungan Nashriq yang nampak aneh.

“Kenapa kau pandang abang macam tu?” Soal Erman hairan.

Nashriq tersengih. Lantas kepalanya digelengkan sambil dia mengacau tehnya sendiri yang telah bercampur karamel dan gula batu.

“Kenapa? Kau masih hairan tengok abang minum kopi tanpa gula?”

Nashriq memandang lelaki itu. Dia tersenyum.

“Dah berbelas tahun, abang tetap suka kopi pahit tu. Sekalipun muka abang tak pernah berkerut ketika menghabiskannya. Apa rahsianya?” Soal Nashriq mengulang soalan yang selama ini tak pernah dijawab secara logiknya oleh Erman.

Erman ketawa terkeheh-keheh. “Siapa kata kopi pahit tak pahit? Tapi yang pahit itulah yang sedap.” Jawab Erman seperti selalu.

“Apa yang sedapnya?”

“Banyak. Bau harum biji kopi takkan hilang, aromanya akan tetap kekal sampai bila-bila pun. Lagi satu, minum kopi pahit ni seolah seperti kita sedang mendefinisikan semula hidup kita. Memberi kekuatan dan kelebihan pada diri.” Terang Erman sambil tergelak besar.

Nashriq tercengang. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini kata-kata Erman lebih pelik kedengaran berbanding dulu. Lebih baik dia hanya mendiamkan diri jika begini. Jawapan Erman tak pernah mudah.

“Naz….,” panggil Erman tiba-tiba.

Nashriq menatap lelaki itu. Wajah Erman tampak serius kali ini.

“Kopi ni memang kopi yang paling pahit di Kuala Lumpur sejak kali terakhir kita bercuti di Venice dulu.” Ucap Erman perlahan.

Nashriq terdiam. Dia tahu lelaki itu ingin terus berkata-kata.

“Dalam dua belas tahun ni, tugas abang membuatkan abang semakin dekat dengan kau. Setiap perasaan dan emosi yang terpamer di wajah kau, abang akan pura-pura tidak tahu. Pura-pura tidak nampak kesedihan yang kau lalui Naz. Tapi berpura-pura tidak nampak dan tidak tahu itu sangat sukar untuk abang lakukan. Hanya dengan cara meminum kopi pahit ini saja abang boleh terus berpura-pura. Abang latih diri abang sejak dua belas tahun dulu semata-mata kerana mahu kau selesa.” Ujar Erman perlahan.

Nashriq terpaku. Wajah Emran tak putus merenungnya. Dia jadi serba-salah. Rupa-rupanya segala yang Erman lakukan adalah untuknya. Malah pengorbanan yang dilakukan oleh Erman selama ini bukan sedikit. Dari usianya tiga belas tahun lagi, Erman sudah muncul dalam hidupnya. Lelaki itu asalnya adalah pembantu kanan ayahnya di Mega Timur Construction. Waktu itu Erman baru berusia 24 tahun. Masih muda dan berfikiran luas. Barangkali itulah yang menambat hati ayahnya untuk mengupah Erman sebagai pemandu peribadinya.

Nashriq masih ingat lagi, saban minggu lelaki itu akan muncul di asramanya, menemaninya berbual-bual. Malah seingatnya Erman lebih kerap datang dari ayah dan uminya sendiri. Kerana itu diam-diam dia menganggap Erman sebagai abangnya sendiri. Kini usia Erman sudah mencecah 38 tahun, tapi lelaki itu masih setia menemaninya. Malah Erman seakan-akan tidak mahu berbicara tentang hidup berkeluarga dengannya.

“Apa yang kau fikirkan tu?” Soal Erman ingin tahu. Nashriq tersenyum, sambil menggelengkan kepala. Namun sebelum sempat dia membalas, tumpuannya terganggu ke meja sebelah. Erman turut menoleh.

“Kau fikir kau boleh tipu aku? Perempuan bedebah! Kau belum kenal siapa aku!” Lelaki itu berwajah garang mengadap ke arah seorang gadis tinggi lampai.

“Please Syahrul, you ni macam budak-budaklah. Setiap kata I, you salah anggapkan. Selama ini I tak pernah sukakan you.” Balas gadis itu berani.

“Habis yang you ikut I ke mana saja tu apa dia? You hantar mesej sayang, rindu itu apa tandanya? Atau you ni memang betina murahan!” Lancang tutur kata lelaki itu.

“Jaga mulut you Syah! Jangan nak cakap main ikut sedap mulut saja.”

“Tak salah kata I kan? You ni memang sundal!”

Nashriq dan Erman saling berpandangan. Nashriq tersengih. Bosan betul! Ada ke restoran macam ni nak dijadikan tempat bergaduh. Tak malu ke dengan orang sekeliling, rungut Nashriq di dalam hati. Dia mengambil cawan teh di hadapannya. Belum sempat minuman itu melalui anak tekaknya, wajahnya tiba-tiba disimbah dengan air. Nashriq tergaman. Erman juga turut terkejut melihat muka dan baju Nashriq basah lencun. Serentak kedua-duanya berpaling.

Nashriq mengetapkan bibirnya. Entah mengapa dia naik geram. Matanya bertembung pandang dengan sepasang mata redup yang penuh rasa bersalah. Pantas gadis itu menghampiri mejanya.

“Maaf encik, saya tak sengaja tadi. Saya tak sangka kena muka encik. Maaf!” Ucap gadis itu serba-salah.

“Habis kenapa awak lakukannya? Awak ingat maaf awak tu boleh buat angin saya reda?” Balas Nashriq geram. Sakit betul hatinya dengan telatah pasangan itu. Apatah lagi kini dirinya pula menjadi tumpuan pengunjung restoran itu yang sedang menjamu selera.

...bersambung

Bab akan datang:

Siapakah gadis yang diherdik oleh Nashriq tersebut?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience